Menjadi
impian oleh ramai anak muda untuk menjejakkan kaki ke universiti. Hal ini
kerana, memasuki universiti bukan sahaja melambangkan ketinggian ilmu, malah
melambangkan ketinggian martabat dan prestij seseorang manusia itu.
Masih
tersemat kukuh dalam fikiran sebilangan masyarakat kita bahawa jika seseorang
itu memasuki universiti, maka orang itu akan mendapat kerja yang bagus,
mempunyai gaji yang banyak, mempunyai rumah yang besar dan mempunyai kereta
yang mewah. Masih tersemat kukuh dalam fikiran sebilangan masyarakat kita
bahawa orang yang keluar dari universiti pasti akan mendapat kerja.
Fikiran
itu barangkali betul jika seseorang itu hidup di tahun 60an, 70an, 80an atau
90an. Namun, pada tahun 2018 ini, sepatutnya fikiran tersebut wajar
disingkirkan. Hal ini kerana, zaman sudah berubah. Bukan semua siswazah lepasan
universiti pasti akan mendapat kerja setelah mereka keluar dari universiti.
Bukan semua pelajar lepasan universiti akan mampu untuk mendapat gaji yang
banyak, rumah besar dan kereta mewah. Rata-rata siswazah lepasan universiti
sekarang sedang bersaing untuk merebut tempat di pasaran kerja. Bagi yang
bernasib baik, mereka pasti akan mendapat kerja dalam waktu yang singkat. Bagi
yang kurang bernasib baik, mereka akan menganggur berbulan-bulan lamanya.
Universiti
yang merupakan gedung ilmu itu bukan lagi menjadi pusat keilmuan sebaliknya
menjadi kilang. Fungsi universiti untuk melahirkan seorang manusia yang berilmu
telah berubah kini menjadi kilang untuk melahirkan beribu-ribu produk bernama
pekerja.
Kebanyakan
siswa siswi yang memasuki universiti kini bukanlah untuk menimba ilmu
sebaliknya berusaha untuk menjadi seorang pekerja bagi memenuhi pasaran kerja
sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta.
Oleh
sebab itulah kebanyakan siswa siswi yang memasuki universiti kerana untuk
memenuhi pasaran kerja sama ada untuk menjadi jurutera, wartawan, arkitek dan
sebagainya, maka ilmu yang mereka timba di universiti itu kebanyakannya tidak
melekat dalam hati dan minda mereka. Mereka belajar dan menimba ilmu di
universiti itu semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan sahaja.
Apabila
siswa dan siswi di universiti kebanyakannya mahu bergelar seorang pekerja dan
bukannya untuk mendapat ilmu, maka mereka tidak berperanan dalam masyarakat
seperti yang sepatutnya. Setelah mereka menamatkan pengajian di universiti,
mereka hanya sibuk dengan urusan kerja dan peribadi mereka sahaja tanpa
berbakti semula kepada masyarakat.
Jelaslah
di sini bahawa pemikiran kapitalis telah terpasak kukuh di universiti.
Pemikiran kapitalis yang bertuhankan keuntungan dan bernabikan wang ringgit
telah dianuti oleh para pensyarah dan siswa siswi di universiti. Oleh sebab
itulah kebanyakan siswa dan siswi masuk ke universiti bukanlah untuk menimba
ilmu sebaliknya untuk mendapat kerja yang bagus setelah mereka tamat belajar
nanti.
Dalam
pemikiran kapitalis, selain untuk mengejar keuntungan dan wang ringgit, kereta
mewah dan rumah besar ialah lambang manusia yang berjaya. Jika tidak mempunyai
rumah besar, kereta mewah atau gaji yang banyak bukanlah lambang manusia yang
berjaya (dalam pemikiran kapitalis). Pemikiran sebeginilah yang terpasak kukuh
dalam diri dan minda siswa dan siswi kita. Dan oleh sebab itulah mereka lebih
suka bergelar seorang pekerja daripada bergelar seorang ilmuan, intelektual dan
cendekiawan yang sememangnya boleh berbakti semula kepada masyarakat.
Siswa
dan siswi perlu menabur bakti semula kepada masyarakat setelah mereka
menamatkan pengajian mereka di universiti. Mereka perlu membantu masyarakat
mereka yang susah dan tertindas di negara ini. Mereka perlu berjuang untuk
masyarakat mereka supaya nasib masyarakat yang miskin dan tertindas di negara
ini boleh terbela.
Terdapat
banyak cara untuk siswazah lepasan universiti ini untuk berbakti semula kepada
masyarakat. Salah satu caranya ialah dengan menulis. Sekarang ini semua orang
sudah mempunyai medianya sendiri iaitu Facebook. Gunalah ilmu yang mereka timba
di universiti itu untuk mencerdikkan masyarakat seandainya ada isu-isu panas
yang timbul dan mampunyai kaitan dengan ilmu yang mereka pelajari di universiti
itu.
Siswa
dan siswi di universiti perlu menukar minda mereka untuk menimba ilmu dan
bukannya menjadi seorang pekerja. Tidak salah untuk mereka kejar impian mereka
untuk bekerja sebagai apa setelah mereka tamat pengajian nanti tetapi suka
ataupun tidak, mereka perlu membantu masyarakat, agama, bangsa dan negara
mereka supaya lebih maju dan gemilang pada hari ini dan akan datang.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.