Rabu, 22 Ogos 2018

JENIS-JENIS ADAT DALAM MASYARAKAT MELAYU

Image result for adat melayu
Sumber Gambar


Antara syarat untuk bergelar seorang yang berbangsa Melayu di Malaysia ialah mesti mengamalkan adat istiadat Melayu.

Adat dalam masyarakat Melayu itu banyak sebenarnya tetapi secara umumnya adat Melayu terbahagi kepada empat jenis.

Tahukah anda jenis-jenis adat yang wujud dalam masyarakat Melayu? Pasti ramai sebenarnya yang tidak tahu.

Oleh itu, pada hari ini, kami ingin kongsikan kepada anda semua jenis-jenis adat yang wujud dalam masyarakat Melayu. Adat-adat tersebut ialah :

Adat yang sebenar adat

Maksud adat ini ialah hukum tabii yang diciptakan oleh Allah. Adat jenis ini merangkumi setiap benda atau unsur di dunia ini yang wujud dalam keadaan semulajadi dan tertakluk kepada fitrah atau hukum semulajadi.

Contoh : adat api membakar, adat air membasah, adat angin menyejukkan, adat ayam berkokok dan adat tajam memutuskan.

Adat yang diadatkan

Adat jenis ini lebih dikenali sebagai hukum adat iaitu peraturan hidup yang diwujudkan oleh nenek moyang orang Melayu dahulu untuk memastikan terdapat keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Maksudnya, adat jenis ini ialah hukum, undang-undang, dan peraturan yang disebut hukum adat yang tidak bertulis.

Contoh : jangan duduk di atas bantal nanti kepala tumbuh bisul, anak perempuan yang belum berkahwin dilarang menyanyi di dapur nanti dapat suami tua, jangan tambah nasi ketika nasi sudah habis di pinggan nanti rezeki susah masuk dan sebagainya.

Adat istiadat

Adat jenis ini ialah ritual-ritual yang sering mengiringi sesuatu majlis yang dianggap rasmi.

Contoh : adat cukur jambul, adat berkahwin, adat berkhatan, adat pertabalan raja dan sebagainya.

Adat resam

Adat jenis ini merangkumi kebiasaan atau kelaziman manusia daripada segi perbuatan, berpakaian, makan, menghias diri dan sebagainya.

Contoh : terlopong sewaktu menonton televisyen, menggaru kepala apabila tidak faham, tersengih-sengih apabila berasa malu, memakai kain pelikat di rumah pada waktu malam dan sebagainya.

Itulah jenis-jenis adat yang wujud dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu sebenarnya kaya dengan adat cuma adat-adat ini semakin dilupakan terutama orang muda oleh kerana lupa jati diri sebagai orang Melayu memandangkan sudah terhasut dengan kehidupan moden. Adat-adat ini perlu dijaga supaya tidak terus hilang ditelan zaman sampai bila-bila.

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today. Ini ialah versi artikel asal.  

3 ulasan:

  1. Baru tau banyak juga istilah tentang adat ni.

    BalasPadam
  2. melayu memang kaya dgn adat :)
    kena berpegang dgn adat.
    ada yg ok. ada yg kurang ok.
    kena selari dgn situasi dan keadaan.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.