Jumaat, 23 September 2016

GENERASI MUDA TIDAK BOLEH JADI KULI!


Image result for orang muda
Sumber : Google


Dalam satu forum yang saya hadir pada minggu ini, terdapat satu soalan yang ditanya oleh moderator kepada seorang ahli panel wanita yang ada dalam forum tersebut, lebih kurang beginilah soalannya : bagaimana untuk merapatkan jurang antara generasi tua dengan generasi muda? Lalu ahli panel wanita itu pun menjawab : generasi tua perlu menyantuni generasi muda manakala generasi muda pula perlu menghormati generasi tua.

Saya sejujurnya boleh bersetuju dengan lontaran jawapan daripada ahli panel wanita itu tetapi saya ingin menambah, generasi tua janganlah sesekali menjadikan generasi muda sebagai kuli!

Saya sering melihat di mana mana majlis atau forum atau seminar, generasi muda terutamanya mahasiswa universiti, biasanya dikerahkan bekerja tanpa gaji. Mereka disuruh mengangkat banyak kerusi atau mengantung tirai di besi khemah bagi membolehkan sesuatu program itu berjalan dengan lancar. Tidak cukup dengan itu, mereka disuruh pula untuk menangkap gambar orang orang kenamaan dan ketua organisasi yang hadir dalam sesuatu program yang dianjurkan.

Generasi muda terutamanya mahasiswa bukanlah kuli universiti ataupun kuli kepada mana mana ketua dalam sesebuah organisasi. Mereka ada tenaga dan masa yang perlu dihargai. Setiap tenaga dan masa yang mereka curahkan itu perlu dibayar sama ada melalui wang ringgit ataupun anugerah.

Zaman yang kita duduk sekarang adalah zaman yang dibebankan dengan GST. Jadi, konsep percuma dalam setiap perkhidmatan yang diberikan oleh setiap generasi muda itu sudah tidak wajar lagi. Kos sara hidup yang tinggi perlu diambil kira oleh semua orang dan juga ketua organisasi.

Jika semua perkara hendak dikira percuma, alamat susahlah kebanyakkan orang muda kita. Mereka juga ada perut untuk diisi dan ada naluri untuk dipenuhi. Maka, setiap generasi tua yang menjadi ketua organisasi, perlu mengambil cakna tentang hal ini.

Tidak cukup dengan hanya kita beri ucapan terima kasih banyak banyak sahaja kepada orang muda kita yang telah banyak sumbangkan tenaga. Semua ketua organisasi yang hadir dalam sesebuah program bertindak sebagai tukang arah sahaja, kemudian diberi penghargaan yang tidak sewajarnya, maka orang muda kita pun mesti mendapat perkara yang sama.

Sedih hati saya melihat generasi muda kita diarahkan untuk melakukan itu dan ini hanya kerana untuk melancarkan program yang dibuat oleh sesebuah organisasi. Mereka dikerah mengangkat banyak kerusi seperti seorang kuli. Jika program itu tidak berjalan dengan lancar, dihamburnya kemarahan kepada orang muda kita. Jangan ditanya selepas itu mengapa orang muda kita sudah tidak mahu menghormati orang tua lagi.

Zaman sudah banyak berubah dan orang muda kita pun turut berubah. Apabila orang muda berubah, orang tua pun mesti berubah. Merapatkan jurang antara orang tua dengan orang muda, tidak cukup dengan hanya menghormati dan menyantuni sahaja, tetapi jangan sesekali jadikan orang muda sebagai kuli.

Orang tua itu dikata banyak berjasa kepada dunia. Tetapi jangan dilupa orang muda pun banyak jasa kepada dunia juga. Jika hanya orang tua dihargai, bagaimana orang muda tidak mudah berjauh hati?
     

1 ulasan:

  1. Generasi tua dan muda mesti lah saling bantu membantu. Tetapi tidak lah patut menjadikan sesiapa pun kuli free . . . seperti banyak yang terjadi sekarang ramai ibu ibu tua menjadi maid tanpa bergaji di rumah anak anak mereka.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.