Isnin, 30 Julai 2018

ANTARA SAYA DAN KHALID SALLEH

Sumber : Google


Pada 23 Julai 2018 yang lalu, saya mendapat berita bahawa seniman Khalid Salleh telah meninggal dunia. Sudah pastilah saya terkejut menerima berita itu. Saya memang mengetahui sebelum ini beliau sakit. Namun, tidaklah saya tahu beliau sakit dengan begitu teruk.

Sudah tentu sebagai peminat beliau saya berasa sedih. Inilah kali pertama saya berasa sedih apabila menerima berita kematian seorang seniman. Sebelum ini pun, ramai sahaja seniman dan selebriti yang meninggal dunia tetapi tidak pula saya berasa sedih.

Kali pertama saya mendengar nama Khalid Salleh adalah melalui bapa saya (tidak silap saya ketika kami menonton rancangan Expose Mistik yang beliau menjadi pengacara). Bapa saya menceritakan bahawa dia selalu menonton teater-teater yang diarahkan dan dilakonkan oleh Khalid Salleh sewaktu zaman mudanya. Dia menonton banyak teater yang dilakonkan oleh seniman itu tetapi teater yang paling dia ingat ialah teater Si Bereng Bereng.

Saya tidak pasti sama ada bapa saya meminati Khalid Salleh atau tidak tetapi dia selalu berkata kepada saya bahawa Khalid Salleh itu anak seni yang tulen. Dia pernah melihat Khalid Salleh mengayuh basikal dengan baju-T pagoda dan seluar jeans lusuh untuk pergi mengarah teater.

Bapa saya mengatakan bahawa terdapat perbezaan antara anak seni dan selebriti. Pelakon yang saya selalu tonton di televisyen itu bukanlah anak seni tetapi hanyalah selebriti. Bapa saya kata, jika hendak menjadi kaya, ada rumah besar, kereta mewah dan perkahwinan kita ditaja orang, jadilah selebriti dan bukannya anak seni. Anak seni yang tulen dan jati memang tidak akan mendapat semua itu. Contoh anak seni adalah seperti Khalid Salleh.

Anak seni berada dalam dunia seni menggunakan bakat mereka tetapi selebriti berada dalam dunia seni (kalau itu masih lagi boleh dipanggil seni) menggunakan paras rupa mereka. Anak seni menggunakan seni untuk berjuang demi masyarakat dan seluruh umat manusia tetapi selebriti menggunakan seni untuk mencari populariti dan kekayaan dirinya.

Ketika saya mendengar apa yang bapa saya kata itu saya tidaklah terlalu mengambil cakna. Namun, semakin saya membesar dan banyak membaca, barulah saya berfikir mengenai apa yang bapa saya kata itu.

Saya tidak ingat bila saya meminati Khalid Salleh tetapi apa yang pasti, saya meminati Khalid Salleh setelah saya jatuh hati dengan dunia teater. Saya bercita-cita untuk menjadi pelakon teater. Namun, oleh kerana saya ini mudah gugup dan tidak dapat menghafal skrip dengan baik, maka saya terpaksa melupakan cita-cita saya itu.

Sejak itu saya banyak mencari dan menyelidik mengenai diri beliau. Saya tahu beliau seorang pelakon dan pengarah teater yang terkenal. Namun, saya tidak pernah menonton teater lakonan beliau secara langsung. Saya hanya sempat menonton dua sahaja teater yang beliau lakonkan iaitu teater Jual Ubat dan Monolog Asean 2015 di laman Youtube.

Saya juga pernah melihat beliau berforum mengenai puisi dan seni di Istana Budaya (Forum Puisi Untuk Semua) dan di Pusat Dagangan Dunia Putra (Program Wawancara Sofa Putih ITBM) di laman Youtube. Saya tertarik dengan kata-kata beliau sebenarnya. Beliau bukan sahaja bijak berkata-kata malah lucu pula.

Khalid Salleh sebenarnya banyak mempengaruhi saya dalam sajak. Saya banyak menonton beliau membaca sajak di laman Youtube. Sajak beliau yang paling berkesan dalam diri saya ialah sajak Kalau Aku Menjadi PM. Dan sajak yang beliau deklamasikan begitu memberi kesan kepada saya ialah sajak Bersatulah Pelacur Pelacur Kota Jakarta karya W.S Rendra.

Oleh kerana saya acapkali menonton beliau membaca sajak, jadi saya pun terikut-ikut dengan gaya beliau membaca sajak seperti memakai beret di kepala. Saya tidaklah memakai beret tetapi saya memakai topi hitam ketika membaca sajak. Saya juga menyangkut selendang di leher kerana terpengaruh dengan penyair Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI).

Sajak saya yang berjudul Kalau Aku Pemilik Dunia yang saya cipta sekitar tahun lepas sebenarnya terinspirasi daripada sajak Kalau Aku Menjadi PM ciptaan beliau. Dan sajak itu pun saya cipta kerana terinspirasi dengan sajak Dinsman yang berjudul Macam Orang Gila.  

Saya memang tidak berupaya untuk menjadi seorang pelakon teater seperti beliau. Cukuplah saya menjadi seorang penyajak seperti beliau dan Pyanhabib. Cara saya mendeklamasikan sajak pun adalah mengikut cara beliau dan Pyanhabib. 

Saya tahu beliau ada menulis sebuah buku terbitan ITBM berjudul Melayu Hilang Di Dunia tetapi saya belum sempat beli dan baca lagi. Jika ada kesempatan, saya pasti mahu beli dan baca. 

Salah satu kerugian dalam hidup saya adalah tidak dapat bertemu dengan beliau secara empat mata. Sekarang beliau sudah tiada. Peluang saya untuk bertemu dengan beliau sudah pun tertutup. 

Tiada apa lagi yang ingin saya katakan selain berdoa supaya roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah… 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.