Rabu, 18 Februari 2015

BERPOLITIKLAH DENGAN IKHLAS DAN JUJUR

Sumber : Google

Saya mula minat dalam dunia politik ketika saya di tingkatan dua atau pada umur 14 tahun. Pada waktu itu, PRU12 sedang berlangsung. Suka saya melihat gelagat ahli ahli politik kita di pentas pentas politik dan teringin menjadi seperti mereka. Tetapi, apabila difikirkan semula saya lebih sesuai menjadi penulis yang menulis dan mengulas tentang isu politik daripada menjadi ahli politik itu sendiri.

Menjadi ahli politik mesti berani ambil risiko, pandai membaca situasi yang berlaku, bijak, jujur, ikhlas, beriman, dan boleh survive dalam apa jua keadaan. Jika tidak ada sifat sifat yang saya sebutkan di atas, lupakanlah cita cita anda untuk jadi ahli politik. Jika jadi pun, jadilah ahli politik yang merosakkan atau ahli politik mee segera yang akan terkubur dalam masa yang singkat!

Jujur saya katakan, jika saya menjadi ahli politik, saya mungkin boleh mengelakkan diri saya dari mengambil dan memberi rasuah tetapi tidak dalam mengamalkan kronisme dan nepotisme walhal itulah sikap yang perlu dielakkan oleh seorang ahli politik. Oleh itu, sebelum saya mengamalkan sikap mazmumah itu, adalah lebih baik saya tidak menjadi ahli politik. Cukuplah sekadar menjadi penulis dan pengulas politik di dalam blog ini sahaja.


Memasuki bidang politik untuk menjadi seorang politikus yang baik mestilah ikhlas dan jujur dalam perjuangan politik itu sendiri. Di dalam jiwa seorang ahli politik yang baik mestilah tertanam azam untuk membantu rakyat serta membangunkan agama, bangsa dan tanah air. Jika kita berpolitik semata mata untuk menjadi terkenal, menjadi kaya atau ingin memegang kuasa semata mata, perjuangan dan matlamat politik kita sudah tidak suci lagi. Oleh itu, diri kita sebagai seorang ahli politik pun boleh rosak kerana sikap kita itu.

Sayang seribu kali sayang, itulah sikap yang diamalkan hampir kesemua ahli politik yang ada di negara kita pada hari ini. Agenda untuk membantu rakyat, membangunkan agama, bangsa dan tanah air sudah bukan lagi keutamaan sebaliknya mengejar pangkat, harta dan kuasa sudah menjadi buruan nombor wahid!  Oleh sebab itulah, negara kita kian hancur hari demi hari.

Politikus politikus jahat yang terlalu taksub dengan kuasa, pangkat, dan harta tadi sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat mereka itu. Ini bertepatan dengan gagasan politik yang dicetuskan oleh Nicollo Macheiveili (Bapa Politik Moden) iaitu matlamat menghalalkan cara. Mereka sanggup merasuah, menipu, membunuh, menjual agama, bangsa dan tanah air asalkan cita cita mereka yang rakus itu tercapai. Akibatnya, rakyat menjadi sengsara akibat perbuatan kejam mereka.

Apabila mereka sudah tidak boleh lagi mencapai cita cita rakus mereka tadi, mereka mula berpaling tadah dan menyokong puak puak yang selama ini mereka cemuh, caci dan keji. Mereka mula membalas dendam dengan menyokong pihak lawan yang dahulunya mereka ludah dengan kahak yang hijau pekat dan mengatakan bahawa inilah perjuangan yang tulin dan mengikut jalan yang benar. Selama ini mereka mencemuh dan tidak pernah pula mengatakan sedemikian tetapi apabila mereka sudah tidak lagi mendapat harta, pangkat dan kuasa dari pihak yang mereka sokong dahulu, mereka mula berpaling tadah dan menjadi pengkhianat!

Oleh sebab itu, kita perlu memperbetulkan dahulu niat kita menceburi bidang politik. Jika niat kita salah, tindakan kita pasti akan salah. Jika niat kita betul, tindakan kita pasti akan betul. Perlu diingatkan, tiada kawan atau musuh yang sejati dalam politik. Hari ini mereka berkawan, esok mungkin mereka berlawan dan begitu juga sebaliknya. MSO bermadah : jangan pernah percaya pada sumpah dan janji orang politik tetapi jangan rasa mustahil dengan tindakan orang politik!

Ahli politik yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan politiknya tidak takut untuk hilang pangkat, kuasa mahupun harta. Dia akan bertindak dengan jujur dan berani. Apa yang salah, akan dibangkangnya dengan berani dan apa yang betul, dia akan menyokongnya tanpa perasaan berbelah bahagi. Dia tidak takut menanggung risiko kerana dia yakin dan tahu Allah dan rakyat sentiasa bersama dirinya.

Ahli politik yang jujur dan ikhlas juga tidak akan mengambil dan menerima rasuah. Dia juga tidak akan berbohong, buat fitnah, menjual agama, bangsa dan negara semata mata kerana inginkan pangkat, harta dan kuasa tadi. Dia rela kehilangan semua itu asalkan rakyat dapat hidup dengan tenang. Dia rela kehilangan semua itu asalkan Islam, Melayu dan Malaysia kekal terpelihara sampai bila bila. Itulah ciri ciri ahli politik yang hebat dan berjaya tetapi masih adakah ahli politik seperti itu di negara kita dan berada di zaman ini?

Walaupun ada tetapi jumlahnya amat sedikit dan mungkin tidak popular kerana dicantas lebih awal oleh ahli ahli politik yang rakus dan tamak tadi. Inilah yang menyebabkan kita sukar untuk bertemu dengan mereka. Tambahan pula, mereka hidup di dalam kelompok ahli politik yang rakus dan tamak itu.

Kesimpulannya, setiap ahli politik perlu memperbetulkan semula niat mereka menceburi bidang politik itu. Adakah mereka benar benar ikhlas mahu membantu rakyat? Adakah mereka benar benar jujur untuk memperkasakan agama, bangsa dan tanah air? Jika ya, mereka sudah membuat perkara yang betul dan jika tidak, adalah lebih baik mereka berundur dari dunia politik itu sekarang!


3 ulasan:

  1. Setuju dengan kenyataan anda bila mana ramai politikus mengamalkan konsep matlamat menghalalkan cara. Sebaiknya jadikan Islam sebagai cara hidup. :)

    http://atassampan.blogspot.com/2015/02/jawatan-kosong-lembaga-getah-malaysia-3.html

    BalasPadam
  2. Takut juga kalau...
    Sebelum jadi ahli politik hati bersih, niat baik..
    Tapi,
    Bila dah jadi 1 of them terus matlamat bertukar kerana kepentingan tertentu.

    BalasPadam
  3. politik di negara kita masih belum matang..masih lagi dipengaruhi dgn faktor politik wang...hanya yg betul2 naif sje yg mengakui politik dinegara kita ni matang..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.