Sumber : Google |
Memandangkan orang Melayu telah
memasuki zaman moden, cara kehidupan mereka juga sudah bertukar menjadi moden.
Serba serbinya moden. Jika dahulu orang Melayu tidak tahu apa itu telefon
pintar, androids, Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya, kini
semuanya sudah berada di hujung jari orang Melayu. Orang Melayu sudah begitu
ramai yang menguasai penggunaan media media dan teknologi baru pada hari ini.
Dari satu sudut, saya berasa bangga
dengan pencapaian orang Melayu itu. Setidak-tidaknya orang Melayu tidak
dianggap kuno atau ketinggalan zaman. Namun, kemajuan teknologi pada masa kini
bukan sahaja mengubah gaya hidup orang Melayu tetapi juga turut menghilangkan
jati diri mereka.
Dalam pemerhatian saya, sifat sifat
orang Melayu yang lemah lembut, bersopan santun dan berbudi pekerti tinggi
sudah tidak wujud lagi. Apabila orang Melayu sudah menjadi kaya atau sudah
mencapai kedudukan tertinggi dalam masyarakat, perasaan sombong mula menular
dalam hati mereka. Mereka memandang orang di bawah mereka dengan pandangan hina
dan gemar memperlekehkan. Cara percakapan mereka sudah mula berubah menjadi
bongkak memandangkan mereka telah diuji oleh Allah dengan harta kekayaan yang
melimpah ruah.
Golongan muda Melayu merupakan
golongan yang paling banyak berubah. Rambut mereka sudah lain benar dengan
orang Melayu zaman dahulu. Potongan rambut mereka bukan sahaja sudah mengikut
fesyen terkini yang jelas mengarut tetapi juga sudah tidak lagi berwarna hitam.
Warna merah, biru, perang, kuning sudah melekat pada rambut mereka.
Itu tidak dicampur lagi dengan
pelbagai aksesori aksesori yang entah apa apa seperti gelang, rantai dan
subang. Ironinya, aksesori aksesori itu dipakai oleh kaum lelaki sedangkan
dalam Islam, Rasulullah menentang keras seorang lelaki menyerupai seorang
wanita. Inilah akibatnya jika Islam itu difahami dengan logik akal dan bukannya
dengan Al Quran dan As Sunnah.
Fesyen orang Melayu sama ada lelaki
atau perempuan zaman dahulu dan zaman sekarang sudah banyak berubah. Fesyen orang
zaman dahulu jelas menutup aurat dan sopan. Fesyen orang zaman sekarang seboleh
bolehnya mahu mendedahkan aurat dan kalau boleh mahu mendedahkan seluruh
anggota badan untuk tatapan anggota masyarakat lainnya.
Pemuda pemudi zaman dahulu bukan
senang untuk bercinta. Berjumpa sebulan sekali pun begitu sukar sekali. Kadang kala
mereka tidak pernah bercinta pun sebaliknya berkahwin atas dasar kemahuan
keluarga. Pemuda pemudi zaman sekarang bukan sahaja selalu berjumpa, malah
berpelukkan, berpegangan malah bercumbuan pula di khalayak ramai. Lebih parah
lagi ada diantara mereka sudah pun melakukan hubungan seks sebelum berkahwin
dan akhirnya mengandung anak luar nikah. Kemudian membuang bayi itu seperti
membuang kertas pembalut gula gula di dalam tong sampah, longkang, di masjid,
di sungai, tasik dan sebagainya.
Jelas orang Melayu zaman sekarang
sedang mengalami krisis identiti. Sedikit demi sedikit mereka membuang identiti
mereka sebagai orang Melayu/Islam dan menggantikannya dengan identiti orang
orang Barat. Nampaknya cubaan pihak pihak tertentu yang mahu menghapuskan identiti
Melayu/Islam dalam diri orang Melayu sudah pun berjaya. Dalam jangka masa seratus
tahun akan datang, jika orang Melayu/Islam masih leka, alpa dan lupa, identiti
Melayu/Islam ini akan terhapus suatu hari nanti.
Jangan hairan bin terkejut jika suatu
hari nanti anak cucu kita akan mengetahui akan hal bangsa Melayu dan agama
Islam bukan lagi dari buku buku yang ditulis oleh orang Melayu dan orang Islam
sebaliknya oleh orang orang Barat. Tatkala perkara itu terjadi, nescaya
bertambah rosaklah anak Melayu/Islam yang sudah rosak itu kerana seperti yang
kita sedia maklum, orang Barat selalu tidak jujur dalam penulisan mereka dan
gemar menyeleweng untuk menyesatkan sesuatu bangsa dan agama.
Sebagai orang Melayu/Islam, kita
perlu kembali kepada fitrah kita yang asal iaitu kembali kepada agama kita
iaitu Islam. Jika kita menjauhi agama kita, nescaya Allah tidak akan menjaga
kita lagi. Tidak mustahil nasib kita akan sama dengan nasib yang menimpa rakyat
Rohingnya dan Bosnia Herzegovina kerana telah terlalu jauh dari Allah Azza
Wajalla suatu ketika dahulu. Mahukah kita menjadi seperti itu? Tepuk dada dan
tanya iman kita.
Sebagai orang Melayu/Islam juga, kita
mesti menjaga budaya, seni, gaya hidup dan warisan bangsa kita. Jangan sesekali
kita meninggalkannya kelak ia akan hilang diluput zaman. Budaya makan,
berpakaian, bergaul, bersopan santun harus dikekalkan dalam hidup kita sebagai
orang Melayu supaya generasi baru hari ini dapat mengenalnya dan akan
mengamalkannya sampai bila bila.
Kalau orang Melayu/Islam terus alpa
dan leka, terus mengekalkan cara hidup orang Barat, lupa pada Allah dan Islam,
jangan menangis tidak berlagu atau menyesal seumur hidup jika kita hilang identiti
Melayu kita dan kita hilang rahmat Allah yang Maha Luas itu. Fikir fikirkan…
Semoga dijauhkan perkara-perkara buruk..Amiin
BalasPadamKita doakan yg terbaik utk mereka...
BalasPadam