Ahad, 20 September 2015

CENDEKIAWAN PERLU BEBAS IDEOLOGI POLITIK KEPARTIAN




Sumber : Google

Dalam artikel ini, saya merujuk cendekiawan itu sebagai ahli akademik (pensyarah universiti), ulamak, dan mufti, penulis terkemuka (juga wartawan), dan sasterawan. Jika ada orang mempersoalkan apa beza ulamak dengan mufti, saya menjawab semua mufti itu ulamak tetapi bukan semua ulamak itu mufti. Ahli akademik, ulamak, dan mufti adalah golongan cerdik pandai (cendekiawan) yang sudah pasti mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat. Pendapat dan kata kata mereka sudah pasti diterima oleh kebanyakkan orang kerana mereka pakar dan mempunyai ilmu yang tinggi di dalam bidang masing masing.

Oleh sebab mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan kata kata mereka diterima pula oleh ramai anggota masyarakat, mereka perlulah membebaskan diri mereka daripada sebarang ideologi politik kepartian. Maksudnya di sini mereka tidak boleh menganut apa apa fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik. Mereka bebas berbahas dan berbicara mengenai apa apa isu atau masalah politik tetapi mereka tidak boleh menyebelahi mana mana parti politik.

Apabila seseorang cendekiawan itu sudah menganut sesuatu fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik, pendapat yang mereka keluarkan sudah menjadi tidak relevan lagi. Ini kerana mereka pasti tidak membuat keadilan dalam menyampaikan kebenaran terhadap sesuatu perkara, masalah, atau isu. Pendapat dan ilmu mereka pasti akan terkongkong dalam ideologi politik kepartian yang mereka anuti itu.


Apabila berlaku pertembungan antara kebenaran dengan kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin parti politik yang mereka sokong tadi, cendekiawan itu pasti akan memilih untuk menutup kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin parti politik yang disokongnya dan pada masa yang sama menutup kebenaran tersebut. Ini kerana mereka takut parti yang mereka sokong itu akan kuluhum jika kebenaran itu dibongkar. Mereka pasti akan menggunakan ilmu dan kepakaran mereka itu untuk menutup kebenaran demi untuk survival parti politik yang mereka sokong.       

Apabila cendekiawan ini menganut apa apa fahaman politik kepartian, mereka mudah untuk mengeluarkan sesuatu pendapat atau hujah yang sememangnya tidak perlu dikeluarkan pun tetapi mereka tetap mahu keluarkan supaya masyarakat menjadi keliru dan parti politik yang mereka sokong tadi boleh mengaut keuntungan daripada kekeliruan tersebut. Mereka mula menyentuh isu isu perkauman atau keagamaan supaya mesyarakat menjadi tidak tenteram kemudian mereka akan mengeluarkan hujah hujah dangkal supaya parti politik yang mereka sokong tadi akan menjadi juara dalam memecahkan kekeliruan yang mereka lakukan.

Tidak salah sebenarnya untuk cendekiawan ini menganut apa apa fahaman politik. Mereka bebas untuk menganggotai atau menyokong parti politik apa pun tetapi bolehkah mereka memberi jaminan yang mereka akan menabalkan keadilan jika berlaku pertembungan dengan kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin parti politik yang mereka sertai itu? Jika tidak boleh, maka tidak perlulah mereka menyertai atau menyokong mana mana parti politik.

Sebagai contoh apabila berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin parti politik yang mereka sokong itu, di kala itu para cendekiawan ini mesti mengkritik pemimpin yang membuat penyalahgunaan kuasa itu supaya pemimpin itu boleh disingkirkan. Tetapi jika mereka tidak membuat kritikkan sebaliknya membuat pelbagai hujah hujah dangkal untuk menyokong penyalahgunaan kuasa itu, maka mereka sudah pun tidak jujur dengan diri dan ilmu mereka. Inilah sebab mengapa cendekiawan tidak boleh menganut apa apa fahaman politik.

Walau apa pun, cendekiawan mesti berpihak kepada masyarakat dan kebenaran bukan kepada politik kepartian. Jika cendekiawan menutup kebenaran semata mata kerana sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi itu kepada parti politik, masyarakat pasti akan berpecah belah. Kebenaran yang sepatutnya diketahui oleh semua anggota masyarakat tidak didedahkan kerana wujud cendekiawan yang penipu dan tidak jujur dengan ilmu mereka.

Cendekiawan yang takut untuk mendedahkan kebenaran, penipu, dan tidak jujur dengan ilmu tidak layak menjadi cendekiawan. Begitu juga dengan cendekiawan yang suka melihat masyarakat menjadi huru hara. Mereka ini hanyalah sebagai perosak kepada masyarakat, agama, bangsa, dan negara.

Seorang cendekiawan mesti berani untuk menyatakan kebenaran walaupun pelbagai risiko yang dihadapi oleh mereka. Cendekiawan yang mempunyai ilmu yang tinggi mesti menggunakan ilmu mereka untuk pembangunan agama, bangsa dan tanah air bukannya membuat penyelewengan dengan menggunakan ilmu yang tinggi tersebut.      

Saya sangat suka melihat cendekiawan yang hebat seperti Prof. Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria dan Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah. Inilah cendekiawan yang mesti dicontohi oleh semua cendekiawan yang ada di Malaysia ini. Cendekiawan jangan sesekali menggunakan ilmu mereka untuk menutup kebenaran dan menabalkan penyelewengan. Semoga ramai cendekiawan di Malaysia ini mampu untuk memberi khidmat bakti dengan menggunakan ilmu mereka yang banyak itu untuk kemajuan agama, bangsa, dan negara.

4 ulasan:

  1. jadi berani sgt pu beri kesan negatif pd diri...so ramai berdiam diri

    BalasPadam
  2. sy lebih respect pada cendekiawan yang berpegang teguh pada prinsip agama...yg betul tetap betul yg slaah tetap salah

    BalasPadam
  3. Benar. Malang, kini cendekiawan juga turut terlibat dalam hal kutuk mengutuk ni. Mereka sepatutnya mampu menjadi lebih baik. Berdakwah dengan cara terhormat. Sangat menyedihkan..:(

    *Salam Aidiladha buat MNH dan keluarga..:)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.