Sumber : Google |
Sebagai blogger, sudah pastilah
(kadang kala) kita akan menggunakan pena dan blog kita untuk melahirkan rasa
tidak puas hati kita kepada mana mana individu, kumpulan, pentadbiran atau
anggota masyarakat yang lain. Apabila kita menghadapi masalah atau berasa
teraniaya, selain daripada menggunakan laman sosial seperti Twitter dan
Facebook, blog adalah satu medium untuk kita meluahkan rasa marah, kecewa dan
geram itu. Itu adalah satu lumrah dalam kehidupan manusia yang terangkum dengan
media sosial dan internet pada hari ini.
Apabila melahirkan rasa tidak puas
hati, maka timbulah teguran atau kritikkan untuk memperbetulkan keadaan supaya
perkara yang sama tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Mungkin juga
teguran itu dibuat supaya orang lain tidak menerima nasib yang sama seperti
kita. Pada saya, itu adalah satu perkara yang baik memandangkan penyebaran
maklumat perlu diberikan kepada anggota masyarakat yang lain supaya mereka
lebih berwaspada di masa hadapan.
Kalau dahulu, segala masalah hanya
dipendamkan di dalam hati kerana masyarakat tidak mempunyai medium untuk
meluahkan rasa hati dan menyampaikan kritikan. Tetapi, apabila kita sudah masuk
ke zaman teknologi maklumat yang serba canggih ini, perkara itu tidak menjadi
satu masalah lagi. Kita bebas untuk melahirkan rasa marah, kecewa, dan sedih
apabila berasa diri kita dianiaya ataupun kita tidak berpuas hati terhadap
sesuatu perkara.
Sebagai contoh, kalau dahulu begitu
sukar untuk kita mengetahui tentang kebejatan yang dilakukan oleh ahli politik.
Oleh itu, ahli politik bebas melakukan rasuah, menipu, menyeleweng dan merompak
harta rakyat sesuka hati mereka. Jika dahulu tidak ada pihak yang berani untuk
mendedahkan perkara semacam itu kerana medium untuk mereka melakukan perkara
itu sangat terhad. Jika ada pun, hanyalah di dalam surat khabar milik parti
pembangkang seperti Harakah ataupun melalui buku buku politik yang ditulis oleh
penulis politik terkemuka seperti Syed Hussein Al-Attas, Mohd Sayuti Omar,
Ahmad Lutfi Othman, Yahaya Ismail dan ramai lagi.
Penulis penulis sebeginilah yang
berani mati mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan oleh ahli ahli
politik. Dari buku merekalah rakyat bisa tahu segala penyelewengan dan penipuan
yang ahli ahli politik lakukan. Tetapi sekarang, dengan kewujudan media sosial
seperti Facebook, Twitter dan blog, segala kebobrokkan yang dibuat oleh ahli
politik dapat diketahui oleh rakyat dengan tepat, cepat dan boleh dipercayai (tetapi
ada yang tidak).
Jika dahulu, susah benar kita mahu
membuat kritikan kepada ahli politik, jabatan kerajaan, kakitangan kerajaan,
badan berkanun, dan syarikat swasta yang gagal dan lembab dalam memberikan
perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat kerana kita tidak punya medium seperti
sekarang. Tetapi kini, dengan kecanggihan teknologi, semua itu bukan masalah
lagi.
Sebagai blogger, apatah lagi blogger
yang berpengaruh, amat wajar untuk menggunakan blog mereka untuk membuat
kritikan kepada apa dan sesiapa sahaja supaya mutu perkhidmatan kepada rakyat
dapat dipertingkatkan dan membolehkan masyarakat berwaspada di masa akan
datang. Itulah peranan seorang blogger sekarang. Menyampaikan maklumat yang
berguna kepada anggota masyarakat yang lain. Sungguhpun begitu, kritikan atau
teguran yang mahu dilemparkan kepada seseorang atau sesuatu entiti itu mestilah
dengan ketegasan tetapi penuh dengan kesopanan dan tanpa menyakitkan hati
subjek kritikkan kita itu.
Sebagai contoh, apabila kita tidak
berpuas hati dengan mutu yang ditawarkan di sebuah bank, tegurlah dengan penuh
ketegasan tetapi disulami dengan kesopanan. Jangan sampai bank yang menjadi
sasaran kritikan kita itu jatuh aib dan
marah dengan kritikan yang kita lakukan. Perkara semacam itu tidak
sepatutnya berlaku.
Tidak salah untuk kita mengkritik tetapi
kritiklah dengan bahasa yang sopan dan lembut tetapi tegas! Elakkan daripada
menggunakan bahasa yang kasar, lucah dan mencarut kerana itu akan mendatangkan
kemarahan kepada pihak yang menjadi sasaran kritikkan kita di samping
manjatuhkan maruah mereka.
Saya juga acapkali mengkritik
individu individu tertentu (terutama ahli politik) di dalam blog ini tetapi
saya cuba mengawal bahasa saya agar tidak terlalu kasar. Saya tidak mahu
individu yang menjadi sasaran kritikkan saya itu berasa marah dengan kritikkan
saya kerana ia akan membawa kesan buruk kepada diri saya juga. Mengkritik ahli
politik ini membawa risiko yang besar kepada diri kita. Kita bukan sahaja boleh
disiasat polis, tetapi juga dikejar oleh Special Branch, disaman di mahkamah
atau mungkin juga ditahan di bawah akta akta tertentu.
Justeru itu, saya cuba untuk tidak
membangkitkan kemarahan mana mana pihak yang menjadi sasaran kritikkan saya.
Sebab itu saya lebih suka menggunakan istilah menegur daripada mengkritik.
Walaupun maksud kedua dua istilah itu hampir sama, namun bagi saya membawa
pendekatan yang berbeza. Menegur lebih lembut dan sopan manakala mengkritik
lebih kasar dan keras!
Oleh yang demikian, saya sarankan
kepada mana mana blogger yang mahu membuat kritikan di blog anda kepada mana
mana individu atau badan atau syarikat tertentu, supaya mengkritik dengan
bahasa yang baik, sopan tetapi tegas. Elakkan daripada menimbulkan kemarahan
mereka dengan bahasa kita yang kasar dan diselangi dengan nada lucah campur
mencarut! Jelas, akhlak kita buruk jika melakukan sedemikian.
Akhir kata, marilah kita membuat
teguran di blog kita dengan baik untuk tujuan menyedarkan subjek kritikan kita
itu akan kesilapan dan kesalahan yang telah mereka lakukan. Jangan sesekali
membangkitkan kemarahan mereka dengan kritikan kita yang kasar, lucah dan
mencarut itu kerana akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri kita dan
diri mereka juga.
Menegur perlu ada caranya lepas tu baru mudah maklumat tu sampai kaan...
BalasPadamsetuju bro...walaupun ada yang tak setuju boleh je tegur...elakkan mengutuk dan bahasa kesat...
BalasPadamRasanye kalau menegur dgn bhsa yg kasar belum tentu boleh membetulkan keadaan..even makin mmburukkan keadaan...rasanya xrugi pon kalau kita tegur dgn baik..org pon x sakit hati
BalasPadambetul.betul.betul..hehehe..
BalasPadam