Sumber : Google |
Saya mengambil masa yang agak lama
untuk menghabiskan novel ini. Kebiasaannya, apabila membaca novel yang
menyeronokkan, saya dapat menghabiskan sebuah novel itu kurang dari seminggu.
Namun, novel kali ini saya habiskan lebih daripada seminggu. Saya tidak mahu
kata novel ini tidak menyeronokkan, cuma saya mahu kata novel ini tidak
merangsang saya untuk terus menatapnya dalam tempoh yang lama. Oleh sebab itu,
novel ini agak lambat untuk saya selesai membacanya.
Kali pertama saya menatap novel hasil
pemberian adik perempuan saya ini, ia tidak langsung menarik minat saya untuk
membacanya. Saya sekadar membaca beberapa halaman sahaja, kemudian rasa bosan
mula singgah di sanubari saya. Maka, saya terus beralih kepada novel yang
lain.
Namun, pada cuti semester kali ini,
oleh kerana saya tidak berupaya untuk membeli novel novel baru, maka saya mula
menyelongkar rak buku yang ada di bilik saya. Segera saya menjumpai novel ini
semula. Kemudian saya mula membacanya kembali kerana saya benar benar bosan
pada waktu itu. Dan dari situ barulah rasa minat untuk menghabiskan novel ini
tumbuh dalam jiwa saya.
Novel ini mengisahkan tentang
perjalanan hidup seorang pondan bernama Rozan atau Rozila yang telah
menjalankan pembedahan pembuangan jantina di Thailand. Novel ini agak rare
bagi saya kerana berani mengetengahkan kehidupan seorang pondan yang
menjalankan pembedahan pembuangan jantina untuk menjadi seorang perempuan
jadian secara terperinci. Segala aspek hidup Rozila@Rozan seperti penerimaan
keluarga, percintaan, pekerjaan, saat saat menjalani pembedahan, dan sebagainya
dihuraikan secara naratif dan kreatif dalam novel ini. Membaca novel ini, anda
akan dapat pengetahuan mengenai proses pembedahan pembuangan jantina yang dijalankan
di negara Thailand. Ia adalah sesuatu yang sangat baru dan berani dalam
penulisan novel novel di Malaysia.
Novel ini sangat menarik sebenarnya
jika anda mahu mengetahui tentang kehidupan seorang pondan dan kegiatan
pembedahan pembuangan jantina secara terperinci. Namun, kegagalan utama Regina
adalah dalam merangsang minat saya untuk terus membaca dan menatap novel ini
dalam tempoh yang lama. Meskipun novel ini adalah sebuah novel yang menarik,
namun untuk terus membacanya dan menghabiskannya dalam tempoh masa yang singkat
adalah sukar sekali.
Ini mungkin berlaku kerana tiada
unsur suspen yang boleh diketengahkan oleh Regina. Walaupun tatkala membaca
novel ini kita tidak boleh untuk meramalkan pengakhiran kisah hidup bagi
Rozila@Rozan, namun unsur suspen itu langsung tidak wujud ketika saya
membacanya.
Suatu perkara yang agak menarik dalam
novel ini adalah perkahwinan antara seorang lelaki tulen dengan seorang pondan
yang telah melakukan pembedahan jantina sehingga menjadi seorang perempuan jadian.
Ia bukanlah perkara baru yang saya tahu tetapi ‘keberanian’ Regina dalam
mengetengahkan perkara tersebut dalam novel ini agak saya kagumi. Menerusi
watak Rozan@Rozila yang berkahwin dengan Ismail Mansur, Regina memperlihatkan
realiti perkahwinan songsang yang berlaku dalam masyarakat kita ini. Bukan
hanya pada watak Rozan, watak watak beberapa orang rakan Rozan@Rozila yang lain
juga turut melakukan perkara yang sama.
Mungkin secara tidak sedar, Regina
sebagai penulis novel ini mahu memperlihatkan kepada kita semua tentang realiti
perkahwinan songsang antara seorang lelaki tulen dengan seorang lelaki yang
telah pun menjadi seorang perempuan jadian. Justeru, menerusi novel Perjalanan
ini, dapatlah kita mengetahui bahawa begitu banyak sekali perkahwinan songsang
yang berlaku dalam negara kita.
Gaya penceritaan Regina dalam novel
ini seolah olah beliau ‘menghalalkan’ penukaran jantina dalam kalangan lelaki
dan perkahwinan songsang antara lelaki. Beliau seolah olah mahu pembaca
menerima golongan pondan dan menerima perkahwinan songsang antara seorang
pondan dengan seorang lelaki tulen.
Berbeza dengan tipikal novel novel
gay yang pernah saya baca, semua lelaki gay pasti akan tertarik dengan lelaki
kacak. Mereka bercinta dan bernafsu dengan lelaki kacak. Penceritaan mengenai
perasaan cinta dan pertemuan mereka dengan lelaki kacak dilambakkan dalam
sebuah novel. Tetapi, novel Perjalanan ini pula tidak begitu. Ia tidak
menceritakan mengenai Rozila@Rozan bercinta atau berperasaan dengan lelaki
kacak secara berlebihan tetapi lebih kepada menceritakan kehidupannya sebagai
seorang pondan yang telah pun menjalani pembedahan jantina dalam alam
pekerjaan, kekeluargaan, percintaan dan kemasyarakatan.
Novel ini sangat bagus sebenarnya
jika anda mahu mengetahui tentang kehidupan seorang pondan yang menjalani
pembedahan pembuangan jantina. Novel ini tidak sama dengan kebanyakkan novel
gay yang penuh dengan fantasi cinta yang penuh pancaroba dan kadang kadang
tiada berkesudahan. Novel ini ada kelasnya yang tersendiri dalam lambakan novel
yang ada di Malaysia.
macam best!
BalasPadamTerima kasih kerana sudi memberi review. Sudah ada di pasaran LEBIH DUKA DARI SUKA terbitan Gerakbudaya. Juga kisah kisah tentang Maknyah yang disasarkan pada ibubapa, cisgender dan masyarakat secara keseluruhannya.
BalasPadam