Jumaat, 3 Ogos 2018

FILEM-FILEM TERBAIK P. RAMLEE

Image result for p ramlee
Sumber


P. Ramlee merupakan anak seni yang tiada galang gantinya di dunia ini. Sukar sekali mahu mencari anak seni atau selebriti di negara ini yang setaraf dengan P. Ramlee. Mungkin anak seni atau selebriti yang setaraf dengan P. Ramlee itu ada tetapi masih belum dilahirkan. 

P. Ramlee menjadi hebat adalah kerana dia mempunyai pelbagai bakat. Beliau bukan sahaja boleh menyanyi malahan juga boleh berlakon, mengarah, mencipta lagu, melawak dan bermain muzik. Sebab itulah P. Ramlee ini insan seni yang sukar dicari ganti. Ini kerana belum ada lagi insan seni pada zaman sekarang yang mempunyai pelbagai bakat seperti beliau. 

P. Ramlee boleh menjadi seorang anak seni yang hebat bukanlah kerana beliau mempunyai pelbagai bakat sahaja tetapi juga kerana filem-filem yang beliau hasilkan mempunyai mutu dan kelasnya yang tersendiri. Filem-filem beliau bukan sahaja digarap dengan penuh kreativiti malah mempunyai sindiran-sindiran sosial, moral, pemikiran dan intelektual. Bukan itu sahaja, lawak-lawak jenaka yang wujud dalam filem-filem beliau juga menjadi daya penarik untuk orang ramai berasa tidak jemu untuk menonton filem-filem beliau berkali-kali.

Saya bukanlah peminat tegar P. Ramlee tetapi saya membesar dengan menonton filem-filem beliau di televisyen. Filem-filem beliau yang kelihatan biasa tetapi lain daripada yang lain itu amat memikat hati saya.

Di bawah saya senaraikan filem-filem terbaik yang pernah beliau hasilkan.

Ibu Mertuaku  

Filem ini terbaik bagi saya bukan sahaja kerana mempunyai banyak nilai moral yang boleh dipelajari malah lakonan yang dipersembahkan oleh para pelakonnya amat baik. Watak yang paling menyerlah tentulah watak Nyonya Mansur lakonan Mak Dara. Watak inilah yang sebenarnya memberi ‘nyawa’ kepada keseluruhan jalan cerita. Tema yang cuba diungkapkan oleh P. Ramlee dalam filem ini biasa sahaja kerana memaparkan tema cinta terhalang kerana berbeza darjat kehidupan. Filem-filem yang memaparkan tema sebegini sudah amat biasa ditemui. Namun, dengan adanya watak Nyonya Mansur itu, filem ini berada pada kelasnya yang tersendiri. Saya yakin tanpa adanya watak Nyonya Mansur itu, pastilah filem ini berada pada tahap yang biasa sahaja.

Nujum Pak Belalang

Filem ini merupakan sebuah filem yang terbaik kerana bukan sahaja memaparkan intelektual P. Ramlee sebagai seorang pengarah, malah digarap dengan penuh kreativiti. Sindiran-sindiran sosial melalui filem ini begitu kuat sekali cuma sindiran tersebut terlalu halus sehingga sukar difahami. Intelektualiti P. Ramlee melalui filem ini terserlah ketika beliau melakonkan watak ahli nujum negeri Beringin Rendang semasa menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh ahli nujum negeri Masai lakonan Udo Omar. Begitu juga dengan lakonan Bad Latiff sebagai Belalang yang sememangnya memberi ‘nyawa’ kepada filem ini.

Tiga Abdul

Filem ini menjadi menarik bukan sahaja kuat sindiran sosialnya kepada pihak-pihak tertentu tetapi juga sedikit sebanyak memaparkan intelektualiti P. Ramlee sebagai seorang pengarah. Nilai-nilai moral sangat luas dituangkan oleh P. Ramlee melalui filem ini. P. Ramlee cuba mendidik penonton melalui filem ini baik secara langsung mahupun secara sindiran yang bersifat kritikan. Seperti biasa, bukan semua orang dapat memahami sindiran yang cuba P. Ramlee sampaikan. Hanya orang yang mahir sahaja yang dapat menafsirkannya dengan baik.

Musang Berjanggut

Filem ini turut memaparkan P. Ramlee sebagai insan seni yang intelektual. Intelektualiti itu boleh dilihat melalui watak Puspawangi lakonan Saadiah. Bukan itu sahaja, sindiran-sindiran P. Ramlee terhadap pemerintah-pemerintah negara turut dimuatkan dalam filem ini. Sindiran-sindiran itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada pemerintah negara pada hari ini dan akan datang. Walau bagaimanapun, oleh kerana sindiran-sindiran yang P. Ramlee ungkapkan itu terlalu halus dan disulami dengan lawak jenaka, maka kebanyakan orang yang menonton filem ini tidak dapat menangkap maksud sebenar yang P. Ramlee mahu sampaikan.

Pendekar Bujang Lapok

Filem ini menjadi menarik bukan sahaja kerana terlalu menggelikan hati tetapi juga sindiran-sindiran sosialnya terhadap pemerintah dan golongan kaya yang suka menindas golongan bawahan begitu terserlah. Perkara ini terserlah sewaktu filem ini memaparkan babak di jeti semasa penumpang mahu menaiki sampan. Lawak pecah perut yang dipaparkan oleh tiga watak utamanya iaitu Ramlee (P. Ramlee), Sudin (S. Samsudin) dan Ajis (Aziz Sattar) menjadi tarikan utama para penonton menonton filem ini berkali-kali tanpa pernah berasa jemu.

Kesimpulan

Sebenarnya ada banyak lagi filem-filem P. Ramlee yang bermutu tetapi saya menyenaraikan lima sahaja yang paling terbaik bagi saya. Saya yakin para pembaca pasti mempunyai pilihan sendiri terhadap filem-filem P. Ramlee yang terbaik. Walau apa pun, P. Ramlee tentunya seorang pembikin filem Melayu yang hebat dan berada kelasnya yang tersendiri. Sehingga sekarang saya masih tertanya-tanya, siapakah yang dapat menggantikan P. Ramlee di dunia ini? Atau adakah P. Ramlee sememangnya tiada galang ganti? 

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today. Artikel ini adalah versi asal. 

4 ulasan:

  1. Filem-filem kesukaaan zumal tu...

    BalasPadam
  2. Suka dan tak pernah boring tgk filem beliau. Tiada galang gantinya.

    BalasPadam
  3. Once a legend, always a legend :)

    BalasPadam
  4. lagenda yg x lupus dek zaman..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.