Rabu, 24 September 2014

BN MUNGKIN MENANG DI PENGKALAN KUBOR


 



          Esok adalah hari pengundian untuk PRK DUN Pengkalan Kubor yang menyaksikan perlawanan tiga penjuru iaitu Barisan Nasional, PAS dan Bebas. BN diwakili oleh Mat Razi Mat Ail manakala PAS pula diwakili oleh Wan Rosdi Wan Ibrahim. Calon Bebas pula diwakili oleh Izat Bukhary Ismail Bukhary yang sekali lagi mencuba nasib setelah tewas pada PRU13 yang lalu di tangan calon BN iaitu Datuk Noor Zahidi Omar dengan hanya mendapat 65 undi sahaja pada waktu itu.

         Sebagai penulis dan pemerhati politik, BN yang diwakili oleh saudara Mat Razi Mat Ail ini mampu untuk mengekalkan kerusi itu sementelahan kerusi itu dimiliki oleh BN selama tiga penggal berturut turut. Walaubagaimanapun, Mat Razi tidak boleh terlalu yakin akan kemenangan itu kerana dalam politik pelbagai perkara boleh berlaku. Bila bila sahaja rakyat Pengkalan Kubor boleh menukar pilihan lebih lebih lagi apabila isu royalti minyak sering kali ‘diulang tayang’  oleh pihak PAS walaupun kes itu masih lagi dalam perbicaraan mahkamah.

  
        Namun begitu, BN masih mempunyai kekuatan sendiri untuk memenangi kerusi itu lebih lebih lagi PAS dan Pakatan Rakyat hampir mahu pecah dan terbelah sejak belakangan ini. Kes Menteri Besar Selangor masih hangat diperkatakan dan pelantikan Azmin Ali sebagai pemegang kerusi panas itu belum lagi mampu menamatkan kemelut politik dalam Pakatan Rakyat.

         Wujud cakap cakap politik yang mengatakan ada orang orang dari PKR yang sengaja mensabotaj calon PAS di Pengkalan Kubor kerana tidak berpuas hati dengan pendirian PAS yang mahu mengekalkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, mengambil semula kerusi Pengkalan Kubor itu yang dipinjamkan kepada PKR dan kerap mengkritik PKR sejak belakangan ini. Setakat mana kebenaran khabar khabar angin itu tidak dapat saya pastikan.

           Sejujurnya saya sendiri tidak mahu merendah rendahkan kebolehan dan kemampuan calon Bebas iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary untuk memenangi kerusi itu tetapi mengikut sejarah pilihanraya yang lampau calon Bebas hanya sekadar memeriahkan ‘pesta’ demokrasi di dalam setiap pilihan raya sahaja. Sukar untuk mana mana calon Bebas memenangi mana mana kerusi dalam pilihan raya jika tidak mempunyai sesuatu keunikan tersendiri jika hendak dibandingkan dengan calon BN, PAS, PKR atau DAP. 

          Walaubagaimanapun, kita hanya mampu merancang tetapi Allah juga yang menentukan. Siapa yang tewas di Pengkalan Kubor ini perlulah menerima kekalahan mereka dengan tangan terbuka. Bagi yang menang pula, jangan terlalu mabuk kuasa sehingga melupakan rakyat yang telah mengundi anda sehingga dapat menduduki kerusi itu. Samalah samalah kita nantikan siapakah yang dapat menjadi ADUN Pengkalan Kubor esok? PAS atau BN?











1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.