Ahad
lepas atau lebih tepat lagi pada hari kemerdekaan yang lalu saya dan
bapa menonton rancangan Melodi di TV3. Di dalam rancangan itu, Zuan
Azmi, seorang wartawan Melodi ada menemuramah beberapa orang artis
Malaysia dan bertanyakan tentang pengetahuan am mereka mengenai fakta
fakta kemerdekaan sempena sambutan bulan kemerdekaan pada hari
tersebut. Antara artis yang sempat ‘diterjah’ oleh Zuan Azmi
adalah Maria Farida, Siti Saleha, Shaheizy Sam, Datuk AC Mizal, Acey
dan Fad dari kumpulan Bocey dan beberapa orang lagi yang saya tidak
ingat.
Soalan soalan yang wartawan itu kemukakan pun tidaklah sesukar mana
memandangkan soalan itu adalah soalan soalan asas tentang kemerdekaan
negara ini contohnya sudah berapa lama Malaysia merdeka? Bila
Malaysia merdeka? Nama bendera Malaysia? Nama lagu kebangsaan
Malaysia? Siapa Bapa Pembangunan Malaysia dan banyak lagi.
Apa yang menyedihkan dan memalukan saya apabila artis artis kita
ini tidak tahu jawapan yang tepat terhadap soalan yang dikemukan! Ada
yang tergagap gagap, ada yang teragak agak, dan tidak kurang juga
yang memberi jawapan yang salah contohnya seperti Siti Saleha.
Apabila ditanya sudah berapa tahun Malaysia merdeka, dia menjawab
dengan bangganya sudah 58 tahun! Kemudian apabila dia rasa tidak
yakin dia tukar 1957! Itu tidak masuk artis artis lain yang tidak
tahu nama lagu kebangsaan Malaysia, nama bendera Malaysia, siapa Bapa
Pembangunan Malaysia dan banyak lagi.
Apabila melihat sikap artis artis kini ini saya sendiri rasa sedih
dan kecewa. Soalan soalan itu bukanlah soalan soalan pelajar
universiti tetapi soalan soalan yang sudah pasti boleh dijawab oleh
pelajar pelajar sekolah rendah! Mengapa mereka jadi begitu? Pada
pandangan saya, perkara ini terjadi kerana semangat dan jiwa
kemerdekaan tidak dihayati oleh mereka atau lebih tepat lagi mereka
tidak memahami erti kemerdekaan sebenar. Perasaan cinta dan sayang
kepada negara tidak ada dalam diri mereka.
Analoginya mudah. Jika kita sayang seseorang itu kita pasti akan
ambil tahu segala apa yang ada pada diri orang itu seperti warna
kegemaran, makanan kegemaran, latar belakang, sikap dan sebagainya.
Begitu juga jika kita sayangkan negara kita. Kita pasti akan ambil
tahu tentang bila kemerdekaan negara ini, siapa Perdana Menteri dan
apa gelarannya, apa nama bendera negara tersebut dan banyak lagi.
Tetapi oleh kerana perasaan cinta kepada negara tidak ada dalam jiwa
mereka, maka mereka tidak ambil peduli tentang perkara itu. Mereka
menganggap perkara itu sekadar remeh temeh dan bukanlah satu perkara
yang penting.
Jika selama ini saya tidak pernah berjumpa dengan manusia manusia
yang tidak cintakan negara, tetapi kini saya telah menjumpainya. Ini
hanyalah segelintir sahaja daripada puluhan atau mungkin ribuan
manusia di luar sana yang tidak mencintai negara ini.
Amatlah malu sebenarnya jika kita mengaku kita rakyat Malaysia,
kita tinggal di negara ini sejak sekian lama tetapi kita tidak tahu
tentang asas asas pembentukan negara ini. Saya cukup khuatir dengan
manusia manusia jenis ini. Mengapa? Seandainya Malaysia berperang,
merekalah orang pertama yang akan lari meninggalkan negara ini kerana
mereka tidak ada perasaan cinta terhadap negara ini. Jika perkara
semudah itu pun mereka tidak mampu menjawabnya, bagaimana pula mereka
mahu mengambil tahu tentang perkara perkara besar yang sedang hangat
melanda negara ini?
Nasihat saya kepada rakan rakan semua agar tanamkanlah perasaan
cinta dan sayang kepada negara ini. Ini negara kita dan tanah tumpah
darah kita. Apa apa jadi kepada negara ini, di sinilah tempat kita
bertahan dan berteduh. Ini bukan isu boleh atau tidak menjawab soalan
soalan asas tentang kemerdekaan itu tetapi ini adalah rasa cinta dan
kepedulian kita terhadap negara ini. Tidak guna menjadi rakyat
Malaysia jika berapa lama Malaysia merdeka pun kita tidak tahu!
bukan artis jer ramai orang awam jugak masih ada yang tak tahu..
BalasPadam