Isnin, 16 Februari 2015

BLOGGER JUJUR ATAU BLOGGER BERANI MATI (KONTROVERSI)?

Sumber : Google

Jika ditanya kepada anda, anda mahu menjadi blogger yang bagaimana? Blogger jujur atau blogger berani mati (kontroversi)? Apakah jawapan yang akan anda beri? Menjadi jujur atau berani mati ini berbeza sebenarnya dalam pegangan hidup seorang blogger. Kedua duanya mempunyai kelebihan dan kedua duanya perlu menanggung risiko. Cuma risiko itu sama ada berat atau ringan sahaja.

Menjadi blogger yang berani mati dalam memperkatakan dan membongkar sesuatu isu mungkin akan lebih dikenali oleh masyarakat. Ini telah terbukti apabila Raja Petra Kamaruddin, penulis blog Malaysia Today mengambil pendekatan itu. Menjadi blogger yang berani mati juga menyebabkan kita mungkin mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat dan serta merta blog yang kita kendalikan itu menerima tempias populariti kita.

Berbeza pula dengan blogger yang mengambil sikap jujur dalam penulisannya. Saya bercakap dalam konteks memperkatakan sesuatu isu panas dan isu politik yang berlaku. Mungkin menjadi blogger yang jujur kita akan lambat dikenali kerana kita bercakap berdasarkan fakta yang sahih dan diambil dari sumber yang sahih serta diketahui ramai sahaja seperti akhbar dan portal berita. Namun, jika tidak kena gaya, nasib kita juga akan sama seperti menjadi blogger berani mati tadi. 


Blogger berani mati gemar menulis dan membongkar sesuatu perkara dengan mengambil dari sumber yang tidak diketahui oleh ramai dan kadang kala bersifat tidak sahih. Inilah kelebihannya menjadi blogger berani mati. Mereka boleh membongkar dan menulis tentang sesuatu perkara yang mengejutkan dan tidak ramai diketahui orang. Jika perkara yang ditulis itu betul dan sahih, maka dia akan dipandang tinggi oleh masyarakat seterusnya meningkatkan populariti dirinya tetapi bagaimana pula jika perkara yang ditulis itu tidak sahih? Bukankah dia akan menghadapi masalah besar?

Oleh sebab itu, saya mengambil sikap untuk menjadi blogger yang jujur dalam memperkatakan sesuatu isu walaupun isu yang saya ingin katakan itu tidak popular dalam pandangan majoriti orang dan mungkin berlawan arus dengan kehendak orang ramai. Saya tidak berani menjadi blogger berani mati. Saya belum lagi sanggup tidur dalam lokap, ditahan di bawah Akta Hasutan, disaman dan dikejar oleh polis cawangan khas.

Lebih parah lagi jika kita menjadi blogger berani mati atau kontroversi tadi, maklumat yang kita dapat itu adalah satu penipuan dan fitnah semata mata. Sudah pastilah kita akan popular kerana maklumat tersebut mengejutkan orang ramai namun apa gunanya sekiranya maklumat itu adalah fitnah? Secara tidak langsung kita telah menyebarkan fitnah tersebut tanpa kita sedari dan sudah pasti kita akan menerima bahananya.

Saya mengambil contoh Raja Petra Kamaruddin tadi yang berani membongkar keburukan Barisan Nasional di dalam blognya. Dia menjadi terkenal tetapi pada masa yang sama dia juga turut menerima bahananya sehingga terpaksa lari ke United Kingdom untuk menyelamatkan diri kerana apa yang ditulisnya itu kadang kala bersifat fitnah, tidak sahih, wujud unsur tokok tambah dan diambil dari sumber yang diragui. Dia juga pernah ditahan di bawah ISA kerana penulisannya yang berani mati itu.

Ada juga dalam kalangan blogger kontroversi yang suka menyebarkan fitnah yang direka reka hasil daripada imaginasi mereka sendiri. Mereka melakukan perbuatan tersebut kerana mungkin mereka mahu mendapat imbuhan imbuhan tertentu, mahu mengejar traffik yang tinggi, mahu menjadi terkenal dalam masa yang singkat atau mungkin juga mereka mahu menjatuhkan pihak pihak tertentu yang mereka tidak suka.

Sekali lagi saya menegaskan bahawa cara itu mungkin mendapat kebaikkan singkat seperti yang saya tulis di atas namun kita tidak tahu risiko apa yang akan seseorang blogger kontroversi itu boleh terima. Oleh itu, adalah lebih baik kita menjadi blogger yang jujur sahaja supaya kita boleh menulis di blog kita dengan penuh jujur, mengambil dari sumber yang sahih dan diketahui ramai (akhbar), tidak menyebarkan fitnah dan risiko yang kita hadapi mungkin kurang dan tidak terlalu bahaya.    

Memang seronok kalau boleh menjadi blogger berani mati atau kontroversi tadi kerana blog kita akan lebih mudah dikenali tetapi sanggupkah kita menerima risiko yang saya telah sebutkan di atas? Jika kita sanggup, teruskanlah dan tiada masalah. Jika kita tidak sanggup, adalah lebih baik kita menjadi blogger yang bersikap jujur sahaja dalam penulisan di blog kita. Itu lebih memadai. Ataupun tidak perlulah menulis tentang sesuatu isu panas itu. Memadailah sekadar menulis tentang diri dan kehidupan kita seharian di dalam blog yang kita kendalikan.

Kesimpulannya, jika ditanya kepada saya, saya mahu menjadi blogger yang berani mati (kontroversi) atau blogger jujur, saya lebih cenderung untuk menjadi blogger yang jujur. Ini kerana risiko yang saya hadapi adalah kurang berbanding risiko yang ditanggung oleh blogger berani mati!


7 ulasan:

  1. Sy pilih yg jujur..kerana jujur mencerminkan keperibadian sbnr...

    BalasPadam
  2. blogger biasa2 je . nak berpolitik tak pandai . huhuu

    BalasPadam
  3. mengikut situasi dan keadaan kowt. Tapi dijauhkan dari polotik dan ketidakjujuran. Yang penting ikhlas berblogging (=

    BalasPadam
  4. jujur la..hehe..sebab tak sanggup la bawa-bawa kontroversi ni..aniaya kat orang lain..

    BalasPadam
  5. blogger yang jujur dan dapat duit berkat adalah lebih baik

    BalasPadam
  6. Saya rasa, selama saya menulis..saya masih blogger yang jujur, bukannya blogger berani mati. Saya xmau mendapat populariti segera dengan cara yang salah.

    BalasPadam
  7. saya masih belum cukup berani untuk jadi blogger berani mati. huhu
    apapun, berani biarlah bertempat..(peringatan utk diri sndiri juga)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.