Sabtu, 7 November 2015

FENOMENA DOKTOR KACAK DAN ISTERI GERSANG

Sumber : Google

Dr. Shazril Shaharuddin memanglah tidak popular seperti mana Remy Ishak atau Fahrin Ahmad namun ketampanan dan kesasaan tubuhnya memang tidak terkalah dengan dua orang pelakon kacak itu. Dia pernah beberapa kali muncul dalam iklan televisyen dan majalah majalah tempatan sebagai ikon pertandingan badan cantik yang sudah menjadi satu trend kegemaran lelaki masa kini. Sebagai seorang doktor, jarang sekali golongan professional sepertinya mahu menceburi bidang sebegitu (jika saya tidak silap).

Saya mengetahui nama Dr. Shazril melalui majalah majalah yang saya baca. Namanya seangkatan dengan nama ikon badan cantik yang lain antaranya Faez Nick, Dino Azizi dan ramai lagi. Anda boleh tahu mengenai mereka jika anda mempunyai akaun Instagram atau membaca majalah Maskulin, Mangga dan Lelaki selain ‘bertanya sendiri’ dengan Dr. Google.

Nama Dr. Shazril yang selama ini hanya ‘suam suam kuku’ sahaja tiba tiba panas apabila diundang menjadi tetamu jemputan dalam satu rancangan sebuah stesen radio popular iaitu Hot FM. Orang tidak pertikaikan kehadirannya sebagai tetamu di stesen radio itu tetapi orang pertikaikan panggilan yang dibuat oleh sekumpulan pendengar wanita kepadanya melalui stesen radio tersebut. Masyarakat menjadi bingung mengapa pendengar wanita terutama dari golongan ibu sanggup bertindak ‘liar’ sebegitu? 
   

Saya tidaklah mendengar apa yang sekumpulan pendengar wanita itu ucapkan sewaktu sesi itu berlangsung tetapi hasil pembacaan saya dari laman sesawang Free Malaysia Today dan media media sosial terutama dari Facebook Amran Fans, ada diantara pendengar wanita tersebut yang sanggup melahirkan anak di hadapan doktor terbabit kerana ketampanannya (Free Malaysia Today, 2015).

Menurut Free Malaysia Today (2015) lagi, ada juga pemanggil yang sanggup menempah doktor berkenaan untuk bersalin selain menawarkan isteri kedua.

Dahulu saya pernah terbaca beberapa kali di dada dada akhbar tentang para ibu yang sukar mahu bersalin dengan doktor wanita. Mereka seboleh bolehnya mahu doktor wanita yang menjadi bidan mereka dan bukannya doktor lelaki atas faktor menjaga aurat, alat sulit dan rasa malu. Tetapi saya menjadi bingung dengan pendengar wanita yang membuat panggilan kepada doktor lelaki tersebut menerusi stesen radio Hot FM itu. Mereka ini spesis ibu yang bagaimana?

Saya tidak berminat untuk mengulas lanjut tentang hukum hakam Islam terutama dalam darihal menjaga aurat dalam artikel saya yang cukup terhad ini memandangkan saya bukanlah seorang agamawan. Saya rasa anda boleh membaca dan memahami teguran yang dibuat oleh pemimpin Pemuda PAS Pusat, Hafeez Sabri berkenaan dengan hal itu. Teguran yang dibuat oleh ustaz Hafeez sangat menarik dan cantik sekali. 

Apa yang boleh saya katakan adalah pemanggil pemanggil wanita yang membuat panggilan ‘gersang’ tersebut agar segera bertaubat dan memohon maaf kepada suami masing masing. Apa yang anda lakukan itu jelas salah dan perlu segera insaf supaya tidak tersasar jauh lagi dari jalan yang benar. Jangan kerana baru diuji oleh Allah dengan ketampanan seorang manusia yang sudah pasti tidak dapat melawan ketampanan Nabi Yusuf, kita sudah menjadi ‘tidak keruan’ dan ‘gersang’ dengan membuat panggilan yang karut marut sebegitu. Insaf dan bertaubatlah.

Perempuan Melayu lebih lebih lagi Islam sangat terkenal dengan kelembutan dan kesopanan. Jangan sesekali kita merosakkan imej tersebut dengan mendedahkan sikap kita yang entah apa apa itu. Jangan kerana sikap kita yang tidak tentu hala, imej Islam dan imej Melayu yang menjadi rosak. Jangan sampai orang bukan Islam memandang rendah pada bangsa dan agama kita.


Walau apa pun, setiap manusia itu tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Apa yang penting kita mesti mengambil pengajaran daripada peristiwa itu dan segera bertaubat agar perkara yang semacam itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.  

1 ulasan:

  1. sy pun xdgr kt radio psl dr nih...sy tau dr medai sosial jer....tp naik segan lak bila tau ada wanita yg snggup ckp mcm tu....huhuuhuhuh

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.