Sabtu, 30 Julai 2016

ULAS NOVEL : MEREKA KARYA ARIFF ADLY

Sumber : Google

Dalam lambakan tugas sebagai seorang pelajar, saya masih sempat lagi membaca novel novel yang saya minat. Setelah membaca, seperti biasa, saya akan mengulas novel novel yang telah saya habis baca itu untuk memberi sudut pandangan saya sendiri berkenaan dengan novel tersebut. Dan untuk kali ini, saya mahu mengulas novel Mereka yang ditulis oleh Ariff Adly dan diterbitkan oleh syarikat Fixi.

Sebelum itu, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada pembaca pembaca blog ini kerana lama membiarkan blog ini tidak dikemaskini seperti yang sepatutnya. Saya juga ingin memohon maaf kepada pembaca kerana tidak sempat mengulas isu isu panas yang berlaku di sekeliling kita. Ini semua berlaku bukan kerana saya sengaja sebaliknya saya perlu memberi tumpuan yang lebih kepada tugas hakiki saya sebagai seorang mahasiswa di universiti. Lambakan tugas itu benar benar merencatkan kerja kerja penulisan saya di blog ini.

Berbalik kepada agenda penulisan, novel karya Ariff Adly kali ini tidaklah mengecewakan sama seperti novel Kacau yang pernah saya baca sebelum sebelum ini. Namun begitu, ‘sengat’ penulisan Ariff di dalam novel Mereka ini sedikit berkurangan kalau hendak dibandingkan dengan novel Kacau dahulu. Hal ini mungkin berlaku kerana jalan cerita yang dipaparkan oleh Ariff dalam novel Mereka ini tidak mampu untuk mempamerkan ‘sengat’ Ariff yang ‘berbisa’ dalam penulisan novel thriller itu.


Menelusuri jalan cerita novel Mereka ini, pada peringkat permulaan, pembaca akan berasa sedikit bosan apabila kisah kehidupan ‘aku’ yang diwakili oleh Joker dan sahabatnya Ezad diceritakan satu demi satu. Setelah pembaca sampai ke suku cerita, barulah unsur unsur menarik dalam novel ini bermula kerana watak watak yang lain mula muncul dan pembaca akan terus membaca untuk mengetahui apa yang akan berlaku kepada semua watak yang ada iaitu Joker, Ezad, Botak, Luke, Della, Lisya, Chucky, dan Mira.

Unsur suspen atau unsur teka teki tetap ada namun tidaklah terlalu hebat seperti mana yang biasa saya nikmati dalam novel novel Ramlee Awang Murshid. Unsur seram dan sedikit ngeri juga kurang dipaparkan (walaupun ada) seperti mana yang saya perolehi dalam novel Kacau dahulu. Kepuasan membaca novel ini tetap ada cuma jika hendak dibandingkan kepuasan membaca novel Kacau dan kepuasan membaca novel Mereka, wujud sedikit jurang yang agak kecil dan masih boleh diperbaiki.

Saya agak kagum juga dengan penulisan Ariff kali ini apabila unsur unsur nasihat dan pengajaran sedikit sebanyak dipaparkan. Ini adalah satu perkara yang bagus sebenarnya supaya tanggapan buruk masyarakat terhadap novel novel indie boleh diperbetulkan semula.       

Kekurangan yang paling besar adalah apabila Ariff selaku penulis sengaja membiarkan watak Elis (saya tidak tahu Elis ini syaitan atau apa) memadamkan memori tentang pengalaman pengalaman pahit yang dihadapi oleh beberapa watak ketika mereka berada di intersect itu. Sepatutnya, Ariff patut membiarkan memori tersebut berkekalan dalam minda Della, Botak, Mira, Lisya, dan Ezad dan bukan hanya pada Joker dan Chucky sahaja. Ini kerana, sesebuah memori itu adalah satu pengalaman yang berharga. Membuang memori seseorang walaupun memori itu pahit, adalah satu pengkhianatan terhadap diri seseorang itu kerana memori adalah sebahagian daripada hidup manusia sama ada memori itu adalah memori yang baik atau memori yang buruk.

Namun begitu, sebagai penulis, saya berharap yang Ariff mempunyai hujah dan sebab tersendiri mengapa dia membiarkan memori itu dipadamkan dari ingatan Della, Lisya, Mira, Ezad, dan Botak tetapi tidak pada Joker dan Chucky. Setiap apa yang ditulis oleh seseorang penulis itu, pasti ada sebab musababnya yang tersendiri.  

Kelemahan utama Ariff adalah dalam menggunakan retorik pemerian. Sukar untuk saya mahu menggambarkan situasi yang cuba dilukis oleh Ariff terutama dalam kejadian huru hara dan aneh aneh yang dihadapi oleh setiap watak di dalam dunia intersect itu. Harap Ariff boleh memantapkan lagi penggunaan retorik pemeriannya dalam melukiskan setiap peristiwa yang berlaku dengan sempurna bagi memberi kefahaman yang lebih kepada pembaca.

Tidak banyak yang hendak saya ulas mengenai novel ini cuma kepuasan membaca novel ini sedikit kurang jika saya bandingan dengan kepuasan saya membaca novel Kacau. Walau apa pun, saya angkat topi kepada Ariff kerana berupaya menghasilkan novel yang baik sebegini. Tahniah kepada Ariff. 


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.