Sabtu, 23 Julai 2016

BIARKAN SAHAJA MEREKA BERSARA

Sumber : Google

Ramai orang marah apabila Safiq Rahim dan Aidil Zafuan mahu bersara daripada skuad bola sepak kebangsaan. Mereka berhujah begitu dan berhujah begini untuk menentang apa yang Safiq Rahim dan Aidil Zafuan serta dua yang lain lakukan itu. Walau bagaimanapun, terdapat juga orang yang menyokong apa yang mereka berempat buat.

Sungguh saya tidak faham dengan kerenah masyarakat kita. Sewaktu mereka yang bersara itu berada dalam skuad kebangsaan, dan gagal pula membawa banyak kemenangan kepada Malaysia dalam banyak kejohanan, masyarakat mencemuh mereka selagi mahu. Kemudian, apabila mereka mahu bersara, masyarakat mencemuh mereka lagi. Apa sebenarnya yang masyarakat mahu?

Saya yakin mereka pasti ada alasan tersendiri mengapa mereka mahu bersara. Dan sewajarnya mereka bersara setelah mereka acapkali gagal untuk membawa pasukan bola sepak Malaysia ke takah yang lebih tinggi lagi. Prestasi mereka yang hambar itu perlu digantikan dengan pemain lain yang mungkin lebih bagus daripada mereka dan mungkin boleh membawa bola sepak Malaysia mencapai banyak kegemilangan.  
 
Saya mengalu-alukan sangat jika mereka mahu bersara. Saya fikir kita perlu cari lagi pemain yang baru yang mungkin boleh membawa banyak kemenangan kepada negara. Jika harap pada mereka sahaja, sampai bila pun Malaysia tidak akan sampai ke Piala Dunia.

Malaysia jangan bermimpi untuk menjejakkan kaki ke Piala Dunia jika berlawan dengan Palestin pun boleh kalah!

Mengenai mereka yang bersara dari skuad kebangsaan itu tetapi masih lagi bermain di peringkat kelab, kita wajar berdamai dengan cara itu. Mereka juga manusia biasa, perlukan wang, dan perlukan kerjaya. Apa salahnya untuk mereka bermain di peringkat kelab untuk menyambung hayat kerjaya bola sepak mereka yang malap di pentas antarabangsa itu? Kita patut biarkan sahaja mereka. Usah diganggu kehidupan mereka lagi.

Siapa kata orang yang bersara perlu berhenti daripada melakukan kerja? Dr. Mahathir misalnya, meskipun dia sudah bersara daripada politik, dia masih bergiat cergas lagi dalam politik. Dan perkembangan setakat ini, dia mahu tubuh parti baru pula.   

Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah, terutama oleh FAM, cari sahaja pengganti baru dan terbaik yang diyakini boleh membawa Malaysia mencapai kemenangan pada masa akan datang. Jangan pula FAM mencari pemain yang sama lemahnya dengan Aidil Zafuan dan Safiq Rahim itu. FAM juga perlu mengatur strategi baru bagaimana untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam carta pasukan bola sepak dunia.  

Berbahas mengenai persaraan Safiq, Aidil, Kunalan, dan Amirulhadi itu tidak banyak faedahnya. Berbahas mengenai siapa pengganti mereka yang berwibawa dan strategi untuk sampai Piala Dunia dan Sukan Olimpik adalah lebih bagus sebenarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.