Sumber : Google |
Aiman Banna – kalau nama ini disebut
sudah pasti belia belia Melayu Islam kenal dengan lelaki ini. Seorang pendakwah
muda yang comel, berkarisma, berani dan berwawasan. Memang Aiman Banna – setahu
saya – tidak pernah masuk ke dalam mana mana program televisyen namun remaja
yang berusia 19 tahun ini sangat terkenal di dunia Twitter dan mungkin juga di
dunia blog (jika saya tidak silap).
Baru baru ini, persatuan PEMBINA UiTM
Shah Alam menganjurkan sebuah forum berkenaan dengan remaja Islam (saya lupa
nama tajuk forum dalam Bahasa Inggeris itu) di mana Aiman Banna menjadi salah
seorang daripada panelisnya. Seorang lagi panel adalah Ustaz Abdul Rahman –
juga seorang pendakwah yang popular – tetapi saya tidak mengenalinya. Saya pada
awalnya sekadar suka suka sahaja datang ke majlis ilmu itu. Tidak sangka pula
dapat bertemu dengan Aiman Banna di sana.
Saya mengenali Aiman Banna melalui
Twitter. Pada awalnya saya tidak kenal siapakah pemilik akaun Twitter yang
mempunyai ribuan malah ratusan ribu pengikut (followers) itu, tetapi
saya tahu dia acapkali menulis berkenaan dengan dakwah melalui tweet tweetnya.
Kemudian saya mendapat tahu dia menulis buku dakwah yang berjudul Henshin (saya
tidak sempat membeli buku ini) yang merupakan sebuah buku yang agak laris di
pasaran. Mungkin berada di tempat ketiga sebagai buku paling laris di kedai
buku MPH (jika saya tidak silap).