Sumber : Google |
Dalam satu forum yang saya hadir pada
minggu ini, terdapat satu soalan yang ditanya oleh moderator kepada seorang
ahli panel wanita yang ada dalam forum tersebut, lebih kurang beginilah soalannya
: bagaimana untuk merapatkan jurang antara generasi tua dengan generasi muda?
Lalu ahli panel wanita itu pun menjawab : generasi tua perlu menyantuni
generasi muda manakala generasi muda pula perlu menghormati generasi tua.
Saya sejujurnya boleh bersetuju
dengan lontaran jawapan daripada ahli panel wanita itu tetapi saya ingin
menambah, generasi tua janganlah sesekali menjadikan generasi muda sebagai
kuli!
Saya sering melihat di mana mana
majlis atau forum atau seminar, generasi muda terutamanya mahasiswa universiti,
biasanya dikerahkan bekerja tanpa gaji. Mereka disuruh mengangkat banyak kerusi
atau mengantung tirai di besi khemah bagi membolehkan sesuatu program itu berjalan
dengan lancar. Tidak cukup dengan itu, mereka disuruh pula untuk menangkap
gambar orang orang kenamaan dan ketua organisasi yang hadir dalam sesuatu
program yang dianjurkan.
Generasi muda terutamanya mahasiswa
bukanlah kuli universiti ataupun kuli kepada mana mana ketua dalam sesebuah
organisasi. Mereka ada tenaga dan masa yang perlu dihargai. Setiap tenaga dan
masa yang mereka curahkan itu perlu dibayar sama ada melalui wang ringgit
ataupun anugerah.
Zaman yang kita duduk sekarang adalah
zaman yang dibebankan dengan GST. Jadi, konsep percuma dalam setiap
perkhidmatan yang diberikan oleh setiap generasi muda itu sudah tidak wajar
lagi. Kos sara hidup yang tinggi perlu diambil kira oleh semua orang dan juga
ketua organisasi.
Jika semua perkara hendak dikira
percuma, alamat susahlah kebanyakkan orang muda kita. Mereka juga ada perut
untuk diisi dan ada naluri untuk dipenuhi. Maka, setiap generasi tua yang
menjadi ketua organisasi, perlu mengambil cakna tentang hal ini.
Tidak cukup dengan hanya kita beri
ucapan terima kasih banyak banyak sahaja kepada orang muda kita yang telah
banyak sumbangkan tenaga. Semua ketua organisasi yang hadir dalam sesebuah
program bertindak sebagai tukang arah sahaja, kemudian diberi penghargaan yang
tidak sewajarnya, maka orang muda kita pun mesti mendapat perkara yang sama.
Sedih hati saya melihat generasi muda
kita diarahkan untuk melakukan itu dan ini hanya kerana untuk melancarkan
program yang dibuat oleh sesebuah organisasi. Mereka dikerah mengangkat banyak kerusi
seperti seorang kuli. Jika program itu tidak berjalan dengan lancar,
dihamburnya kemarahan kepada orang muda kita. Jangan ditanya selepas itu
mengapa orang muda kita sudah tidak mahu menghormati orang tua lagi.
Zaman sudah banyak berubah dan orang
muda kita pun turut berubah. Apabila orang muda berubah, orang tua pun mesti
berubah. Merapatkan jurang antara orang tua dengan orang muda, tidak cukup
dengan hanya menghormati dan menyantuni sahaja, tetapi jangan sesekali jadikan
orang muda sebagai kuli.
Orang tua itu dikata banyak berjasa
kepada dunia. Tetapi jangan dilupa orang muda pun banyak jasa kepada dunia
juga. Jika hanya orang tua dihargai, bagaimana orang muda tidak mudah berjauh
hati?
Generasi tua dan muda mesti lah saling bantu membantu. Tetapi tidak lah patut menjadikan sesiapa pun kuli free . . . seperti banyak yang terjadi sekarang ramai ibu ibu tua menjadi maid tanpa bergaji di rumah anak anak mereka.
BalasPadam