Sumber : Google |
Saya yakin dan percaya, ada dalam
kalangan pembaca blog ini yang gemar dan minat menulis. Oleh sebab itulah, anda
mempunyai sebuah blog untuk meluahkan rasa minat dan kegemaran menulis anda
itu.
Walau bagaimanapun, ada juga pembaca
blog ini yang bukan minat menulis pun. Mereka mempunyai blog hanya kerana
mereka percaya yag mereka boleh mendapat banyak duit hasil daripada menulis
blog. Oleh sebab itu, mereka gemar menghasilkan (bukan menulis) artikel artikel
yang bersifat ‘kontroversi’ bagi menarik ramai orang singgah ke blog mereka
kemudian mereka meletakkan iklan yang karut marut sehingga sukar untuk pembaca
mendapatkan maklumat daripada blog tersebut.
Saya dahulu pun adalah antara penulis
blog yang terlalu mengejar wang ringgit hasil daripada menulis blog. Namun,
setelah menemui kegagalan beberapa kali dan berputus asa serta mendengar lagu
Bukan Kerana Nama dendangan Ramli Sarip, saya membatalkan hasrat saya itu. Saya
tidak mahu menulis artikel atau rencana yang bersifat gah pada tajuk tetapi
tidak berkualiti hanya kerana untuk mendapatkan wang sahaja.
Tidak kiralah apa sahaja tujuan anda
menulis blog tetapi saya tetap angkat topi kepada penulis blog yang benar benar
menulis kerana mereka minat. Soal popular atau menjadi kaya raya hasil daripada
menulis blog itu bagi saya sudah jatuh soal yang nombor dua. Apa yang penting
minat untuk menulis dan berkarya itu.
Saya yakin ramai penulis blog di luar
sana yang menulis blog kerana penulisan mereka sama ada berbentuk cerpen,
novel, atau artikel dibakulsampahkan apabila mereka menghantar karya karya
mereka itu kepada mana mana majalah, akhbar, atau syarikat penerbitan. Bagi
mengubat kekecewaan tersebut, mereka mewujudkan sebuah blog untuk menerbitkan
sendiri karya karya mereka untuk ditatap oleh pembaca sasaran mereka.
Ketahuilah, nasib yang menimpa anda itu sama seperti nasib yang menimpa saya.
Apa yang hendak saya katakan adalah,
teruskan menulis dan berkarya dalam blog anda itu. Anda tidak perlu berasa segan
untuk melakukannya. Siapa tahu jika nasib dan rezeki berpihak kepada anda, ada
penerbit yang sudi menerbitkan karya karya anda yang sudah pun tersiar di laman
blog itu.
Jika anda sedih kerana karya anda
tidak diterima oleh mana mana penerbitan untuk diterbitkan, ketahuilah bahawa
penulis, wartawan dan Tokoh Terjemahan Negara terkenal, Adibah Amin juga
mengalami nasib yang sama seperti anda. Saya nukilkan kembali kata katanya
dalam wawancaranya bersama Dinsman dalam Majalah Dewan Sastera pada tahun 1979
:
Sebenarnya saya tidak berhenti
menulis. Tetapi segala tulisan saya yang dihantar ke majalah majalah tak ada
nasib, semuanya masuk bakul sampah. (Adibah Amin, 1979)
Jika penulis terkenal seperti Adibah
Amin pernah dibakulsampahkan tulisan tulisannya oleh beberapa penerbit, apatah
lagi kita yang baru berjinak jinak dalam dunia penulisan ini. Jadi, jangan rasa
rendah diri untuk menulis. Teruskan menulis walaupun karya anda itu pada
pandangan anda bersifat merapu. Mungkin pada pandangan anda karya itu sifatnya
merapu tetapi pada pandangan orang lain mungkin karya itu sifatnya bermutu. Apa
yang penting kita ikhlas untuk menghasilkan sesuatu penulisan itu untuk dibaca
oleh masyarakat demi pembangunan agama, bangsa dan negara.
Nasihat saya kepada penulis blog di
luar sana, teruskanlah menulis dengan ikhlas. Hasilkanlah satu penulisan yang
bermutu yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan agama, bangsa, dan tanah
air. Jika penulisan anda itu tidak melayakkan anda untuk mendapatkan ganjaran
dunia, tetapi percayalah, ganjaran akhirat sudah pasti ada untuk anda. Maka,
janganlah segan untuk terus menulis dan berkarya melalui blog.
Niat memula mmg untk suka2 cerita personal tapi tgok blogger2 Lain boleh Jana pendapatan melalui blog teringin jugak nak tmbah duit poket ^^
BalasPadamYa.
BalasPadamtulis aja.
jangan malu-malu bah.