Sabtu, 31 Januari 2015

CERPEN : ADAKAH SAYA PERLU MEROMPAK?

Sumber : Google

          Suasana di Pasar Minggu pada pagi itu sungguh sesak dengan suara manusia yang terdiri dari pelanggan dan peniaga untuk melakukan urusan masing masing. Bagi yang jarang masuk ke Pasar Minggu itu, mungkin akan berasa tidak selesa dengan keadaan pasar yang kotor, basah dan bising itu. Berlainan pula yang biasa bertamu di pasar tersebut. Keadaan itu pasti sudah lali dalam hidup mereka.

         Di Pasar Minggu itu terdapat pelbagai barang yang boleh dibeli – makanan, pakaian, barangan dapur, perhiasan rumah, perhiasan diri, barangan basah, sayur sayuran, buah buahan dan banyak lagi. Pokok pangkalnya segala jenis barang yang diperlukan oleh orang ramai boleh didapati di pasar itu. Bukan sahaja barangnya banyak dan terdiri dari pelbagai jenis, malahan menawarkan harga yang murah pula sementelahan kualiti barang barang itu adalah rendah.

         Rata rata pengunjung yang datang ke pasar itu terdiri daripada warga kota kelas pertengahan. Warga kelas atasan pasti tidak suka datang ke pasar itu. Mereka lebih suka berkunjung ke pusat membeli belah yang mewah untuk mendapatkan barangan keperluan buat diri mereka. Oleh itu, bagi warga kota yang berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana, di pasar itulah mereka akan datang untuk mendapatkan barangan keperluan.


         Bagitu juga dengan perniaga perniaga yang membuka perniagaan kecil kecilan mereka di pasar itu. Mereka bukanlah perniaga perniaga yang kaya raya. Namun, bagi mencari sesuap nasi untuk menyara sebuah kehidupan, mereka membuka perniagaan mereka di situ. Mereka juga sama sama mahu menumpang rezeki dan rahmat Tuhan di muka bumi ini.

         Tidak ketinggalan bagi diri Rahmad – seorang anak muda lepasan sekolah menengah yang membuka perniagaan dengan berniaga ubat ubat kampung sebagai satu kerjaya bagi menyara kehidupannya. Dia tidak betah bekerja secara makan gaji. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk menjaja ubat ubatan yang diperolehinya dari seorang kawan setelah lima tahun berkhidmat sebagai pemandu lori yang menghantar barangan elektrik ke seluruh negara.

         Pagi itu seperti biasa dia pergi ke Pasar Minggu untuk berniaga. Dia memasang sebuah meja bersebelahan dengan sebuah kedai yang menjual buah buahan dan sebuah kedai menjual cendol. Nama penjual buah itu adalah Pak Shukor manakala nama penjual cendol itu adalah Kak Ayu. Sebagai jiran sebelah menyebelah, mereka bertiga agak rapat juga dan saling bertegur sapa.

         “Baru sampai Mad?” Tegur Pak Shukor ketika Rahmad sedang sibuk meletakkan ubat ubat jualannya di atas meja.

         “Ya Pak Shukor. Untung berapa hari ini Pak?”

        “Untung sikit saja. Orang tak makan buah pagi pagi macam ni. Tengah hari atau petang nanti baru rancak orang datang. Kalau kau nak makan buah, kau ambil sajalah. Kau tak payah bayar. Aku belanja.” Pak Rahmad tersenyum lalu mempamerkan giginya yang tidak berapa penuh itu.

         Lelaki yang berusia lewat 50an itu memang baik dan suka bersedekah. Tidak hairanlah mengapa perniagaannya sentiasa untung dan kekal bertahan sejak 20 tahun yang lalu. Dia suka bersedekah buah buahnya kepada kanak kanak dan perniaga perniaga yang ada di situ. Dia tidak lokek untuk mengeluarkan seringgit dua untuk diberi kepada peminta sedekah yang singgah di gerai buahnya.

         “Baiklah Pak. Kalau saya nak makan nanti saya ambil.” Balas Rahmad sambil tersenyum. Matanya tertancap kepada manusia yang lalu lalang di hadapan gerainya. Mereka sekadar memandang sahaja ubat ubatan yang terdapat di atas meja itu. Mereka langsung tidak mahu singgah untuk membeli. Rahmad sentiasa berdoa agar rezekinya ada pada hari itu.

        Kalau orang boleh beli sepuluh botol minyak gamat atau sepuluh botol minyak angin pun dia sangat bersyukur. Bukan mudah untuk orang datang singgah ke kedai ubatnya untuk membeli ubat ubatan itu.

         Dia melihat jam di tangan sudah menunjukkan ke pukul sebelas pagi. Tiada satu orang pun yang datang singgah di kedainya untuk membeli ubat. Dia melihat sudah ramai orang yang membeli cendol Kak Ayu dan buah buahan Pak Shukor. ‘Tak boleh jadi ni. Aku kena buat promosi.’ Bisik hati kecil Rahmad lalu terus berdiri.

          “UBAT UBAT UBAT...SIAPA MAHU BELI UBAT!!! ADA UBAT AKAR KAYU, UBAT GAMAT, ADA MINYAK ANGIN, MINYAK GAMAT, MINYAK URUT DAN MACAM MACAM MINYAK LAGI. MARI MARI MARI!!! MARI BELI!!! MURAH MURAH MURAH!!!” Jerit Rahmad dengan suara yang nyaring dan kuat. Hampir mahu terkeluar anak tekaknya kerana terlalu kuat menjerit. Namun itu sahajalah caranya untuk dia menarik pelanggan singgah di kedai ubatnya.

         Suasana seperti itu tidak asing lagi di pasar minggu tersebut. Memang ramai perniaga yang terjerit jerit untuk menarik perhatian pelanggan yang berkunjung ke pasar itu. Setelah hampir lima belas minit berteriak memanggil pelanggan, barulah ada tiga orang yang datang untuk membeli ubat akar kayu penawar kanser, dan dua ubat penawar kancing gigi. Rahmad sudah mula kepenatan. Dia duduk sebentar di kerusi kecilnya sambil mengipas badannya dengan topi kain lusuh.

          “Penat Mad? Kalau dahaga minumlah cendol akak ni. Kau tak payah bayar pun tak apa. Akak belanja.” Kata Kak Ayu sambil tersenyum.

        “Terima kasih Kak Ayu. Nanti kalau saya betul betul dahaga nanti saya akan ambil sendiri.” Balas Rahmad.

         Aktiviti perniagaan di pasar itu terus berjalan dengan rancaknya dan tiada apa yang boleh menghentikannya. Pengunjug semakin ramai. Keadaan menjadi bertambak sesak dan panas.

           Perniagaan Pak Shukor dan Kak Ayu semakin rancak. Buah buahan dan cendol mereka semakin laris terjual. Rahmad juga begitu. Ubat  gamat sudah tiga botol dia dapat jual pada hari itu. Bukan mudah mahu jual ubat tersebut. Harganya agak mahal juga namun khasiatnya amat bagus. Ubat itu adalah ubat penawar segala kanser dan penyakit merbahaya. Dengan izin Allah, penyakit penyakit merbahaya boleh sembuh jika makan ubat itu.

         Memandangkan tidak ada pelanggan yang singgah, Rahmad duduk sebentar di atas kerusi yang ada di situ. Dia menanggalkan bajunya kerana kepanasan. Kulitnya yang putih melepak mula sejuk sedikit apabila angin sepoi sepoi bahasa mula bertiup dari luar pintu masuk ke pasar pasar itu. Memandangkan kedai ubatnya berhampiran dengan pintu masuk, dapatlah dia merasa angin ciptaan Allah Taala. Nikmat sungguh pada waktu itu. Dia memerhatikan tubuhnya. Peluh mengalir bak air sungai menuruni bukit di celah dadanya. Badannya mula rasa melekit. Dia mengipas badan dan mukanya dengan surat khabar untuk menghilangkan peluh yang tidak diundang.

         Dia memerhatikan jam tangannya. Baru pukul dua petang pada waktu itu. Biasanya dia akan mula mengemas barang untuk pulang ke rumah pada pukul 6.30 petang. Matanya tertancap pada seorang lelaki yang berusia awal 40an sedang memasang meja di seberang jalan tetapi berhadapan dengan kedai ubatnya. Tidak lama kemudian lelaki itu meletakkan kuih muih yang diisi di dalam bekas di atas meja tersebut.

         Sudah tiga hari Rahmad melihat lelaki itu. Dia selalu benar berniaga kuih di pasar tersebut. Kuih kuih jualannya agak laris juga. Rahmad pernah beli sekali kuih karipap dan cucur udangnya. Memang sedap...tidak hairanlah kuih jualannya laris.

        Mata Rahmad sekali lagi melihat seorang lelaki tua yang hampir sebaya dengan Pak Shukor. Lelaki itu menarik satu bungkusan kain kanopi yang besar. Dia membuka bungkusan tersebut di hadapan pintu masuk ke Pasar Minggu itu. Begitu banyak sekali selipar yang berharga RM5, RM8, dan RM10 berada di dalam bungkusan itu. Rahmad belum pernah melihat lelaki tersebut. Itu kali pertama.

         “Jauh termenung?” Tegur Pak Shukor sambil melabuhkan punggungnya disebelah Rahmad.

        “Haha...tak ada la Pak...saya tengah tengok lelaki penjual kuih dengan lelaki penjual selipar tu. Dua tiga hari dah saya nampak lelaki penjual kuih tu kat sini. Lelaki penjual selipar tu baru hari ni saya tengok.” Ujar Rahmad.

        “Ohhh...lelaki penjual kuih tu memang dah tiga hari kat sini. Baru berniaga katanya. Dia kena berhenti kerja. Jadi dia ambil keputusan nak berniaga. Bila dia tengok kawasan ni bagus, dia terus berniaga kuih kat sini.” Balas Pak Shukor.

        “Dia ada permit ke dari pihak bekuasa?” Soal Rahmad seraya memandang ke arah Pak Shukor.

         “Setahu aku tak ada.” Pendek sahaja jawapan Pak Shukor.

         “Habis, perniaga perniaga kat sini tak marah ke?”

         “Nak marah apanya...dia orang Melayu...sama sama cari rezeki. Yang marah bukan perniaga kat sini tapi pihak berkuasa. Aku takut kalau pihak berkuasa datang, habis lingkup perniagaan dia.”

         “Yang penjual selipar tu pula?”

         “Itu aku tak tahu. Sama juga la agaknya dengan penjual kuih tu.”

         “Kenapa diaorang tak ambil permit ye Pak Shukor?”

         “Permit kan mahal. Setiap tahun harga mesti naik. Dengan modal lagi, apa lagi, banyak perkara yang mereka kena bayar. Ala...tak apalah diaorang nak berniaga pun. Sama sama cari rezeki. Diaorang bukan jual benda haram. Benda halal juga cuma tak ada permit saja.”

         Rahmad mengangguk tanda bersetuju dengan kata kata Pak Shukor. Pak Shukor kembali semula ke kedainya apabila ada dua orang gadis cantik singgah untuk membeli buah. Rahmad sekadar memerhati sahaja manusia yang lalu lalang di pasar tersebut. Manusia semakin ramai untuk membeli barang. Pada pemerhatiannya, belum pernah lagi pasar itu sunyi dari kunjungan orang ramai. Hari Raya Aidilfitri pun orang masih ramai – ramai dengan pendatang asing! 

           Sedang aktiviti perniagaan di situ berjalan dengan rancak, muncul dua buah lori pihak berkuasa berhenti betul betul dihadapan Pasar Minggu itu. Beberapa orang anggota pihak berkuasa setempat dengan berlainan pangkat turun dari lori tersebut dengan uniform biru mereka. Kedatangan mereka tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membuat pemeriksaan bagi menahan orang orang yang tiada permit yang berniaga di kawasan pasar itu.

          Mereka memeriksa hampir di setiap kedai untuk memeriksa permit. Bagi yang tiada permit, barang barang perniagaan mereka akan dirampas. Untung sahaja Rahmad, Pak Shukor dan Kak Ayu mempunyai permit untuk berniaga di kawasan itu. Jika tidak, sudah pasti perniagaan mereka akan musnah pada hari itu  kerana dirampas oleh pihak berkuasa.

         Rahmad melihat lelaki penjual kuih itu merayu rayu kepada pihak berkuasa agar tidak merampas barang barang perniagaanya namun tidak diendahkan. Beberapa orang anggota pihak berkuasa membaling dan mencampak sahaja kuih muih yang masih banyak itu di dalam lori mereka. Lelaki itu terus merayu dan merayu agar diberi peluang untuk hari ini sahaja namun tidak diendahkan. Kuih muihnya yang masih banyak dan masih elok itu bertaburan di dalam lori dan di atas jalan raya.

          Beberapa orang perniaga di situ termasuk Rahmad dan Pak Shukor mula memarahi pihak berkuasa atas sikap tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan mereka. Pada pandangan perniaga perniaga di situ, tidak sepatutnya pihak berkuasa melakukan perbuatan tersebut terhadap lelaki itu. Sekurang kurangnya berilah peluang kepada lelaki itu berniaga untuk hari itu sahaja.

       Namun pihak berkuasa tersebut langsung tidak mengendahkan rayuan lelaki itu apatah lagi kemarahan perniaga perniaga di kawasan itu. Mereka lekas lekas mengangkut barang barang perniaga  yang tidak ada permit ke dalam lori mereka. Tidak lama kemudian, terdengar suara hingar bingar di kawasan penjual selipar itu.

         “Kau ambil aku punya barang, aku ketuk kepala kau dengan kayu ni.” Penjual selipar itu memberi amaran kepada pihak berkuasa yang mahu mengambil selipar yang terbungkus di dalam kain kanopi itu. Untung sahaja penjual selipar itu sempat membungkus selipar seliparnya apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

        “Alah! Kecoh la kau ni. Aku bukan berniaga benda haram. Aku cuma jual selipar tak ada permit je. Orang berniaga judi dan arak kau tak tangkap, aku berniaga selipar kau tangkap. Bodoh punya pihak berkuasa! Bla la lu” Perjual selipar itu menyumpah nyumpah kemarahan sambil menghayun hayun ke udara tongkat rotan di tangannya.

          “Kau berani kau amik barang aku. Aku cucuh api rumah kau malam ni. Aku bakar anak bini kau depan mata kau nanti. Kau jangan nak main main dengan aku. Ini Malaysia tahu! Aku orang Melayu. Ni negara aku. Suka hatilah aku nak berniaga kat mana pun. Bangla dengan Indon yang berniaga secara haram kau tak tangkap. Aku berniaga kau tangkap. Puihh la..” Kata penjual selipar itu kemarahan. Dia meludah kepada pihak berkuasa tersebut dan lantas meninggalkan kawasan pasar itu.

         Keberaniannya begitu mengagumkan Rahmad dan perniaga lain di pasar itu. Mereka memberi tepukan yang paling gemuruh kepada penjual selipar tersebut yang sudah jauh meninggalkan pasar itu sambil menarik bungkusan seliparnya. Apabila semua urusan selesai, pihak berkuasa itu meninggalkan kawasan pasar itu dengan lori mereka yang sarat dengan barang rampasan.

        Penjual kuih itu menangis melihat barang barang perniagaannya dirampas. Dia sedih melihat kuih karipap, kuih apam, kuih seri muka dan goreng pisangnya berterabur di atas jalan raya. Menitik air matanya mengenang nasibnya pada hari itu.

         “Sabarlah nak...mari singgah ke kedai pakcik. Pakcik beri makan buah. Mari...” Pak Shukor menarik tangan lelaki penjual kuih itu ke kedainya. Rahmad memberikan kerusinya kepada lelaki itu untuk diduduki. Kak Ayu pula menghulurkan cendolnya kepada lelaki itu untuk diminum tanpa meminta bayaran. Pak Shukor pula memberikan buah jambu air kepada lelaki itu manakala Rahmad  cuba memujuk dan menenangkan lelaki tersebut.

          “Apalah nasib saya. Rugi teruk saya hari ni. Macam mana saya nak bayar harga kuih muih tu. Kuih kuih tu semua bukan saya yang buat. Saya ambil dari orang.” Kata lelaki itu sambil menyedut cendol pemberian Kak Ayu yang diletakkan di dalam cawan plastik.

           “Saya baru saja berhenti kerja sebab syarikat yang saya kerja tu dah muflis. Dengan berniaga kuih ni sajalah saya nak sara anak bini saya. Sekarang perniagaan saya dah musnah. Apa la saya nak sumbat anak bini saya makan?” Luah lelaki itu lagi.

       Rahmad, Kak Ayu dan Pak Shukor yang mendengar luahan hati lelaki itu turut berasa sebak. Namun, mereka tidak mampu berbuat apa apa. Mereka sendiri pun mempunyai kehidupan yang perlu mereka uruskan. Rahmad mula terfikir. Alangkah bagusnya jika dia seorang jutawan. Sudah pasti dia akan membantu anak bangsanya untuk berniaga supaya anak bangsanya tidak merempat di buminya sendiri.     

         “Saya bukan berniaga benda haram. Saya berniaga kuih saja. Saya cuma tak ada permit. Saya bukan tak nak ambil permit. Tapi harga permit terlalu mahal. Lagipun macam macam proses yang perlu saya lalui sebelum permit saya diluluskan. Permit nak lulus bukan sekejap, lama... Sementara tunggu permit nak diluluskan, apa saya nak bagi anak isteri saya makan? Saya dah berhenti kerja?” Lelaki itu mengeluh.  

         “Adakah saya kena beli pistol kemudian rompak bank semata mata nak bagi sesuap nasi pada isteri dan anak anak saya? Saya bukan orang asing. Saya warganegara ini. Susah sangatkah saya nak mencari rezeki di negara saya sendiri.” Sambung lelaki itu lagi.

         “Sabarlah nak...inilah realiti hidup kita. Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Saya tengok orang Indon, Bangla, Siam boleh saja berniaga dengan tenang kat negara ni walaupun mereka tak ada permit. Kita yang menjadi warganegara kat sini begitu susah nak cari makan walaupun kita lahir dan besar di negara ini.” Ada nada kesal dalam nada suara Pak Shukor waktu itu.

          Setelah menghabiskan cendolnya, lelaki tersebut meminta diri untuk pulang ke rumah. Rahmad dan Pak Shukor berbesar hati memberikannya sedikit wang untuk membayar harga kuih muih yang dirampas oleh pihak berkuasa itu. Lelaki itu terus berjalan pulang dan mereka sekadar memerhatikannya dengan pandangan sayu.

            Rahmad melintas jalan untuk pulang ke rumah selepas penat berniaga di Pasar Minggu. Senyumannya melebar kerana perniagaannya untung pada hari ini. Rezekinya banyak. Boleh juga dia menghantar sedikit wang di kampung bagi membantu ibu bapanya menyara persekolahan adik adiknya. Dia benar benar bersyukur. Allah senantiasa memberikan rezeki buat dirinya dan keluarga.

         Seperti biasa, apabila mahu pulang ke rumah, Rahmad perlu melalui satu kawasan perniagaan yang hanya dimonopoli oleh orang orang Cina. Di kawasan itu hanya terjual barangan mewah sahaja dan dikunjungi oleh pengunjung kelas atasan. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa orang peniaga Cina yang yang menjual buah berangan dan air mata kucing di tepi jalan yang berhampiran dengan pasar mewah itu. Dia yakin peniaga Cina itu juga tidak ada permit untuk berniaga di kawasan itu kerana kawasan itu adalah laluan pejalan kaki. Tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

         Rahmad melihat ada dua orang pegawai pihak berkuasa yang beruniform biru sedang berdiri tidak jauh dari situ. Dia lantas bergerak ke arah dua orang pegawai tersebut.

        “Encik, saya rasa peniaga Cina yang berniaga kat laluan pejalan kaki tu tak ada permit. Menurut undang undang, adalah salah seseorang perniaga yang tiada permit berniaga kat negara ni. Apa kata Encik tangkap mereka dan rampas perniagaan mereka sebab mereka tak ada permit.” Ujar Rahmad kepada dua orang pegawai tersebut setelah memberi salam dan memperkenalkan dirinya. Kelihatan dua orang pegawai itu teragak agak dan serba salah.

        “Baiklah, memang salah sebenarnya kalau berniaga tak ada permit ni. Itu Encik jangan risau. Kami akan uruskan.” Ujar salah seorang dari pegawai itu dan mereka berdua bergegas ke gerai kecil yang menjual air mata kucing dan buah berangan itu. Ironinya, mereka tidak merampas barangan perniagaan Cina tersebut sebaliknya mengarahkan mereka pergi dari tempat itu. Lekas lekas dua orang perniaga Cina itu mengemaskan barang barang mereka dan beredar dari situ.

         Rahmad memandang situasi itu dengan pandangan terkejut dan penuh rasa kesal. Padanya, dia lebih suka menjadi orang Cina, orang Bangla, orang Indon, orang Siam, dan orang berbangsa asing yang lain kerana mereka diberi banyak ‘keistimewaan’ berbanding dengan orang Melayu yang menjadi warganegara ini. Mereka beruntung kerana boleh tinggal dan bebas di Malaysia. Tetapi orang Melayu, seperti merempat di tanah airnya sendiri. Mereka dikasari apabila melanggar undang undang namun tidak pada bangsa bangsa lain. Rahmad sekadar memerhati sahaja dua orang pegawai pihak berkuasa setempat itu beredar setelah dua orang perniaga Cina itu meninggalkan kawasan tersebut. Dia sekadar mengelengkan kepala melangkah pulang ke rumah dengan penuh rasa kesal dan kecewa.









    

4 ulasan:

  1. Betul tu... Kita penduduk asal dilayan macam orang luar sedangkan orang luar dapat berbagai keistimewaan....

    BalasPadam
  2. Itulah realiti peniaga kita sekarang. Kena pandai sorong sampul bawah meja, kalau tak memang lingkup kena punggah..

    BalasPadam
  3. adakah mungkin kita menjadi rakyt asing dibumi kita sendiri??? sedih kan

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.