Selasa, 20 Disember 2016

CABARAN JADI GURU HARI INI


Image result for guru sekolah
Sumber : Google


Ketika saya menghadiri satu diskusi falsafah di kompleks PKNS tidak lama dahulu, seorang peserta dalam diskusi itu ada melontarkan sesuatu. Dia mengatakan bahawa pelajar sekolah rendah pada zaman ini tidak sama dengan pelajar sekolah rendah pada zaman dahulu. Pelajar sekolah rendah pada zaman ini kadang kadang boleh mengatasi pemikiran seorang guru.

Menurutnya, pelajar sekolah rendah zaman dahulu, apabila belajar ilmu agama, mereka hanya bertanya tentang perkara perkara asas tentang agama sahaja. Mereka bertanya tentang bagaimana untuk solat, bagaimana untuk berwuduk, dan bagaimana untuk berpuasa. Tetapi pelajar sekolah rendah zaman sekarang sudah begitu berbeza. Mereka mula bertanya tentang perkara perkara yang luar biasa seperti mengapa manusia dijadikan, benarkah Allah itu wujud, mengapa mesti Nabi Muhammad yang dilantik menjadi Nabi dan lain lain lagi. Pendek kata, pemikiran pelajar sekolah rendah zaman sekarang sudah menjadi lebih berani dan lebih tinggi.

Oleh kerana pemikiran pelajar sekolah rendah sekarang semakin tinggi, itulah salah satu cabaran untuk guru pada masa kini. Guru sudah tidak boleh berfikir seperti guru sekolah rendah lagi. Mereka mesti berfikir dengan lebih jauh dan lebih mendalam lagi.

Jika pelajar sekolah rendah sudah mempunyai pemikiran yang semacam itu, bagaimana pula dengan pelajar sekolah menengah dan pelajar di peringkat universiti? Pemikiran mereka sudah pasti lebih tinggi. Ini semua berpunca daripada ledakan teknologi maklumat yang berlaku pada zaman ini.

Mengajar pelajar yang mempunyai fikiran yang lebih tinggi merupakan salah satu cabaran. Menangani kerenah pelajar yang pelbagai lagi itu lebih memerlukan kesabaran. Tugas guru pada masa sekarang begitu banyak dugaan. Tidak tahulah sama ada ini satu perkembangan yang sihat ataupun bukan.

Tidak lama dahulu, timbul isu pelajar yang datang lewat disuruh duduk di atas jalan tar dan pelajar disuruh guru untuk memadam papan hitam daripada ibu bapa pelajar. Ibu bapa mendakwa, sungguh tidak wajar pelajar disuruh duduk di atas jalan tar. Ibu bapa mendakwa juga, pelajar bukan orang gaji untuk disuruh memadam papan hitam. Isu ini secara tiba tiba menjadi polemik berpanjangan. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang.  

Isu merotan pelajar juga pernah menjadi satu isu besar dahulu sehingga guru guru sudah tidak boleh lagi merotan pelajar seperti selalu. Melihat kepada masalah ini, kelihatan seperti ada yang tidak kena dengan masyarakat pada zaman ini.

Tidak tahulah sama ada pelajar sekarang ini yang terlalu manja ataupun ibu bapa yang mencetuskan isu ini dengan sengaja. Tetapi jika melihat perkara ini dengan teliti, ia mampu untuk merosakkan masyarakat suatu hari nanti. 

Apa yang dilakukan oleh guru pada zaman sekarang semuanya salah di mata ibu bapa. Guru guru zaman sekarang sudah tidak boleh mendidik lagi tetapi mereka hanya boleh mengajar sahaja. Jika situasi ini dibiarkan tanpa dibuat apa apa, nescaya suatu hari nanti akan lahir generasi yang lemah belaka. Dan dikhuatiri mereka tidak boleh melakukan banyak perkara. Maka agama, bangsa, dan negara pun pasti tidak akan terjaga.      

Guru merotan dan guru meminta pelajar untuk duduk di atas jalan tar pasti ada sebab-sebabnya. Jarang ada guru yang gila untuk memaksa pelajar pelajarnya membuat perkara perkara itu dengan sengaja. Jika tidak mahu dirotan, maka jangan melakukan kesalahan. Jika tidak mahu duduk di atas jalan tar, janganlah sesekali datang lambat ke sekolah.

Begitu juga apabila guru meminta pelajar untuk memadam papan hitam. Guru bukan sengaja untuk meminta tetapi lebih kepada memohon pertolongan sebenarnya. Bukankah menolong guru dan menolong orang lain itu satu amalan yang mulia? Bukankah dengan menolong orang itu kita boleh mendapat pahala? Masakan meminta pelajar memadam papan hitam mahu jadi isu yang besar juga?

Walau apa pun yang kita kata, itulah realiti yang telah berlaku pada masa kini. Cabaran menjadi guru itu semakin bertambah tambah lagi. Bertabahlah kepada sesiapa yang sudah pun bergelar seorang guru. Diharapkan mereka mendapat pahala dengan pengorbanan yang telah mereka curah itu. 


1 ulasan:

  1. sabar ajelah jawabnya.

    tak sabar pun, kena sabar gak.

    apapun..kena sabar.

    anggap aje ujian untuk kita.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.