Isnin, 30 Julai 2018

PATUHI PERATURAN SEMASA BERBUAL


Image result for berbual
Sumber


Setiap perkara di dunia ini pastilah mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Dalam bidang bahasa dan komunikasi, berbual juga mempunyai peraturan-peraturan tertentu yang perlu dipatuhi. Peraturan-peraturan ini perlu dipatuhi supaya perbualan tersebut dapat berjalan dengan sempurna dan berkesan. Terdapat empat peraturan yang kita perlu patuhi semasa kita berbual iaitu topik, giliran, bahasa dan ekspresi. 

Topik 

Topik adalah sesuatu yang sangat penting dalam sesebuah perbualan. Maka, pilihlah topik perbualan yang boleh dibicarakan oleh orang yang sedang berbual dengan kita. Kita perlulah bercakap perkara yang relevan dengan topik perbualan. Jika orang bercakap tentang kereta, maka kita pun perlulah bercakap tentang kereta. Jangan orang bercakap tentang kereta, kita bercakap tentang komputer pula. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan seharian, perbualan boleh melibatkan lebih daripada satu topik atau subtopic perbualan.

Giliran

Giliran bermaksud pertukaran kedudukan antara penutur dan pendengar. Maksudnya di sini, dalam setiap perbualan, kita mestilah memberi peluang kepada orang lain bercakap. Tidak boleh sama sekali hanya kita sahaja yang bercakap sedangkan orang lain hanya menjadi pendengar. Beri peluang untuk orang lain bercakap kerana mereka juga berhak menyampaikan pandangan ataupun buah fikiran.

Bahasa

Bahasa dalam perbualan bergantung kepada umur, jarak sosial dan formaliti. Ketiga-tiga perkara tersebut perlu dijaga supaya kita dapat menggunakan bahasa yang tepat dengan orang yang diajak berbual. Orang yang tidak menjaga bahasa semasa berbual boleh dianggap sebagai biadap. Misalnya, jika kita bercakap dengan orang yang lebih tua, kata ganti nama diri ‘engkau’ memang tidak sesuai digunakan. Gunakanlah kata ganti nama diri ‘encik’, ‘puan’, ‘pakcik’, ‘makcik’ dan sebagainya semasa bercakap dengan orang yang lebih berusia daripada kita.

Ekspresi

Ekspresi muka dan pandangan mata sangat penting dalam perbualan. Melalui ekspresi muka, kita dapat meneka adakah orang yang sedang bercakap dengan kita itu berminat atau tidak dengan topik yang sedang kita bincangkan. Begitu juga semasa kita melihat ekspresi muka seseorang yang sedang bersedih. Kita sebagai rakan atau ahli keluarga cubalah untuk bercakap perkara-perkara yang boleh menghilangkan kesedihan orang tersebut. Janganlah sesekali bercakap perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi kesedihan mereka.

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today

1 ulasan:

  1. kadang2 memang ada orang yang tidak tahu adab2 semasa berbual

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.