Sumber : Google |
Ramai orang marah apabila Safiq Rahim
dan Aidil Zafuan mahu bersara daripada skuad bola sepak kebangsaan. Mereka
berhujah begitu dan berhujah begini untuk menentang apa yang Safiq Rahim dan
Aidil Zafuan serta dua yang lain lakukan itu. Walau bagaimanapun, terdapat juga
orang yang menyokong apa yang mereka berempat buat.
Sungguh saya tidak faham dengan
kerenah masyarakat kita. Sewaktu mereka yang bersara itu berada dalam skuad
kebangsaan, dan gagal pula membawa banyak kemenangan kepada Malaysia dalam
banyak kejohanan, masyarakat mencemuh mereka selagi mahu. Kemudian, apabila
mereka mahu bersara, masyarakat mencemuh mereka lagi. Apa sebenarnya yang
masyarakat mahu?
Saya yakin mereka pasti ada alasan
tersendiri mengapa mereka mahu bersara. Dan sewajarnya mereka bersara setelah
mereka acapkali gagal untuk membawa pasukan bola sepak Malaysia ke takah yang
lebih tinggi lagi. Prestasi mereka yang hambar itu perlu digantikan dengan
pemain lain yang mungkin lebih bagus daripada mereka dan mungkin boleh membawa
bola sepak Malaysia mencapai banyak kegemilangan.
Saya mengalu-alukan sangat jika
mereka mahu bersara. Saya fikir kita perlu cari lagi pemain yang baru yang
mungkin boleh membawa banyak kemenangan kepada negara. Jika harap pada mereka
sahaja, sampai bila pun Malaysia tidak akan sampai ke Piala Dunia.
Malaysia jangan bermimpi untuk
menjejakkan kaki ke Piala Dunia jika berlawan dengan Palestin pun boleh kalah!
Mengenai mereka yang bersara dari
skuad kebangsaan itu tetapi masih lagi bermain di peringkat kelab, kita wajar
berdamai dengan cara itu. Mereka juga manusia biasa, perlukan wang, dan
perlukan kerjaya. Apa salahnya untuk mereka bermain di peringkat kelab untuk
menyambung hayat kerjaya bola sepak mereka yang malap di pentas antarabangsa
itu? Kita patut biarkan sahaja mereka. Usah diganggu kehidupan mereka lagi.
Siapa kata orang yang bersara perlu
berhenti daripada melakukan kerja? Dr. Mahathir misalnya, meskipun dia sudah
bersara daripada politik, dia masih bergiat cergas lagi dalam politik. Dan
perkembangan setakat ini, dia mahu tubuh parti baru pula.
Apa yang kita perlu lakukan sekarang
adalah, terutama oleh FAM, cari sahaja pengganti baru dan terbaik yang diyakini
boleh membawa Malaysia mencapai kemenangan pada masa akan datang. Jangan pula
FAM mencari pemain yang sama lemahnya dengan Aidil Zafuan dan Safiq Rahim itu.
FAM juga perlu mengatur strategi baru bagaimana untuk mencapai tahap yang lebih
tinggi dalam carta pasukan bola sepak dunia.
Berbahas mengenai persaraan Safiq,
Aidil, Kunalan, dan Amirulhadi itu tidak banyak faedahnya. Berbahas mengenai
siapa pengganti mereka yang berwibawa dan strategi untuk sampai Piala Dunia dan
Sukan Olimpik adalah lebih bagus sebenarnya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.