Sumber : Google |
Sudah banyak kali juga saya menulis
berkenaan isu ini di blog saya. Tetapi saya ingin menulis lagi supaya lebih
ramai orang sedar dan mengambil cakna. Kritikan membawa maksud ulasan atau kata
kata tentang keburukan atau kelemahan seseorang tentang sesuatu perkara. Bagi
saya, tidak salah untuk seseorang manusia itu mengkritik manusia lain tetapi
kritikkan itu mestilah mempunyai niat yang betul seperti lazimnya.
Mengkritik itu menjadi perbuatan yang
tidak salah selagi ia tidak menjatuhkan air muka. Tetapi apabila kritikan itu
sudah memalukan orang yang dikritik, maka kritikan itu sudah dianggap tidak
baik lagi.
Walau apa pun, semuanya bergantung
kepada niat. Jika pengkritik itu menghantar kritikan kerana dia mahu
membetulkan kesalahan maka ia pasti akan membawa kebaikan. Tetapi jika
pengkritik itu menghantar kritikan kerana mahu menjatuhkan, maka kritikan itu
akan membawa banyak keburukan.
Perbuatan mengkritik sebenarnya boleh
membawa kepada begitu banyak tafsiran. Dan tafsiran terhadap kritikan itu boleh
jadi positif dan boleh jadi negatif bergantung kepada siapa yang membuat
tafsiran dan bergantung juga kepada keadaan.
Sebab itulah lebih molek jika istilah
teguran digunakan bagi menggantikan istilah kritikan. Teguran dilihat lebih
lembut dan lebih baik berbanding dengan istilah kritikan yang dilihat lebih
banyak membawa keburukan.
Kritikan itu dilihat buruk kerana ia
boleh menjatuhkan orang yang dikritik dan tidak semua orang yang dikritik boleh
menerima sesuatu kritikan itu dengan hati dan minda terbuka. Barangkali sesuatu
kritikan itu disalahtafsir sehingga orang yang dikritik merasakan seseorang
pengkritik itu mahu mencemarkan maruahnya. Maka orang yang dikritik dan pengkritik
boleh bermasam muka.
Pokok pangkalnya, seorang pengkritik
itu seperti pengkritik karya sastera misalnya, hendaklah mengkritik dengan cara
yang baik dan berhemah. Tujuan dia mengkritik itu adalah kerana dia mahu
membetulkan kesalahan dan bukannya untuk menjatuhkan. Cara mengkritik juga
boleh memainkan peranan. Jika pengkritik menggunakan bahasa yang kasar
memanglah kritikan itu dilihat untuk menjatuhkan. Tetapi jika kritikan itu
menggunakan bahasa atau pendekatan yang baik, pastilah kritikan itu boleh
diterima dengan dada dan minda terbuka.
Bagi saya, dalam membetulkan sesuatu
kesalahan, cara yang paling baik adalah menegur terlebih dahulu. Jika menegur
sudah banyak kali dilakukan, tetapi kesalahan yang sama masih lagi berjalan,
maka mengkritik adalah kaedah yang bagus untuk digunakan. Kadang kala, kritikan
itu bagus digunakan bagi menyedarkan seseorang setelah teguran tidak dapat lagi
membetulkan kesalahan.
Walau bagaimanapun, sesetengah orang
bukan sahaja tidak boleh menerima kritikan, malah menerima teguran pun sudah
tidak boleh lagi. Dia seolah olah menganggap dirinya seorang manusia yang suci
(bebas daripada kesalahan)!. Manusia sebegini hanyalah membawa begitu banyak
kesusahan kepada orang lain nanti.
Walau apa pun, kritiklah secara
berhemah. Kritikan yang berhemah bukan sahaja tidak menyakitkan hati malah pada
masa yang sama dapat memperkuatkan apa yang lemah. Kritikan jangan digunakan
untuk menjatuhkan sebaliknya digunakan untuk memberi pengajaran.
Bila kita mengkritik dengan niat nak membantu mesti nada tu pun baik-baik je. Tapi kalau awal-awal dah ada rasa nak menjatuhkan.. memang tak membantu lah, hanya menjatuhkan semangat..
BalasPadamorg Melayu terkenal dgn budi bahasanya jd kritiklah dgn berhemah..
BalasPadam