Sumber : Google |
“Gembira sakan nampak? Menang loteri
ke?” Usikku kepada Teresa, gadis Cina yang berusia 28 tahun itu. Dia baru
sahaja melangkah masuk ke pejabat sambil menyanyi riang. Tersungging juga
senyuman lebar di bibirnya.
“Tak baik tau you cakap macam tu sama
saya. Saya baru balik dari Ipoh la semalam sama saya punya boyfriend.”
Ujar Teresa.
“Oh...you baru jumpa you punya mummy
sama daddy ye?” Soalku.
“Yes. Saya gembira diorang
sihat.” Balas Teresa. “Lagi gembira bila hari ni birthday saya. Jeremy
nak ajak saya makan malam kat hotel malam ni.”
“Amboi...seronoknya dapat sambut birthday
dengan Jeremy. Makan kat hotel lagi...” Usikku.
“Mestilah. Bukan senang maa Jeremy
mahu ajak saya makan dekat itu hotel.” Kata Teresa.
“Okeylah...saya ucapkan selamat hari
lahir. Semoga panjang umur dan cepat cepat kahwin dengan Jeremy.” Ucapku ikhlas
sambil tersenyum.
“Hahaha...terima kasih la Halim. You
manyak baik punya kawan. Tak ada hadiah untuk saya ka?”
“Tak ada Teresa. Saya belum gaji lagi.”
“Apa la you Halim. Beli hadiah untuk saya
pun mahu kira ka?”
“You dapat hadiah dari Jeremy pun sudah
baguslah...itu Jeremy bila mahu ajak you kahwin? Sampai bila you mahu kawan
saja? You bukan muda lagi. Sudah 28 tahun tau.”
“Entahlah Halim. Itu Jeremy saya sudah
ajak kahwin tapi dia tak mahu la. Susah la itu olang.”
“You mesti paksa dia. Baru bagus
kalau sudah kahwin. Ada orang jaga sama you.” Aku menasihatinya.
“Tengoklah macam mana. Nanti saya
bincang balik sama Jeremy.”
“Ha.. macam itulah. Okeylah Teresa.
Saya ada banyak kerja mahu bikin. You pun buat kerja jugalah. Jangan asyik
ingat sama Jeremy saja.” Usikku lagi.
“Okeylah...okeylah...saya buat itu
kerja sekarang. Hahaha.” Teresa ketawa apabila mendengar kata kataku.
Aku terus bergegas ke bilikku untuk
menyiapkan tugasan yang sememangnya banyak itu. Aku memerhatikan Teresa. Ya,
Teresa memang cantik campur seksi lagi. Untung sekali dia bukan Melayu dan
bukan Islam. Jika tidak, sudah lama aku sambar Teresa untuk menjadi isteriku.
Apabila teringat isteri dan tiga orang anakku di rumah, lekas lekas aku
beristighfar.
Namun, sukar untuk aku nafikan yang
Teresa memang cantik cuma dia tidak lagi berkahwin dengan teman lelakinya sejak
mereka di tingkatan tiga lagi iaitu Jeremy. Ini bermakna sudah 14 tahun mereka
menyulam cinta! Aku berasa aneh mengapa mereka tidak lagi mendirikan
rumahtangga. Aku sudah ada dua orang anak tetapi Teresa, masih lagi anak dara!
Hati aku sering mengatakan bahawa
hubungan mereka tidak akan kekal lama. Hubungan mereka sekadar cinta monyet
zaman remaja sahaja. Mereka bukan menyulam cinta sejati sebaliknya mereka
menenun cinta yang penuh kepalsuan dan kepuraa puraan. Cinta mereka sekadar
suka suka dan untuk berseronok sahaja. Cinta mereka tidak tulus untuk dibawa
sampai ke mati.
Aku tidak tahu siapa di antara mereka
berdua yang tidak serius dalam perhubungan tersebut. Baik Jeremy mahupun
Teresa. Harapan aku hanya satu, hubungan mereka akan berkekalan sampai ke
jinjang pelamin. Aku melihat Teresa gadis yang baik dan cantik. Sesuai sekali
dengan Jeremy. Walaupun Jeremy itu tidak tampan mana, namun lelaki Cina itu ada
gaya tersendiri dalam berpakaian. Lelaki Cina itu ada imej yang hendak
ditonjolkan. Walaupun rupanya ala kadar sahaja, namun dia punya gaya. Gayanya
tidak ubah seperti artis artis Korea yang menghiasi pelbagai halaman majalah
yang terdapat di negara ini. Pengaruh gelombang Hallyu begitu membesar dalam
diri anak muda itu.
Dengan memastikan fesyennya sentiasa
dikemaskini, dicampur pula dengan gaya rambutnya yang berwarna dan mengikut
gaya terkini, mungkin itulah yang menarik minat Teresa terhadap lelaki itu. Ya,
cinta itu buta. Cinta tidak mengenal usia dan rupa tetapi dapat dirasai dalam
hati dan jiwa.
Satu hari aku melihat Ani, seorang
kerani di syarikat itu merangkap rakan sekerjaku sedang rancak bergosip dengan
Gewa, rakannya berbangsa India yang duduk di sebelah mejanya. Ani memang
terkenal dengan sikap suka bergosipnya. Ada sahaja cerita tentang rakan
sepejabatnya untuk dikongsi bersama Gewa. Gewa pula yang sememangnya minat
gosip, sudah pasti akan melayan kerenah Ani itu. Amat kenalah mereka berdua. Secocok!
“Apa yang korang berdua gosipkan tu?”
Soalku ketika menghampiri meja kerja mereka berdua.
“Tak ada apa apalah Encik Halim. Kami
berbual bual kosong je...” Jawab Ani sambil tersipu sipu malu.
“Alah...macamlah saya tak kenal awak
berdua. Awak berdua je dalam pejabat ni yang suka bergosip. Kali ni cerita
siapa pula yang awak bongkarkan?” Aku bertanya kepada Ani.
“Mana ada gosiplah Encik Halim. Kami
berbual bual kosong saja. Kami berbual pasal perkara lain.” Balas Gewa yang
fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Mungkin dia ramai kawan Melayu agaknya.
“Jangan nak bohong dengan sayalah.
Saya bukan kenal awak sehari dua. Lagipun saya ni ketua awak. Segala tindak
tanduk awak berdua sentiasa menjadi perhatian saya.” Mereka terdiam mendengar
kata kataku. Sebagai Ketua Bahagian Kewangan, memang aku sentiasa memerhatikan
dan memantau gerak geri orang bawahanku supaya mereka dapat melakukan tugas
dengan betul dan tepat pada masanya.
“Ceritalah dengan saya. Saya pun nak
tahu juga.” Ujarku apabila melihat mereka berdua hanya mendiamkan diri. Entah
mengapa aku seolah olah mahu tahu benar tentang gosip yang mereka bualkan tadi.
Kebiasaanya, aku langsung tidak mengambil endah tentang apa yang mereka
bualkan.
“Betul Encik Halim mahu tahu?” Soal
Ani sambil memandang ke wajahku untuk meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Tapi Encik Halim mesti janji yang
Encik Halim takkan beritahu sesiapa cerita ni.” Kata Gewa.
“Baiklah, saya janji.” Balasku.
“Sebenarnya Encik Halim, Teresa tu
bukan anak dara lagi!” Beritahu Ani dengan bersungguh sungguh. Aku agak
terkesima dengan kata kata yang keluar dari mulut Ani itu namun aku cuba
mengawalnya.
“Ishh, tak baik awak cakap macam tu?
Mana awak tahu dia tak ada dara lagi? Awak dah periksa ke?” Soalku kurang
percaya.
“Sepupu saya tinggal berjiran dengan
Teresa. Untuk pengetahuan Encik Halim, Jeremy tinggal serumah dengan Teresa.
Cuba Encik Halim fikir, apa yang akan terjadi kalau seorang lelaki dan seorang
perempuan akan buat apabila mereka tinggal serumah?” Aku hanya diam. Benar kata
Ani. Tetapi aku masih terkejut. Aku percaya kata kata Ani kerana Teresa dan
Jeremy itu berbangsa Cina. Tidak menjadi masalah untuk mereka tinggal serumah
walaupun tanpa ikatan perkahwinan. Sikap mereka tidak boleh dicontohi oleh
orang Melayu/Islam. Memang kena serbu dengan pejabat agamalah jawabnya.
Dengan berita yang tidak disangka
sangka dari Ani itu, aku mula khuatir memikirkan soal Teresa. Teresa sudah
seperti adikku sendiri walaupun kami berlainan agama dan bangsa. Aku bukan
risau apa. Aku risau sekiranya hubungan antara Jeremy dan Teresa retak. Lebih
parah lagi apabila Teresa hamil. Tidakkah sukar untuk Teresa meneruskan
kehidupan pada waktu itu?
Aku cuba untuk menasihati Teresa pada
suatu hari berkenaan dengan perkara itu.
“Teresa, lebih you cepat cepat kahwin sama itu Jeremy. Tak baik tinggal serumah
tanpa ikatan perkahwinan macam yang you buat sekarang sama Jeremy.”
“Macam mana you tahu saya tinggal
serumah sama Jeremy?” Soal Teresa yang jelas terkejut dengan kata kataku.
“Tak perlulah you tahu mana saya dapat
tahu. Yang penting sekarang you mesti cepat kahwin sama Jeremy. Nanti kalau you
hamil nanti lagi susah.”
“Saya sudah cakap sama Jeremy yang saya
mahu kahwin sama dia tapi dia cakap dia belum cukup duit lagi. Haiyaa...saya
pun tak tahu la mahu cakap apa lagi.” Jelas kelihatan riak sedih tergambar di
wajahnya. Aku berasa kasihan dengan Teresa. Aku dapat merasakan Jeremy bukanlah
lelaki yang baik. Dia menggunakan cinta semata mata untuk memenuhi tuntutan
nafsu seksnya sahaja sebagai seorang lelaki. Lelaki seperti itu memang tidak
berguna.
“Kalau saya jadi you. Sudah lama
saya tinggalkan Jeremy. Saya dapat rasakan dia tidak mencintai diri you sepenuh
hati. Dia hanya mahu tubuh you sahaja.” Luahku dengan berani dan berterus
terang.
Jelas Teresa terkejut dengan kata
kataku. Dia terus bersedih dan termenung di situ juga sambil memikirkan
sesuatu. “You fikirlah baik baik. Tak guna you mencintai seorang lelaki yang
jelas tindak mencintai you. Kalau dia mencintai you, sudah lama dia ajak you
kahwin. You bercinta bukan baru tau. Sudah empat belas tahun!”
“Saya yakin Jeremy cintakan saya. Dia
tidak berkahwin dengan saya bukan kerana dia tidak mencintai saya tetapi dia
tidak cukup duit lagi. Perbelanjaan kahwin dalam masyarakat Cina sangat mahal.
Okeylah Halim. Saya ada kerja. Saya pergi dulu.” Kata Melisa dan terus meninggalkan
diriku dengan tergesa gesa.. Aku sekadar memerhatikan sahaja dirinya.
Hari demi hari kami menjalani
kehidupan seperti biasa. Aku sudah jarang bertemu dengan Teresa kerana
kesibukan tugasku. Begitu juga dengan Teresa. Sebagai Penolong Pengurus Besar
syarikat tersebut, tugasnya lebih banyak dariku.
Satu ketika aku keluar makan tengah
hari bersama dengan rakan rakan sepejabatku. Kami makan di sebuah kedai mamak
yang berhampiran dengan bangunan pejabatku. Apabila aku masuk sahaja ke kedai
mamak itu, aku melihat Jeremy sedang makan berdua dengan seorang gadis Cina.
Gaya mereka amat mesra sekali. Perlakuan mereka langsung tidak menggambarkan
mereka rakan sepejabat atau rakan karib tetapi lebih kepada sebagai seorang
kekasih. Hati aku mula tidak sedap. Hanya satu sahaja perkataan yang muncul di
fikiranku pada waktu itu : curang!
Setelah menghabiskan makan tengah hari,
aku lantas pulang ke pejabat. Aku memberitahu kepada Teresa apa yang aku lihat.
Nyata Teresa tidak curiga atas perkara itu. Malah dia tidak berasa sedih pun.
“Itu kawan dia maa...saya sudah tahu.
Itu perempuan kawan satu pejabat dia.” Ujar Teresa kepadaku. Aku tidak berkata
apa apa lagi. Teresa sudah pun mengambil pendekatan begitu. Tetapi bagiku cara
Jeremy itu tidak kena. Tidak sepatutnya dia bermesra mesraan dengan perempuan
lain sebegitu rupa walaupun perempuan itu adalah rakan sepejabatnya. Aku yakin
hubungan Jeremy dengan gadis itu bukan hubungan biasa. Bukan hubungan antara
kawan dengan kawan tetapi lebih dari itu.
Walaubagaimanapun, memandangkan
Teresa sendiri tidak kisah, mengapa pula aku yang mesti sibuk sibuk. Teresa
sendiri langsung tidak mempamerkan riak cemburu atas tindakan teman lelakinya
itu dan mengapa pula aku mesti berlebih lebihan? Aku lantas meninggalkan Teresa
dan melupakan perkara itu.
Beberapa minggu selepas itu, ketika
aku sedang menyiapkan tugasan di bilik kerjaku, aku mendengar suara yang hingar
bingar di luar. Lantas aku keluar dari kamar kerjaku untuk melihat apa yang
sedang berlaku. Tahulah aku bahawa Teresa pengsan di bilik air. Aku bertanya
kepada pekerja pekerja yang berada di situ mengapa Teresa bisa pengsan namun
tiada siapa pun yang tahu.
Apabila Teresa sudah sedar, aku
bertanya pada dirinya mengapa dia boleh pengsan. Dia menceritakan sesuatu
kepadaku dan aku langsung tidak terkejut dengan ceritanya kerana aku sudah tahu
sejak dari mula lagi.
“Jeremy sudah meninggalkan saya. Dia
sudah ada teman wanita lain.” Ujar Teresa sambil menangis teresak esak.
“You sudah lupa apa yang saya beritahu
pada you dulu. Jeremy secara senyap senyap telah berlaku curang terhadap you.
Tapi you langsung tidak mahu mengambil kisah cakap saya.” Kataku.
“Saya menyesal Halim. Saya
menyesal...tak guna punya Jeremy. Saya sudah bagi dia segala galanya tapi ini
balasan dia pada saya.” Teresa terus menangis dan menangis.
Aku tidak mampu berkata apa apa lagi.
Nasi sudah pun menjadi bubur. Tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Ini adalah
soal hati dan perasaan. Oleh itu, ia tidak boleh dipaksa paksa. Aku tidak boleh
memaksa Jeremy untuk mencintai Teresa semula. Hatinya sudah ada pada gadis
lain.
“Sudahlah tu Teresa...lupakan saja
Jeremy. Cari saja lelaki lain. Ramai lagi lelaki yang lebih tampan dan lebih
hebat dari Jeremy. Jangan musnahkan hidup you semata mata untuk lelaki yang
curang macam tu.” Aku memberi nasihat kepada Teresa. Teresa hanya mendiamkan
diri dan aku pula meninggalkannya untuk memberi ruang buat dirinya untuk
berfikir.
Masa terus berlalu tanpa menunggu
manusia walaupun sekali. Beruntunglah kepada manusia yang menggunakan masa itu
dengan sebaik mungkin dan rugilah kepada manusia yang menggunakan masa itu
dengan sia sia. Aku juga terus menjalani hidupku seperti biasa sebagai seorang
manusia, hamba Allah, bapa, suami, anak dan seorang pekerja. Tiada apa apa
perubahan dalam hidup aku dalam masa setahun itu kecuali hubungan aku dengan
Teresa tidak lagi semesra dahulu.
Persahabatan aku dengan gadis Cina itu
seolah olah terputus begitu sahaja. Setiap kali aku ingin berbual bual
dengannya, aku melihat dirinya selalu sahaja termenung. Kadang kadang dia
menangis keseorangan di meja kerjanya. Bukan sahaja dengan aku, dengan pekerja
pekerja lain pun dia tidak mesra juga. Secara tidak langsung, dia telah pun
kehilangan kawan kawannya gara gara kesedihannya ditinggalkan oleh bekas
kekasihnya, Jeremy.
Melihat dirinya yang selalu termenung,
muram, bersedih dan kerap menangis itu menyebabkan aku dan kawan kawannya tidak
berani untuk mendekati dirinya. Kami hanya bisa melihat dari jauh sahaja. Kami
juga hanya mampu bersimpati dari jauh sahaja.
“Argghhh!!!” Aku terdengar suaru
jeritan seorang perempuan ketika aku sedang membancuh Nescafe di pantri pejabatku.
Kebetulan pantri itu berhampiran dengan tandas jadi jelas sekali suara jeritan
itu. Aku bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku. Aku melihat sudah
ramai orang yang terdiri dari lelaki dan perempuan sudah berkerumun di luar
tandas. Tidak lama kemudian ada beberapa orang perempuan sedang mengusung
seorang perempuan yang telah pengsan keluar.
Terkejut diriku apabila melihat
perempuan itu adalah Teresa. Titisan darah mengalir di pergelangan tangannya.
Rupa rupanya dia telah membunuh dirinya di dalam tandas dengan cara mengelar
pergelangan tangannya. Seorang perempuan Melayu di situ telah meletakkan
jarinya di nadi Teresa untuk mengetahui sama ada dia masih hidup atau tidak.
“Macam mana dengan keadaan dia?”
Soalku kepada wanita Melayu itu yang juga salah seorang pegawai di syarikat
tersebut. Wanita itu seraya memandang wajahku sambil mengelengkan kepalanya
tanda Teresa sudah pun tiada lagi di dunia ini. Perasaan hiba mula menyerang
perasaanku.
Aku sedih dengan kematian Teresa. Aku
sedih dengan tindakan Teresa yang mengambil keputusan bodoh seperti itu hanya
kerana seorang lelaki yang berlaku curang dengannya. Sesungguhnya Jeremy memang
lelaki tidak berguna. Dia langsung tidak nampak akan keikhlasan Teresa
mencintai dirinya sepenuh hati dan jiwa raganya. Aku bersimpati dengan nasib
yang menimpa Teresa. Aku kesal dengan dengan tindakan Teresa. Namun...semuanya
sudah tiada lagi. Pergilah Teresa...selamat tinggal sahabat baikku.....
Cerita yang lain dari lain.. Biasanya yg guna 'aku' akan cerita kisah hidup dia tapi 'aku' dalam cerpen ni cerita kisah kawan baik dia... Nice!! Sy sgt jealous orang yang boleh tulis guna first point of view ni...
BalasPadamsaya terus baca cerita... tak baca pun tajuk... ingat kisah diri sendiri... cerpen rupanya... sedapnya baca dari mula sampai habis... niceeee, satu jempol untuk anda
BalasPadamcerita benarkah ini?
BalasPadam70% cerita ni.betul. 30% lagi saya tambah.
PadamTeringat zaman dulu lak Haziq ^-^
BalasPadamZaman dulu? Zumal pernah dikecewakan ke?
PadamHehehe mula2 baca ingatkan duk bercerita cam kawan2 gitu ..Oh ceren rupanya..Ok ..kita suka baca dan suka citer ni hehehehe .......Buat ingatan untuk kita jugak jangan ambil jalan mudah kalau kita kecewa...Ingat tu sayangilah diri sendiri...
BalasPadam