Sumber : Google |
Memandangkan orang Melayu telah
memasuki zaman moden, cara kehidupan mereka juga sudah bertukar menjadi moden.
Serba serbinya moden. Jika dahulu orang Melayu tidak tahu apa itu telefon
pintar, androids, Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya, kini
semuanya sudah berada di hujung jari orang Melayu. Orang Melayu sudah begitu
ramai yang menguasai penggunaan media media dan teknologi baru pada hari ini.
Dari satu sudut, saya berasa bangga
dengan pencapaian orang Melayu itu. Setidak-tidaknya orang Melayu tidak
dianggap kuno atau ketinggalan zaman. Namun, kemajuan teknologi pada masa kini
bukan sahaja mengubah gaya hidup orang Melayu tetapi juga turut menghilangkan
jati diri mereka.
Dalam pemerhatian saya, sifat sifat
orang Melayu yang lemah lembut, bersopan santun dan berbudi pekerti tinggi
sudah tidak wujud lagi. Apabila orang Melayu sudah menjadi kaya atau sudah
mencapai kedudukan tertinggi dalam masyarakat, perasaan sombong mula menular
dalam hati mereka. Mereka memandang orang di bawah mereka dengan pandangan hina
dan gemar memperlekehkan. Cara percakapan mereka sudah mula berubah menjadi
bongkak memandangkan mereka telah diuji oleh Allah dengan harta kekayaan yang
melimpah ruah.