Ahad, 28 September 2014

BUDAYA MELAYU YANG HILANG KETIKA MAJLIS PERKAHWINAN?

         Semalam selepas pulang dari menjawab soalan peperiksaan akhir subjek Pengurusan Sumber Manusia, saya terus bergegas ke rumah rakan sebaya saya untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Seronok melihat rakan sebaya saya yang berusia 20 tahun itu sudah pun mendirikan rumahtangga. Terdetik di hati, bila pula saya akan mendirikan rumahtangga? Kalau saya sudah punya pendapatan sendiri, sudah lama saya suruh mak pinangkan mana mana gadis yang saya suka. *gatal betul aku ni. hihihi* Bukan apa, kahwin awal ini bagus sebenarnya. Di samping boleh mengelakkan maksiat, dapat juga mengenal erti tanggungjawab yang sebenar. Tetapi mampukah diri ini untuk menyara anak dara orang di samping memberikan didikan agama kepadanya? Mampukah saya menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa yang baik di usia begini? Mampukah saya membahagikan masa antara keluarga dan belajar pada waktu ini? Tepuk dada dan tanya iman.

          Sebenarnya bukan isu perkahwinan rakan saya atau perkahwinan saya yang handak saya tulis pada hari ini tetapi kali ini saya ingin menulis tentang budaya Melayu yang semakin hilang dan terhakis sejak belakangan ini. Sebagai penulis yang berbangsa Melayu, wajarlah saya melontarkan pandangan ini untuk renungan kita bersama. 


          Sejak lima tahun belakangan ini, apabila saya menghadiri majlis perkahwinan, sudah jarang saya lihat orang mahu beri bunga telur sebagai hadiah kepada tetamu yang hadir. Apa yang biasa diberi oleh tuan rumah zaman sekarang ini adalah sapu tangan, cenderamata, kuih bahulu, pasu kecil dan sebagainya. Pemberian bunga telur sudah semakin kurang atau mungkin langsung tiada sejak akhir akhir ini. Mengapa perkara ini bisa terjadi?

Budaya melayu yang hilang ketika majlis perkahwinan
Cenderamata yang saya dapat semalam




            Tahukah anda apakah simbolik atau lambang pemberian bunga telur oleh tuan rumah kepada tetamu? Bunga telur itu melambangkan kesuburan maksudnya tuan rumah mahukan tetamu supaya mendoakan anak menantu mereka yang baru berkahwin itu agar  mendapat cahaya mata yang ramai seperti mana banyaknya bunga telur yang diberi oleh pihak tuan rumah kepada tetamu. Orang Melayu bukannya satu bangsa yang melakukan sesuatu perkara itu tanpa sebab atau sia sia. Setiap apa yang mereka buat, sudah pasti ada sebab musababnya. 

         Tambahan pula, ramai orang Melayu dahulu hidup dalam keadaan miskin. Dengan pemberian bunga telur itu, dapatlah mereka jadikan telur rebus tersebut sebagai hidangan mereka pada hari itu. Bukan semua orang boleh makan telur lebih lebih lagi ketika zaman Jepun. Hanya ubi kayu sahaja yang menjadi santapan mereka sehari harian. Apabila mendapat bunga telur dari rumah orang kahwin, mereka betul betul bersyukur. Bukan itu sahaja, bunga telur itu juga sebagai sedekah tuan rumah kepada tetamunya.

         Tetapi sekarang apabila zaman moden tiba, kita lupakan bunga telur itu. Kita gantikan dengan benda lain seperti sapu tangan, pasu kecil, bahulu dan sebagainya. Secara tidak langsung kita telah lupakan budaya yang kita warisi sejak turun temurun. Lama kelamaan, seandainya perkara ini berterusan, pemberian bunga telur ini akan hilang ditelan zaman. Suatu masa nanti, sudah tidak ada orang lagi yang akan memberi bunga telur kepada tetamunya. Jangan hairan bin terkejut apabila anak cucu kita nanti sudah tidak lagi tahu apa itu 'bunga telur' !

Bunga telur


        Ingatlah, sekarang kita melihat sudah banyak budaya Melayu yang ditinggalkan seperti bersalam sambil mencium tangan orang yang lebih tua, tunduk sedikit apabila lalu di hadapan orang tua dan banyak lagi. Semakin lama, identiti orang Melayu sebagai satu bangsa yang sopan dan lemah lembut semakin hilang ditelan zaman. Maka, jangan sedih sekiranya bangsa Melayu itu sudah tidak punya identiti lagi suatu hari nanti.  

         Saya bukan berfikiran jumud atau primitif tetapi sebagai orang Melayu, saya sayangkan budaya saya. Saya tidak mahu anak cucu saya nanti hanya melihat budaya yang indah ini di dalam buku sejarah dan muzium sahaja. Oleh itu, saya mengajak kepada semua pembaca yang berbangsa Melayu agar mengekalkan budaya budaya kita yang kian hilang ini dari terus pupus ditelan zaman. 


Nota : Selamat pengantin baru Faizal dan Umaira. Dulu saya selalu bersama Faizal. Ke mana sahaja dengan Faizal. Bergurau senda, bergelak ketawa, mengulangkaji, makan, bermain dan sebagainya ketika di sekolah rendah dahulu. Setelah tamat sekolah rendah pun, kami masih berhubung walaupun dia tidak satu sekolah menengah dengan saya. Tetapi sekarang saya sudah tidak boleh lagi bermain seperti dahulu dengan Faizal. Yalah, buat apa dia mahu bermain dengan saya. Lebih baik dia bermain dengan isteri dia. Dapat eratkan hubungan suami isteri. Selamat pengantin baru.... 

6 ulasan:

  1. majlis kahwin skrng serba serbi dah moden.. klau dulu nasi kawah skrg jd catering.. klau dulu bg gula-gula ngn telur skrg entah apa benda cenderahatinya...
    huhuuu rindu plak nk mkn telur merah kenduri kahwin...

    BalasPadam
  2. stail kawen dlu2 leceh sgt, aku senang jeee plih moden, campak ajeee rm30/ kat perunding cara abih cite.. sep masa, sep tenaga
    MNH, hg umug brapaxla nampak muda sgt

    BalasPadam
    Balasan
    1. umur saya baru 20 tahun tapi ramai orang cakap muka saya nampak lebih tua dari usia sebenar. *kurang ajar.hihihi*

      Padam
  3. Zumal pun pelik, orang Melayu lebih mengangungkan budaya luar, ada yang tema inggeris, tema Korea... Rindu nak dapat bunga telur kenduri...

    BalasPadam
  4. aku tak mengagungkan sangat budaya melayu, memandangkan aku tgk bnyk budaya melayu yang sangat-sangat menyimpang dari agama Islam sendiri. Pendapat peribadi aku, selagi benda yang diubah xmendatangkan kemunduran kepada ummah Islam, selagi tu boleh diterima pakai.

    http://janganignore.blogspot.com/2014/09/kebenaran-2-lelaki-melayu-mahukan.html

    BalasPadam
  5. sekarang semua sibuk nak buat wedding ala2 western... perkahwinan orang melayu sekarang dah semakin tak nampak melayu.. terlalu banyak budaya barat yang mengantikan adat melayu.. erkk akak dah lama tak makan telur rebus orang kawen kekekekeke

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.