Sabtu, 6 September 2014

RAMAI ARTIS MALAYSIA MEMALUKAN NEGARA!




           Ahad lepas atau lebih tepat lagi pada hari kemerdekaan yang lalu saya dan bapa menonton rancangan Melodi di TV3. Di dalam rancangan itu, Zuan Azmi, seorang wartawan Melodi ada menemuramah beberapa orang artis Malaysia dan bertanyakan tentang pengetahuan am mereka mengenai fakta fakta kemerdekaan sempena sambutan bulan kemerdekaan pada hari tersebut. Antara artis yang sempat ‘diterjah’ oleh Zuan Azmi adalah Maria Farida, Siti Saleha, Shaheizy Sam, Datuk AC Mizal, Acey dan Fad dari kumpulan Bocey dan beberapa orang lagi yang saya tidak ingat.

           Soalan soalan yang wartawan itu kemukakan pun tidaklah sesukar mana memandangkan soalan itu adalah soalan soalan asas tentang kemerdekaan negara ini contohnya sudah berapa lama Malaysia merdeka? Bila Malaysia merdeka? Nama bendera Malaysia? Nama lagu kebangsaan Malaysia? Siapa Bapa Pembangunan Malaysia dan banyak lagi.

          Apa yang menyedihkan dan memalukan saya apabila artis artis kita ini tidak tahu jawapan yang tepat terhadap soalan yang dikemukan! Ada yang tergagap gagap, ada yang teragak agak, dan tidak kurang juga yang memberi jawapan yang salah contohnya seperti Siti Saleha. Apabila ditanya sudah berapa tahun Malaysia merdeka, dia menjawab dengan bangganya sudah 58 tahun! Kemudian apabila dia rasa tidak yakin dia tukar 1957! Itu tidak masuk artis artis lain yang tidak tahu nama lagu kebangsaan Malaysia, nama bendera Malaysia, siapa Bapa Pembangunan Malaysia dan banyak lagi.

          Apabila melihat sikap artis artis kini ini saya sendiri rasa sedih dan kecewa. Soalan soalan itu bukanlah soalan soalan pelajar universiti tetapi soalan soalan yang sudah pasti boleh dijawab oleh pelajar pelajar sekolah rendah! Mengapa mereka jadi begitu? Pada pandangan saya, perkara ini terjadi kerana semangat dan jiwa kemerdekaan tidak dihayati oleh mereka atau lebih tepat lagi mereka tidak memahami erti kemerdekaan sebenar. Perasaan cinta dan sayang kepada negara tidak ada dalam diri mereka.

     Analoginya mudah. Jika kita sayang seseorang itu kita pasti akan ambil tahu segala apa yang ada pada diri orang itu seperti warna kegemaran, makanan kegemaran, latar belakang, sikap dan sebagainya. Begitu juga jika kita sayangkan negara kita. Kita pasti akan ambil tahu tentang bila kemerdekaan negara ini, siapa Perdana Menteri dan apa gelarannya, apa nama bendera negara tersebut dan banyak lagi. Tetapi oleh kerana perasaan cinta kepada negara tidak ada dalam jiwa mereka, maka mereka tidak ambil peduli tentang perkara itu. Mereka menganggap perkara itu sekadar remeh temeh dan bukanlah satu perkara yang penting.

     Jika selama ini saya tidak pernah berjumpa dengan manusia manusia yang tidak cintakan negara, tetapi kini saya telah menjumpainya. Ini hanyalah segelintir sahaja daripada puluhan atau mungkin ribuan manusia di luar sana yang tidak mencintai negara ini.

       Amatlah malu sebenarnya jika kita mengaku kita rakyat Malaysia, kita tinggal di negara ini sejak sekian lama tetapi kita tidak tahu tentang asas asas pembentukan negara ini. Saya cukup khuatir dengan manusia manusia jenis ini. Mengapa? Seandainya Malaysia berperang, merekalah orang pertama yang akan lari meninggalkan negara ini kerana mereka tidak ada perasaan cinta terhadap negara ini. Jika perkara semudah itu pun mereka tidak mampu menjawabnya, bagaimana pula mereka mahu mengambil tahu tentang perkara perkara besar yang sedang hangat melanda negara ini?

   Nasihat saya kepada rakan rakan semua agar tanamkanlah perasaan cinta dan sayang kepada negara ini. Ini negara kita dan tanah tumpah darah kita. Apa apa jadi kepada negara ini, di sinilah tempat kita bertahan dan berteduh. Ini bukan isu boleh atau tidak menjawab soalan soalan asas tentang kemerdekaan itu tetapi ini adalah rasa cinta dan kepedulian kita terhadap negara ini. Tidak guna menjadi rakyat Malaysia jika berapa lama Malaysia merdeka pun kita tidak tahu!


1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.