Khamis, 19 Julai 2018

MANA BETUL : MALAYSIA BAHARU ATAU MALAYSIA BARU?

Image result for malaysia baharu
Sumber

Ada seorang kawan bertanya kepada saya, mana satu yang betul? Malaysia Baharu atau Malaysia Baru?

Sangat ramai sebenarnya yang tidak dapat membezakan dua frasa ini. Bagi kebanyakan penutur bahasa Melayu, mereka merasakan bahawa kedua-dua frasa ini adalah sama cuma mempunyai ejaan yang berbeza.

Ada seorang kawan saya menganggap bahawa ‘baharu’ itu ejaan pada zaman sekarang manakala ‘baru’ itu ejaan pada zaman dahulu.

Perkara ini terjadi kerana ramainya penutur bahasa Melayu tidak dapat membezakan mana satu yang betul sama ada ‘baharu’ atau ‘baru’.
Dalam artikel ringkas ini, inginlah saya memberi sedikit pencerahan sebagai seorang yang mempelajari bidang bahasa Melayu secara mendalam.

Sebenarnya perkataan ‘baru’ dengan perkataan ‘baharu’ mempunyai maksud yang berbeza.

Perkataan ‘baharu’ itu merujuk kepada kata sifat (adjektif) manakala ‘baru’ itu merujuk kepada ‘masa’.

Dalam bahasa Inggeris, ‘baharu’ itu merujuk kepada ‘new’ manakala ‘baru’ itu merujuk kepada ‘just’.

Contoh ayat ‘baharu’ : Bapa saya membeli sebuah kereta baharu.

Contoh ayat ‘baru’ : Saya baru sahaja pulang dari kedai.

Bagi frasa ‘Malaysia Baharu’ atau ‘Malaysia Baru’ pula, istilah yang paling tepat tentulah frasa ‘Malaysia Baharu’.

Penggunaan frasa ‘Malaysia Baharu’ itu menggambarkan keadaan negara Malaysia yang mempunyai sebuah kerajaan, dasar, corak dan sistem pemerintahan yang berbeza daripada yang sebelum ini.

Diharapkan agar artikel yang serba ringkas ini dapat memberi pencerahan kepada pembaca yang sering terkeliru antara perkataan ‘baru’ dan perkataan ‘baharu’.

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.