Sumber |
Mengambil makanan yang berkhasiat
adalah sesuatu yang penting untuk menjaga kesihatan. Jika kita sering mengambil
makanan yang tidak berkhasiat, pastilah kesihatan kita akan terjejas.
Saya yakin setiap daripada kita pasti
mempunyai hasrat untuk mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari. Ini semua
gara-gara kita berasa khuatir kita akan jatuh sakit. Kita takut melihat
orang-orang di sekeliling kita yang terlantar sakit di hospital atau meninggal
dunia gara-gara penyakit yang berbahaya.
Walau bagaimanapun, untuk mengambil
makanan yang berkhasiat itu bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini kerana, kita
sering kali dipengaruhi oleh perkara-perkara tertentu yang menyebabkan kita
sering gagal mengambil makanan yang berkhasiat.
Di bawah merupakan sebab-sebab
mengapa kita sering gagal mengambil makanan yang berkhasiat :
Sering diajak makan oleh kawan
Setiap kali kita ingin mengambil
makanan yang berkhasiat, pasti kawan-kawan kita akan mengajak kita makan di restoran-restoran
yang menyediakan makanan yang tidak berhasiat. Oleh sebab kita mahu menjaga
hati kawan, maka hendak tidak hendak kita terpaksa melupakan hasrat kita untuk
makan makanan yang berkhasiat itu.
Malas
Kita bukan sahaja malas untuk
menyediakan makanan yang berkhasiat, malah kita juga malas untuk mengambil
makanan yang berkhasiat. Hal ini kerana, makanan yang berkhasiat itu semestinya
tidak sedap berbanding dengan makanan yang tidak berkhasiat.
Kurang motivasi
Oleh kerana kita tidak mempunyai motivasi,
maka kita tidak mahu mengambil makanan yang berkhasiat. Kita mungkin tidak
mempunyai orang yang boleh memotivasikan diri kita setiap hari untuk mengambil
makanan berkhasiat memandangkan kita tinggal berseorangan. Oleh yang demikian,
kita pasti akan mudah mengalah dan patah semangat.
Banyak makanan yang enak
Malaysia adalah sebuah negara yang
mewah dengan makanan yang enak dan sedap. Ke mana sahaja kita pergi, kita pasti
akan bertemu dengan makanan yang enak dan sedap itu. Oleh yang demikian, hasrat
kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat itu sering kali musnah gara-gara
melihat makanan yang sedap-sedap dan enak-enak di sekeliling kita.
Kawan sering memuat naik gambar makanan di media sosial
Sangat malang apabila kita mempunyai
kawan yang suka makan dan suka pula memuat naik gambar makanan enak yang mereka
makan di media sosial. Oleh kerana mereka selalu memuat naik gambar makanan
yang enak-enak, maka kita akan mudah untuk tergugat. Air liur kita sering kecur
melihat makanan yang enak-enak itu. Maka, kita pun akan pergi ke restoran yang
kawan kita pergi itu untuk mendapatkan makanan tersebut.
Ibu bapa paksa makan
Antara salah satu keburukan apabila
tinggal bersama ibu bapa ini ialah apabila ibu bapa kita jenis yang tidak
mengambil makanan yang berkhasiat. Oleh itu, masakan yang disediakan oleh
mereka pastilah tidak berkhasiat. Oleh kerana mereka sudah pun masak, mereka
pasti akan memaksa kita untuk menghabiskan makanan tersebut kerana tidak mahu
membazir. Jika kita enggan, pastilah kita akan dimarahi oleh ibu bapa.
Perlu melayan pelanggan atau pembekal
Kes sebegini biasanya dialami oleh
orang yang berniaga. Oleh kerana kita perlu melayan pelanggan atau pembekal
kita supaya tidak lari kepada peniaga lain, maka kita pun melayan mereka dengan
menyediakan makanan yang enak-enak tetapi tidak berkhasiat. Oleh kerana kita
yang menyediakan makanan tersebut, maka kita pun perlulah makan sekali untuk
menjaga hati mereka. Maka, hasrat kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat
pun lantas musnah!
Kurang tekad dan kesabaran
Tekad dan kesabaran adalah sesuatu
yang amat penting dalam menjalani hidup yang sihat. Hal ini kerana, cabaran itu
sering datang daripada pelbagai arah. Kita perlu sentiasa menguatkan tekad dan
perlu banyak bersabar untuk mengambil makanan yang berkhasiat. Jangan mudah
terpengaruh dengan perkara-perkara negatif yang berlegar-legar di sekeliling
kita.
Tiada kawan
Kawan adalah sesuatu yang penting
untuk kita mengambil makanan yang berkhasiat. Jika kita tidak mempunyai kawan
yang turut sama mahu mengambil makanan yang berkhasiat, kita pasti akan mudah
tergugat dan patah semangat. Kawan juga antara orang yang akan sentiasa memberi
motivasi kepada kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat.
Tiada disiplin
Disiplin adalah sesuatu yang amat
penting dalam setiap apa yang ingin kita lakukan. Jika kita tidak berdisiplin
dalam mengambil makanan yang berkhasiat, maka kita pasti akan gagal. Kita perlu
sentiasa melatih diri untuk mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari walau
apa pun dugaan yang mendatang.
Tidak mempunyai niat
Dalam Islam, apa pun yang kita
lakukan mestilah bermula dengan niat. Sebab itulah kita mesti mempunyai niat
yang baik jika kita ingin melakukan sesuatu. Jika sedari awal lagi kita
sememangnya tidak mempunyai niat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat,
bagaimana mungkin kita akan mengambil makanan yang berkhasiat?
Tidak suka membazir
Tidak suka membazir ini merupakan kes
yang terpencil. Perkara ini terjadi apabila kita telah banyak membeli makanan
yang tidak berkhasiat, tetapi tiba-tiba sahaja (entah bagaimana) kita memasang
niat untuk mengambil makanan yang berkhasiat. Namun, oleh kerana kita sudah
banyak membeli makanan yang tidak berkhasiat, maka kita terpaksa melupakan hasrat
kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat tersebut supaya tidak membazir.
Sibuk bekerja
Sibuk bekerja juga adalah antara
faktor yang mendorong seseorang untuk mengambil makanan yang tidak berkhasiat. Apabila
kita sibuk bekerja, maka kita akan menjadi letih. Oleh kerana kita terlalu
letih, maka kita mengambil apa-apa sahaja makanan sama ada makanan itu
berkhasiat atau tidak.
Selalu tertekan
Terdapat segelintir orang apabila
mereka tertekan mereka akan makan dengan sebanyak-banyaknya. Tabiat ini
bukanlah tabiat yang baik. Jika kita tertekan sekali sekala tidak mengapalah
juga. Bagaimana jika kita selalu tertekan? Pasti kita akan banyak mengambil
makanan yang tidak berkhasiat. Adalah sesuatu yang janggal apabila kita berada
dalam keadaan tertekan, kita hanya mengambil sayur-sayuran sahaja untuk
menhilangkan tekanan kita.
Tiada sokongan
Sokongan daripada ahli keluarga dan
rakan adalah sesuatu yang amat penting jika kita ingin mengambil makanan yang
berkhasiat. Jika ahli keluarga atau rakan tidak menyokong hasrat kita, pasti
kita akan mudah mengalah. Oleh itu, jika terdapat ahli keluarga atau rakan kita
yang berhasrat untuk mengambil makanan yang berkhasiat, maka sokonglah hasrat
mereka itu.
Mengambil makanan yang berkhasiat
merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan. jika kita sering mengambil
makanan yang tidak berkhasiat, pasti kita akan mudah menerima penyakit. Berazam
dan berusahalah untuk mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari jika kita
ingin hidup lama dan kekal sihat sentiasa.
Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today
Zumal setuju sangat...
BalasPadamSering plan nak ambik mknan sihat tp masalah besar, tak berdisplin. Selalu hangat2 taik ayam je 😊
BalasPadam