Selasa, 20 Mei 2014

CERPEN : DOSA SASTERAWAN

      Ratusan malah ribuan manusia berjalan membelah jalan raya untuk menuju ke Dataran Merdeka. Cuaca panas terik dan keadaan yang sesak lagi sempit itu tidak dihiraukan oleh mereka. Peluh merecik di seluruh tubuh badan seolah olah mereka baru sahaja keluar dari sebuah kolam yang dipenuhi dengan air keringat! Mereka masih berjalan bahkan ada yang berlari merempuh sekatan polis yang seumpama sebuah dinding berbaju hitam dengan memegang belantan dan perisai.
      Semangat juang mereka masih tebal. Mereka langsung tidak menghiraukan keselamatan diri dan keluarga mereka. Mereka juga tidak menghiraukan keselamatan orang lain. Mereka juga tidak menghiraukan kesan kesan buruk akibat daripada perbuatan mereka. Apa yang pasti mereka mahu menunjukkan kepada kerajaan yang memerintah sekarang ini ketidakpuashatian mereka. Mereka tega menempuh onak dan duri demi kepuasan hati mereka dan pemimpin mereka.

       Sasterawan Rahmat Hamid yang berusia dalam lingkuan 80an masih gagah bersama kumpulan yang terdiri dari pelbagai jantina dan kaum itu meredah lautan manusia dengan tujuan yang sama. Melahirkan rasa ketidakpuashatiannya kepada kerajaan dengan mengadakan tunjuk perasaan dan berarak di jalan raya. Sebenarnya kerajaan telah memberikan mereka sebuah stadium untuk mereka berhimpun namun mereka menolak atas sikap ego yang terlalu menggunung dalam diri.
       Sasterawan Rahmat Hamid dan para pemimpin parti pembangkang lain bersama pengikut pengikut mereka terus mara dan mara ke hadapan untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa mereka sangat berkuasa. Kuasa mereka adalah kuasa rakyat. Mereka tidak takut dengan polis. Mereka tidak gentar dengan meriam air. Mereka tidak lesu dengan ISA sementelahan akta itu telah dihapuskan. Mereka  tidak takut dengan ancaman lokap dan penjara. Apa yang penting adalah ketidakpuashatian mereka perlu ditunjukkan kepada kerajaan yang memerintah sekarang.   
         Sasterawan Rahmat Hamid – seorang sasterawan, wartawan dan penulis terkenal di Malaysia. Novelnya banyak yang diiktiraf di persada antarabangsa. Banyak juga novelnya yang diterjemah dalam pelbagai bahasa. Menguasai semua genre sastera – novel, cerpen, sajak, skrip drama dan kritikan/esei. Mendapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Sasterawan Negara’ atas sumbangannya kepada negara dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.
        Namanya dijulang megah bukan sahaja di dalam malahan di luar negara juga. Semua rakyat kenal akan dia. Seseorang sasterawan berjiwa rakyat. Sasterawan dan penulis yang mengangkat golongan bawahan yang tertindas dalam setiap karya karyanya. Serba serbi orang tahu dia adalah sasterawan terhebat dan terulung sepanjang zaman. Dia tiada ganti. Dia juga tiada duanya.
       Oleh kerana sumbangannya yang besar dalam bidang sastera, dia menerima anugerah pelbagai anugerah. Serta merta dia menjadi satu ikon. Dia juga satu institusi sastera. Semua orang kagum pada dirinya. Dia disayangi dan pada masa yang sama juga dia dihormati.
       Tetapi, itu semua tidak mampu memadamkan kemarahannya kepada pihak pemerintah. Dia marah kepada kerajaan kerana gagal menguruskan royalti buku bukunya. Dia juga marah kerana karya karya tidak diterima atas pelbagai alasan yang yang tidak munasabah walaupun dia seorang Sasterawan Negara.   
       Sedikit demi sedikit perasaan marah itu menjadi dendam kesumat dalam sanubarinya. Dia sudah mula benci dengan kerajaan. Dia menganggap kerajaan yang memerintah sekarang sebagai kerajaan yang korup, gila kuasa, gila pangkat dan gila harta. Justeru iru, dia bersama dengan pemimpin pembangkang dan penyokong penyokong mereka berusaha untuk menggulingkan kerajaan.
       Dia menganggap kerajaan yang ada sekarang berjaya memerintah negara dengan cara menipu dalam pilihanraya. Oleh itu, dia bersama sama dengan Rajeswari -  seorang peguam terkenal menubuhkan CUCI – sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang disokong penuh oleh parti pembangkang mendesak pilihanraya yang bersih dan adil. Antara aktiviti yang dianjur oleh CUCI ini adalah berarak di jalan raya bersama dengan pemimpin pembangkang, rakyat bawahan dan golongan mahasiswa.
       Dia sedar bahawa dia menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bukan sahaja ingin menuntut pilihanraya yang bersih dan adil malahan untuk meluahkan rasa sakit hatinya kepada kerajaan dan caranya adalah menyokong pembangkang dan menjatuhkan kerajaan yang memerintah sekarang. Bukan itu sahaja, dia juga menyokong gagasan Rajeswari untuk mengadakan ‘Kebebasan Seks’  di dalam negara ini.
       “Pak Rahmat okey ke? Larat lagi ke nak jalan?” Soal seorang anak muda dalam lingkuang 20an kepada Sasterawan Rahmat Hamid.
       “Boleh. Bapak masih kuat lagi. Tak perlulah kamu risau.” Jawab Sasterawan Rahmat Hamid lalu menghadiahkan sebuah senyuman kepada anak muda yang prihatin terhadap dirinya itu.
       Sasterawan Rahmat Hamid meneruskan perjalanannya bersama dengan ratusan malah ribuan manusia yang membanjiri jalan raya itu. Cuaca panas dan keadaan sesak langsung tidak dihiraukannya. Itu adalah satu motivasi buat dirinya terus meredah jalan raya tanpa rasa takut dan gentar. Cuaca panas dan keadaan sesak itu langsung tidak memberi kudis kepada dirinya dan orang orang yang turut berhimpun pada hari itu.
       Tiba tiba keadaan yang tenang bertukar menjadi kecoh dan huru hara.  Kelihatan beberapa orang peserta perhimpunan itu berpatah balik dan berlari lintang pukang. Suasana sudah mula menjadi kelam kabut. Wanita wanita yang turut berada dalam perhimpunan itu sudah mula panik dan menjerit melihat suasana yang bertukar kecoh secara tiba tiba itu.
       Sasterawan Rahmat Hamid mendapatkan seorang anak muda yang berlari lari anak dan berpatah balik ke belakang.
       “Kenapa kecoh kecoh kat depan tu?” Soal Sasterawan Rahmat Hamid.
       “Polis baling gas pemedih mata dan tembak meriam air kat kita. Lebih baik Pak Rahmat lari cepat. Silap silap kena ketuk dengan polis.” Jawab pemuda itu dan lari semula meninggalkan tempat itu.
       Peserta perhimpunan yang tadinya berada dalam satu kumpulan berpecah dan terus berlari dan berpatah balik ke belakang. Keadaan sungguh huru hara pada waktu itu. Asap putih berada di mana mana. Kelihatan beberapa orang FRU sedang memukul beberapa orang peserta perhimpunan itu. Sasterawan Rahmat Hamid sendiri mula berasa takut. Dia sudah tua dan tidak kuat lari pula. Jika diketuk oleh FRU itu dengan belantan, silap silap haribulan tiga bulan dia koma di hospital.
       “Pak Rahmat, lari cepat! FRU dah menggila sekarang.” Ujar seorang pemuda  kepada Sasterawan Rahmat Hamid dengan suara yang tinggi kerana suasana terlalu bising dan kecoh..
       “Mana Ketua Pembangkang?” Soal Sasterawan Rahmat Hamid.
       “Dia dah balik bersama isterinya. Dia kata kaki dia sakit.” Jawab pemuda itu.
       “Habis siapa yang tinggal?” Soal Sasterawan Rahmat Hamid.
       “ Yang tinggal hanya Tuan Presiden dan Tuan Pengerusi. Tuan Penasihat tak tahu hilang ke mana. Cepatlah Pak Rahmat. Bahaya kat sini.” Ujar pemuda itu lalu menarik Sasterawan Rahmat Hamid untuk mengikutinya.
       Sasterawan Rahmat Hamid berlari mengikuti pemuda itu namun usianya sudah lanjut. Justeru itu, dia sudah tidak kuat berlari. Tenaga sudah tidak banyak. Untung sahaja ada pemuda itu yang sudi membantunya. Jika tidak, sudah tentu kepalanya akan menjamah belantan polis.
       Ketika sedang berlari dalam suasana yang bising, hiruk pikuk dan serba kecoh itu, Sasterawan Rahmat Hamid teringat akan perbualannya bersama anak sulungnya – Husaini ketika dia mahu keluar dari rumah untuk berhimpun pagi tadi.
      “Abah nak pergi mana ni?” Soal Husaini apabila melihat bapanya sedang bersiap siap berbaju T berwarna hijau ketika dia mahu duduk di meja makan itu untuk bersarapan pagi. Husaini baru sahaja pulang dari United Kingdom setelah menamatkan pembelajarannya di peringkat ijazah dalam bidang Sains Politik.
       “Abah nak pergi perhimpunan CUCI itu. Abah nak bagi sokongan kepada parti pembangkang. Abah nak menuntut pilihan raya yang bersih dan adil dari kerajaan sekarang ni.” Jawab Sasterawan Rahmat Hamid dengan penuh semangat. “Kamu nak ikut sekali?” soalnya kepada  Husaini.
      “Tak apalah abah. Saya tak nak kena ketuk dengan polis tak tentu pasal kat situ. Abah pun tak payah pergilah. Bahaya!” Ujar Husaini.
       “Apa yang kita nak takutkan dengan kerajaan yang banyak rasuah tu? Kita hanya minta hak kita. Itu saja. Yang nak jadi penakut ni pasal apa?” Ujar Sasterawan Rahmat Hamid dengan nada suara yang agak keras. Dia agak kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mahu pergi ‘berjuang’ di atas jalan raya malahan turut melarangnya pergi.
        “Saya bukan apa abah. Abah dah tua. Kalau abah jatuh ke, apa ke tak ke semua orang susah. Abah tak payah pergilah.” Husaini cuba memujuk bapanya agar tidak pergi ke perhimpunan itu. Dia khuatir akan keselamatan bapanya. Bapanya sudah tua walaupun dia kelihatan masih sihat. Dia tidak mahu sesuatu perkara buruk berlaku kepada bapanya.
        “Kalau kamu tak nak pergi, itu hak kamu tapi kamu jangan nak tegah abah pergi. Abah seorang sasterawan. Seorang sasterawan berjiwa rakyat perlu sentiasa berada di sebelah rakyat. Bukan di sebelah pemimpin kerajaan yang korup, gila kuasa, diktator dan menindas rakyat itu.” Sasterawan Rahmat Hamid sudah mula naik berang dengan sikap anaknya yang tidak memahami perjuangan yang dilakukannya sekarang.
          “Abah seorang sasterawan kan? kenapa abah tak gunakan kedudukan abah sebagai seorang sasterawan untuk mengharmonikan negara ini? Kenapa abah mesti ambil jalan yang bahaya dan boleh memusnahkan negara macam ni?”
        “Apa maksud kamu yang abah mesti menggunakan kedudukan abah untuk mengharmonikan negara ini? Bukankah apa yang abah buat ni semata mata untuk mengharmonikan negara ni? Menjadikan negara ini lebih berdemokrasi? Mengembalikan kuasa kepada rakyat. Menghapuskan pemimpin pemimpin yang zalim dan kejam.”
       “Apa yang abah buat ini betul tapi cara abah yang salah. Abah tak boleh buat macam ni. Abah sepatutnya menggunakan kedudukan abah sebagai sasterawan untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu. Abah kena gunakan kedudukan abah untuk mendamaikan parti pembangkang dan parti kerajaan. Kenapa mesti gunakan jalan raya untuk selesaikan masalah? Kenapa tak gunakan saluran perbincangan yang ada?”
       “Kenapa kita mesti berunding dengan kerajaan yang macam tu? Buang masa saja. Mereka tak akan pernah dengar cakap kita. Mereka bertindak sesuka hati mereka. Tak ada cara lain lagi untuk menyelesaikan masalah ini melainkan dengan turun dan berhimpun di jalan raya.”
      “Abah, abah tahu tak apa yang abah buat ni salah? Abah bukan mengharmonikan negara tetapi abah makin menghancurkan negara. Saya tak kata salah nak sokong parti pembangkang, tapi sokongan yang abah beri ni terlalu membabi buta. Abah sepatutnya mengambil sikap non partisan dalam hal ini. Abah tak boleh sebelah mana mana pihak.”
       “Siapa kata tak boleh? Ini negara demokrasi. Kita berhak nak sokong siapa yang kita suka. Orang yang mengambil sikap non partisan adalah orang yang tak ada prinsip!”
       “Macam yang saya cakap tadi, tak salah abah nak sokong parti pembangkang tapi cara abah tu tak betul. Abah hanya nampak keburukan parti kerajaan tapi abah tak nampak keburukan parti pembangkang. Parti pembangkang pun banyak juga buat silap contohnya menggunakan Islam untuk tujuan politik, mengkafir kafirkan orang, membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada yang bukan Islam dan banyak lagi. Ada juga mahu tegakkan dasar ‘Malaysian Malaysia’ – menyamaratakan semua kaum, menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Abah kena tegur perkara macam tu tapi abah tak buat. Abah hanya nampak silap parti kerajaan tapi silap parti pembangkang abah buat buat tak nampak.”
       Sasterawan Rahmat Hamid hanya diam. Sedikit sebanyak apa yang dikata oleh Husaini itu banyak betulnya.
       “Sebab tu saya larang abah untuk sokong mana mana parti politik. Sebab tu saya ambil sikap non partisan. Tak sebelah mana mana pihak. Siapa kata orang yang non partisan orang yang tak ada prinsip? Rasulullah pun non partisan juga. Adakah Rasulullah pun orang yang tidak berprinsip?” Sambung Husaini apabila bapanya hanya mendiamkan diri.
       “Habis, macam mana kita nak ubah semua ni? Takkan kita nak biar pemimpin pemimpin macam kerajaan sekarang ni terus bermaharajalela dalam merompak wang rakyat sesuka hati mereka?” Soal Sasterawan Rahmat Hamid yang masih tidak berpuas hati.
       “Abah kan sasterawan. Kenapa abah tak guna bakat menulis yang ada pada abah untuk membetulkan semua kesilapan dan kebobrokan ini? Bukankah pena itu lebih tajam dari mata pedang? Abah tulislah buku ke, novel ke atau cerpen ke untuk tegur sikap pemerintah kerajaan sekarang. Bukan itu sahaja, abah juga perlu tegur kesilapan pemimpin pembangkang sama.  Jangan berat sebelah. Mereka juga manusia biasa dan sudah pasti mereka pun buat silap juga. Beri peringatan kepada mereka agar tak ikut cara yang dibuat oleh pemerintah sekarang.” Jawab Husaini.
       Sukar sebenarnya Sasterawan Rahmat Hamid untuk menolak kebenaran yang terkandung dalam kata kata anaknya itu. Anaknya seorang mahasiswa. Dari universiti yang terkenal pula. Sudah pasti pemikiran anaknya sudah terdedah dan terbuka kepada banyak perkara. Namun begitu, sikap ego yang sudah sedia ada menghiasi sanubarinya sukar untuk dihakis begitu sahaja.
        Pada hematnya, tidak ada cara lain lagi bagi memuaskan hatinya yang sudah sedia sakit bertahun tahun lamanya. Mahu atau tidak, dia perlu memastikan kerajaan yang ada sekarang tumbang dan menaikkan pihak pembangkang sebagai kerajaan. Dia sudah berazam dan bersumpah begitu dan dia tidak akan sesekali melanggar sumpahnya.
       Setelah meneguk air teh O di dalam cawan itu, dia lantas bangun untuk bergerak ke muka pintu.
      “Abah nak pergi mana?” Soal Husaini lagi yang sedang menyuap nasi goreng yang dibuat oleh ibunya pagi tadi ke dalam mulutnya.
       “Nak pergi berhimpunlah.” Jawab Sasterawan Rahmat Hamid dan terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Dia tahu jika dia teragak agak, sudah pasti anaknya akan memujuknya untuk tidak menyertai perhimpunan itu.
        Husaini sekadar memandang sahaja langkah bapanya yang sedang meninggalkan dirinya. Dia sekadar menggeleng gelengkan kepala. Dia tahu bukan mudah mahu mematahkan semangat abahnya itu. Dendam kesumatnya terhadap kerajaan atas isu royalti bukunya dan beberapa isu lagi menyebabkan abahnya tidak mudah untuk berkompromi dengan kerajaan yang memerintah sekarang.
       Abahnya berusaha untuk meruntuhkan kerajaan yang ada sekarang dan rela ditahan oleh Polis Cawangan Khas kerana menganjur dan menyertai perhimpunan itu.
        Sasterawan Rahmat Hamid dan pemuda itu terus berlari sedangkan beberapa orang yang ada di situ ada yang sedang bertempur dengan FRU. Tidak kurang juga ada yang tercedera. Keadaan di tempat itu umpama sebuah negara yang sedang berperang – padang jarak padang terkukur!
        Ketika Sasterawan Rahmat Hamid dan pemuda itu sedang berlari lari anak untuk keluar dari kawasan itu, mereka ditahan oleh pihak polis.

      “Pak Rahmat, kamu ditahan. Sila ikut kami ke balai.” Ujar polis itu sambil menunjukkan kad kuasanya.       Sasterawan Rahmat Hamid dan pemuda itu telah ditahan dan dibawa ke dalam kereta polis. Namun, itu tidak memadamkan dendam kesumat dan api kemarahannya kepada kerajaan sekarang malahan menyemarakkan lagi api kemarahan itu….



0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.