Ahad, 11 Disember 2016

TIDAK HAYATI SIRAH PUNCA UMAT ISLAM BERMASALAH

Image result for sirah nabi
Sumber : Google


Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun adalah satu tanggal atau tarikh penting dalam kalendar umat Islam sedunia. Ya, pada tanggal inilah junjungan besar kita yakni Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan ke dunia. Pesuruh Allah yang terakhir yang telah membawa banyak rahmat ke seluruh pelusuk alam dengan sinar Islamnya. Tanpa usaha dan perjuangan baginda, entah apa akan jadi kepada penduduk dunia. Dan sudah pastilah nikmat bernama Islam dan iman ini tidak akan kita kecapi sampai bila bila. 

Bagi menghormati dan meraikan hari keputeraan baginda Nabi itu, ramai umat Islam khususnya di Malaysia menyambut hari itu dengan sambutan Maulidur Rasul. Pada hari inilah berbondong-bondong umat Islam berselawat ke atas Nabi. Bukanlah dikata yang pada hari itu sahaja umat Islam berselawat, tetapi pada hari itulah dikatakan ramai umat Islam akan banyak berselawat. Ia seolah olah menjadi suatu tradisi bagi masyarakat Islam di Malaysia bagi mendapat pahala yang banyak lagi padat.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda : Barangsiapa yang berselawat padaku satu kali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat. (hadis riwayat An-Nasaie)

Dalam pada kita banyak berselawat bagi menyambut Maulidur Rasul itu, intipati sirah yang terkandung dalam kehidupan dan perjuangan Nabi hendaklah kita hayati dan fahami selalu. Memahami dan menghayati sirah adalah suatu perkara yang penting sebenarnya. Dengan memahami dan menghayati sirah, barulah kita dapat menjadi muslim dan mukmin yang bertaqwa.

Sirah adalah suatu cerminan kehidupan Nabi pada suatu masa dahulu. Dengan sirah, kita bukan sahaja boleh mengetahui tentang kehidupan dan perjuangan Nabi, malah boleh juga dijadikan panduan dan rujukan dalam melayari bahtera kehidupan di dunia ini. Segala masalah yang berlaku dalam kehidupan kita pada hari ini, kita boleh merujuk sirah bagi mencari penyelesaian yang paling tepat sekali.

Antara punca banyak masalah yang melanda umat Islam pada hari ini adalah kerana kita tidak memahami dan menghayati sirah Nabi. Kita hanya membaca atau mengingat sirah sirah Nabi setahun sekali. Itupun kerana ada sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di negara ini. Jika tiada sambutan semacam ini, barangkali sirah Nabi itu akan dilupakan sama sekali.

Sirah telah memaparkan segala-galanya tentang diri Nabi yang mencakupi perjuangan, kehidupan, sahsiah, dan akhlak baginda. Tetapi oleh kerana kita tidak mahu memahami dan menghayati sirah yang ada, maka segala yang terpapar tentang diri Nabi itu tidak diambil iktibar daripadanya.

Segala apa yang Nabi lakukan dahulu tidak mahu kita ikut dengan sebaiknya. Lalu kita mengambil tindakan sendiri dengan bersandarkan hati dan nafsu semata mata. Dan sebab itulah banyak masalah umat Islam tidak selesai juga.
Seandainya kita memahami dan menghayati sirah yang sudah tercatat sejak sekian lama, pasti kita akan mengikut akan apa yang Nabi lakukan dahulu tanpa banyak bicara. Barulah banyak masalah yang melanda dapat diselesaikan dengan segera berpandukan Al Quran dan Hadis yang menjadi rujukan utama umat Islam sedunia.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w bahawa baginda telah bersabda : Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekali kali sesat selagi kamu berpegang teguh dengan keduanya, iaitu Al Quran dan Sunnah Rasulullah.

Sedih sekali apabila segelintir daripada kita tidak mahu memahami, menghayati, dan mempelajari sirah Nabi itu. Akibatnya kita mengambil tindakan tindakan sendiri secara melulu untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku. Tidak dipertikai jika masalah itu diselesaikan dengan akal dan ilmu. Yang kita khuatir masalah itu diselesaikan dengan mengikut hawa nafsu.Maka, masalah yang berlaku itu tidak selesai, tetapi tambah pecah dan terbarai. 

Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah selain daripada Allah. Katakanlah lagi, aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu kerana jika aku turut, sesungguhnya sesatlah aku dan tiadalah aku dari orang orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah Al-An’am : Ayat 56) 

Memahami dan menghayati sirah samalah seperti kita menghayati dan mempelajari sejarah. Menurut George Santanaya, orang yang lupakan sejarah pasti akan mengulanginya semula. Sejarah sejarah buruk yang berlaku pada waktu dahulu, jika dilupakan, pasti akan berulang semula. Dan kita akan mengulangi perkara atau masalah yang sama yang boleh menyebabkan kita rosak dan binasa.

Sirah Nabi bukan sahaja perlu dipelajari dan difahami, malah perlu juga dihayati. Sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita menghayati segala sirah sirah Nabi. Segala apa yang telah Nabi lakukan, boleh menjadi cerminan untuk membantu kita pada hari ini dan pada masa hadapan. Moga moga kita semua menjadi umat Nabi Muhammad yang sentiasa diselubungi dengan rahmat dan keimanan.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.