Sabtu, 11 Ogos 2018

ENAM SEBAB ORANG KETAGIH SELFIE


Image result for selfie
Sumber


Menjadi semacam budaya pada hari ini apabila orang ramai dilihat sangat ‘gila’ berswafoto (selfie). Ke mana sahaja mereka pergi atau apa sahaja yang mereka lakukan mereka pasti akan berswafoto. 

Sama ada mereka ke tandas, ke kelas, ke restoran, ke perpustakaan, atau ke mana sahaja mereka pergi, mereka pasti akan berswafoto. Begitu juga apabila mereka hendak makan, hendak tidur, hendak mandi, hendak menyiapkan tugasan atau apa sahaja yang mereka lakukan, mereka pasti akan berswafoto. 

Berswafoto ini seolah-olah menjadi satu ketagihan bagi sebilangan orang. Rasa tidak lengkap hidup mereka jika mereka tidak berswafoto dalam sehari. 

Oleh itu, pada hari ini, saya ingin mendedahkan kepada anda enam sebab ramai orang ketagih berswafoto. Sebab-sebab tersebut ialah :

Cara baru untuk berkomunikasi

Pada hari ini, berswafoto merupakan salah satu cara manusia moden berkomunikasi. Apabila mereka berswafoto, mereka akan memuat naik gambar swafoto mereka itu di media sosial. Melalui gambar swafoto, mereka mahu memberitahu kepada orang ramai tentang di mana mereka berada atau apa yang mereka lakukan. Jika mereka memberitahu kepada orang ramai melalui ucapan lisan, pasti orang berasa jengkel. Maka, gambar swafoto ialah cara terbaik untuk mereka berkomunikasi dengan orang ramai tentang keadaan diri mereka pada sesuatu masa.

Untuk menyimpan memori atau kenangan

Gambar ialah salah satu cara untuk manusia menyimpan sebarang memori atau kenangan yang berlaku dalam kehidupan mereka. Otak manusia memang tidak dapat menyimpan banyak memori dalam tempoh masa yang lama. Maka, dengan bantuan gambar swafoto banyak memori indah dalam hidup manusia dapat disimpan seperti gambar beswafoto ketika berkelah di tepi pantai yang indah, ketika anak baru dilahirkan, ketika menyambut hari lahir kawan dan sebagainya.

Untuk menunjuk-nunjuk

Terdapat orang tertentu yang suka berswafoto bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan dan kekayaan yang mereka ada. Setiap kali mereka membeli kereta mewah, rumah besar atau beg tangan yang mahal, mereka pasti berswafoto dengan barang-barang tersebut untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan di media sosial. Mereka berasa bangga melakukan perbuatan itu kerana mereka tahu tidak ramai orang mempunyai kelebihan seperti mereka.

Untuk ekspresi diri

Sekeping gambar sebenarnya bernilai seribu perkataan. Dalam sekeping gambar juga mempunyai sebuah cerita di sebaliknya. Gambar swafoto yang diambil dengan cara tertentu akan memberi maksud tertentu kepada gambar tersebut. Terdapat orang tertentu yang mengambil gambar swafoto untuk mengekspresikan sesuatu kepada orang yang melihat gambar tersebut. Hanya orang yang melakukan swafoto itu sahaja yang memahami apa yang ingin mereka sampaikan dan maksud di sebalik gambar yang mereka muat naik di media sosial itu.

Pengaruh media sosial

Kewujudan media sosial seperti Instagram misalnya telah menyebabkan gejala berswafoto ini semakin berleluasa terutama dalam kalangan generasi muda. Mereka berlumba-lumba untuk berswafoto untuk dimuat naik ke Instagram bagi menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada rakan-rakan mereka. Oleh kerana ramai orang melakukan perbuatan tersebut, maka perbuatan berswafoto ini telah menjadi budaya ikutan oleh ramai orang pada hari ini.

Untuk mempengaruhi orang lain

Perkara ini dilakukan oleh golongan selebriti untuk mempromosikan sesuatu. Misalnya mereka berswafoto dengan poster filem terbaru mereka untuk mengajak orang ramai pergi menonton filem tersebut di pawagam ataupun mereka berswafoto dengan produk-produk tertentu supaya orang ramai membeli produk-produk tersebut.

Itulah senam sebab mengapa orang ramai begitu ketagih berswafoto pada hari ini. Mungkin ada di antara sebab di atas yang mendorong anda suka berswafoto setiap hari. Bagaimana dengan anda? Apakah yang mendorong anda begitu suka berswafoto? Anda sahajalah yang tahu jawapannya. 

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today. Artikel ini adalah versi asal. 

7 ulasan:

  1. honestly, saya tak suka berswafoto..hikhik

    BalasPadam
  2. Gambar-gambar berbicara sendiri, dapat menonjolkan mood pemilik akaun media sosial tu juga...

    BalasPadam
  3. Saya pun tak suka selfie, tgkp gambar suka, gbr sdiri tak suka 😊😊

    BalasPadam
  4. Selalu selfie untuk ambil profile picture socmed saja. Biasanya suka snap gambar makanan. Mungkin sebab excited nak simpan/kongsi rasa sedap makanan tu....& sebab presentation makanan tu penuh seni. ����

    BalasPadam
  5. selfie di tandas tu bahaya.. haha

    BalasPadam
  6. hehe syukur tak masuk kategori ketagih lagi =P

    BalasPadam
  7. gambar mgkin boleh berbicara, tapi ia boleh juga disalah ertikan. pd sy yg penting jgn keterlaluan

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.