Isnin, 16 Julai 2018

PERJUANGAN BAHASA BUKAN BERMUSIM


Image result for bahasa melayu
Sumber


Sekarang ini isu bahasa Melayu sering kali sahaja timbul menghiasi media-media sosial di negara kita. Isu yang sama juga melanda akhbar-akhbar arus perdana. 

Ini semua gara-gara kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja tidak bersungguh-sungguh untuk memartabatkan bahasa Melayu tetapi juga dilihat cuba untuk meminggirkan bahasa itu. 

Apabila kerajaan Pakatan Harapan dilihat cuba menggugat kedaulatan bahasa Melayu, maka ramailah pejuang bahasa bangun mengkritik apa yang dibuat oleh kerajaan itu. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang telah melihat sinis usaha yang dilakukan oleh pejuang bahasa. Mereka terus menyindir segala usaha yang dilakukan oleh pejuang bahasa.

Mereka mengatakan bahawa pejuang bahasa hanya mengkritik kerajaan Pakatan Harapan tetapi tidak mengkritik kerajaan Barisan Nasional yang juga meminggirkan soal bahasa.

Mereka mengatakan semasa Barisan Nasional mentadbir negara dahulu pun bahasa Melayu tidak dimartabatkan tetapi pejuang bahasa dilihat tidak bersuara. Maka yang mengkritik itu mengatakan bahawa dalam keadaan sekarang pun sepatutnya pejuang bahasa tidak bersuara.

Saya merasakan bahawa apa yang disebut oleh sekalian yang mengkritik itu sebagai lucu. Sebenarnya pejuang bahasa telah mengkritik Barisan Nasional tentang isu bahasa sejak lama dahulu.

Saya sendiri sebagai seorang pecinta bahasa telah banyak menulis sajak dan artikel yang mengkritik kerajaan Barisan Nasional berkenaan isu bahasa. Artikel dan sajak yang mengkritik Barisan Nasional dalam isu bahasa itu ada diterbitkan di blog saya. Oleh yang demikian, tuduhan sekalian orang yang membenci itu adalah salah sebenarnya. Pejuang bahasa akan terus mengkritik mana-mana kerajaan yang dilihat cuba meminggirkan bahasa Melayu di dalam negara.  

Saya melihat apa yang cuba dilakukan oleh orang yang mengkritik itu adalah satu usaha untuk membungkam suara-suara pejuang bahasa. Mereka tidak mahu kritikan itu merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kesayangan mereka.

Orang yang mengkritik dan menyindir pejuang bahasa mungkin tidak suka akan bahasa Melayu. Namun, pejuang bahasa akan terus sayang dan memperjuangkan bahasa Melayu.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.