Ratusan malah ribuan manusia berjalan
membelah jalan raya untuk menuju ke Dataran Merdeka. Cuaca panas terik dan
keadaan yang sesak lagi sempit itu tidak dihiraukan oleh mereka. Peluh merecik
di seluruh tubuh badan seolah olah mereka baru sahaja keluar dari sebuah kolam
yang dipenuhi dengan air keringat! Mereka masih berjalan bahkan ada yang
berlari merempuh sekatan polis yang seumpama sebuah dinding berbaju hitam dengan
memegang belantan dan perisai.
Semangat juang mereka masih tebal. Mereka
langsung tidak menghiraukan keselamatan diri dan keluarga mereka. Mereka juga
tidak menghiraukan keselamatan orang lain. Mereka juga tidak menghiraukan kesan
kesan buruk akibat daripada perbuatan mereka. Apa yang pasti mereka mahu
menunjukkan kepada kerajaan yang memerintah sekarang ini ketidakpuashatian
mereka. Mereka tega menempuh onak dan duri demi kepuasan hati mereka dan
pemimpin mereka.
Sasterawan Rahmat Hamid yang berusia
dalam lingkuan 80an masih gagah bersama kumpulan yang terdiri dari pelbagai
jantina dan kaum itu meredah lautan manusia dengan tujuan yang sama. Melahirkan
rasa ketidakpuashatiannya kepada kerajaan dengan mengadakan tunjuk perasaan dan
berarak di jalan raya. Sebenarnya kerajaan telah memberikan mereka sebuah
stadium untuk mereka berhimpun namun mereka menolak atas sikap ego yang terlalu
menggunung dalam diri.
Sasterawan Rahmat Hamid dan para
pemimpin parti pembangkang lain bersama pengikut pengikut mereka terus mara dan
mara ke hadapan untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa mereka sangat
berkuasa. Kuasa mereka adalah kuasa rakyat. Mereka tidak takut dengan polis.
Mereka tidak gentar dengan meriam air. Mereka tidak lesu dengan ISA sementelahan
akta itu telah dihapuskan. Mereka tidak
takut dengan ancaman lokap dan penjara. Apa yang penting adalah
ketidakpuashatian mereka perlu ditunjukkan kepada kerajaan yang memerintah
sekarang.
Sasterawan Rahmat Hamid – seorang
sasterawan, wartawan dan penulis terkenal di Malaysia . Novelnya banyak yang
diiktiraf di persada antarabangsa. Banyak juga novelnya yang diterjemah dalam
pelbagai bahasa. Menguasai semua genre sastera – novel, cerpen, sajak, skrip
drama dan kritikan/esei. Mendapat gelaran ‘Datuk’ dan ‘Sasterawan Negara’ atas
sumbangannya kepada negara dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.
Namanya dijulang megah bukan sahaja di
dalam malahan di luar negara juga. Semua rakyat kenal akan dia. Seseorang
sasterawan berjiwa rakyat. Sasterawan dan penulis yang mengangkat golongan
bawahan yang tertindas dalam setiap karya karyanya. Serba serbi orang tahu dia
adalah sasterawan terhebat dan terulung sepanjang zaman. Dia tiada ganti. Dia
juga tiada duanya.
Oleh kerana sumbangannya yang besar
dalam bidang sastera, dia menerima anugerah pelbagai anugerah. Serta merta dia
menjadi satu ikon. Dia juga satu institusi sastera. Semua orang kagum pada
dirinya. Dia disayangi dan pada masa yang sama juga dia dihormati.
Tetapi, itu semua tidak mampu memadamkan
kemarahannya kepada pihak pemerintah. Dia marah kepada kerajaan kerana gagal
menguruskan royalti buku bukunya. Dia juga marah kerana karya karya tidak diterima
atas pelbagai alasan yang yang tidak munasabah walaupun dia seorang Sasterawan
Negara.
Sedikit demi sedikit perasaan marah itu
menjadi dendam kesumat dalam sanubarinya. Dia sudah mula benci dengan kerajaan.
Dia menganggap kerajaan yang memerintah sekarang sebagai kerajaan yang korup,
gila kuasa, gila pangkat dan gila harta. Justeru iru, dia bersama dengan
pemimpin pembangkang dan penyokong penyokong mereka berusaha untuk
menggulingkan kerajaan.
Dia menganggap kerajaan yang ada
sekarang berjaya memerintah negara dengan cara menipu dalam pilihanraya. Oleh
itu, dia bersama sama dengan Rajeswari -
seorang peguam terkenal menubuhkan CUCI – sebuah pertubuhan bukan
kerajaan yang disokong penuh oleh parti pembangkang mendesak pilihanraya yang
bersih dan adil. Antara aktiviti yang dianjur oleh CUCI ini adalah berarak di
jalan raya bersama dengan pemimpin pembangkang, rakyat bawahan dan golongan
mahasiswa.
Dia sedar bahawa dia menyertai
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bukan sahaja ingin menuntut pilihanraya
yang bersih dan adil malahan untuk meluahkan rasa sakit hatinya kepada kerajaan
dan caranya adalah menyokong pembangkang dan menjatuhkan kerajaan yang
memerintah sekarang. Bukan itu sahaja, dia juga menyokong gagasan Rajeswari
untuk mengadakan ‘Kebebasan Seks’ di dalam
negara ini.
“Pak Rahmat okey ke? Larat lagi ke nak
jalan?” Soal seorang anak muda dalam lingkuang 20an kepada Sasterawan Rahmat
Hamid.
“Boleh. Bapak masih kuat lagi. Tak
perlulah kamu risau.” Jawab Sasterawan Rahmat Hamid lalu menghadiahkan sebuah
senyuman kepada anak muda yang prihatin terhadap dirinya itu.
Sasterawan Rahmat Hamid meneruskan
perjalanannya bersama dengan ratusan malah ribuan manusia yang membanjiri jalan
raya itu. Cuaca panas dan keadaan sesak langsung tidak dihiraukannya. Itu
adalah satu motivasi buat dirinya terus meredah jalan raya tanpa rasa takut dan
gentar. Cuaca panas dan keadaan sesak itu langsung tidak memberi kudis kepada
dirinya dan orang orang yang turut berhimpun pada hari itu.
Tiba tiba keadaan yang tenang bertukar
menjadi kecoh dan huru hara. Kelihatan
beberapa orang peserta perhimpunan itu berpatah balik dan berlari lintang
pukang. Suasana sudah mula menjadi kelam kabut. Wanita wanita yang turut berada
dalam perhimpunan itu sudah mula panik dan menjerit melihat suasana yang
bertukar kecoh secara tiba tiba itu.
Sasterawan Rahmat Hamid mendapatkan
seorang anak muda yang berlari lari anak dan berpatah balik ke belakang.
“Kenapa kecoh kecoh kat depan tu?” Soal
Sasterawan Rahmat Hamid.
“Polis baling gas pemedih mata dan
tembak meriam air kat kita. Lebih baik Pak Rahmat lari cepat. Silap silap kena
ketuk dengan polis.” Jawab pemuda itu dan lari semula meninggalkan tempat itu.
Peserta perhimpunan yang tadinya berada
dalam satu kumpulan berpecah dan terus berlari dan berpatah balik ke belakang.
Keadaan sungguh huru hara pada waktu itu. Asap putih berada di mana mana.
Kelihatan beberapa orang FRU sedang memukul beberapa orang peserta perhimpunan
itu. Sasterawan Rahmat Hamid sendiri mula berasa takut. Dia sudah tua dan tidak
kuat lari pula. Jika diketuk oleh FRU itu dengan belantan, silap silap
haribulan tiga bulan dia koma di hospital.
“Pak Rahmat, lari cepat! FRU dah
menggila sekarang.” Ujar seorang pemuda kepada Sasterawan Rahmat Hamid dengan suara
yang tinggi kerana suasana terlalu bising dan kecoh..
“Mana Ketua Pembangkang?” Soal
Sasterawan Rahmat Hamid.
“Dia dah balik bersama isterinya. Dia
kata kaki dia sakit.” Jawab pemuda itu.
“Habis siapa yang tinggal?” Soal
Sasterawan Rahmat Hamid.
“ Yang tinggal hanya Tuan Presiden dan
Tuan Pengerusi. Tuan Penasihat tak tahu hilang ke mana. Cepatlah Pak Rahmat.
Bahaya kat sini.” Ujar pemuda itu lalu menarik Sasterawan Rahmat Hamid untuk
mengikutinya.
Sasterawan Rahmat Hamid berlari
mengikuti pemuda itu namun usianya sudah lanjut. Justeru itu, dia sudah tidak
kuat berlari. Tenaga sudah tidak banyak. Untung sahaja ada pemuda itu yang sudi
membantunya. Jika tidak, sudah tentu kepalanya akan menjamah belantan polis.
Ketika sedang berlari dalam suasana yang
bising, hiruk pikuk dan serba kecoh itu, Sasterawan Rahmat Hamid teringat akan
perbualannya bersama anak sulungnya – Husaini ketika dia mahu keluar dari rumah
untuk berhimpun pagi tadi.
“Abah nak pergi mana ni?” Soal Husaini
apabila melihat bapanya sedang bersiap siap berbaju T berwarna hijau ketika dia
mahu duduk di meja makan itu untuk bersarapan pagi. Husaini baru sahaja pulang
dari United Kingdom
setelah menamatkan pembelajarannya di peringkat ijazah dalam bidang Sains
Politik.
“Abah nak pergi perhimpunan CUCI itu.
Abah nak bagi sokongan kepada parti pembangkang. Abah nak menuntut pilihan raya
yang bersih dan adil dari kerajaan sekarang ni.” Jawab Sasterawan Rahmat Hamid
dengan penuh semangat. “Kamu nak ikut sekali?” soalnya kepada Husaini.
“Tak apalah abah. Saya tak nak kena ketuk
dengan polis tak tentu pasal kat situ. Abah pun tak payah pergilah. Bahaya!”
Ujar Husaini.
“Apa yang kita nak takutkan dengan
kerajaan yang banyak rasuah tu? Kita hanya minta hak kita. Itu saja. Yang nak
jadi penakut ni pasal apa?” Ujar Sasterawan Rahmat Hamid dengan nada suara yang
agak keras. Dia agak kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mahu pergi
‘berjuang’ di atas jalan raya malahan turut melarangnya pergi.
“Saya bukan apa abah. Abah dah tua.
Kalau abah jatuh ke, apa ke tak ke semua orang susah. Abah tak payah pergilah.”
Husaini cuba
memujuk bapanya agar tidak pergi ke perhimpunan itu. Dia khuatir akan
keselamatan bapanya. Bapanya sudah tua walaupun dia kelihatan masih sihat. Dia
tidak mahu sesuatu perkara buruk berlaku kepada bapanya.
“Kalau kamu tak nak pergi, itu hak kamu
tapi kamu jangan nak tegah abah pergi. Abah seorang sasterawan. Seorang
sasterawan berjiwa rakyat perlu sentiasa berada di sebelah rakyat. Bukan di
sebelah pemimpin kerajaan yang korup, gila kuasa, diktator dan menindas rakyat
itu.” Sasterawan Rahmat Hamid sudah mula naik berang dengan sikap anaknya yang
tidak memahami perjuangan yang dilakukannya sekarang.
“Abah seorang sasterawan kan ? kenapa abah tak
gunakan kedudukan abah sebagai seorang sasterawan untuk mengharmonikan negara
ini? Kenapa abah mesti ambil jalan yang bahaya dan boleh memusnahkan negara
macam ni?”
“Apa maksud kamu yang abah mesti menggunakan
kedudukan abah untuk mengharmonikan negara ini? Bukankah apa yang abah buat ni
semata mata untuk mengharmonikan negara ni? Menjadikan negara ini lebih
berdemokrasi? Mengembalikan kuasa kepada rakyat. Menghapuskan pemimpin pemimpin
yang zalim dan kejam.”
“Apa yang abah buat ini betul tapi cara
abah yang salah. Abah tak boleh buat macam ni. Abah sepatutnya menggunakan
kedudukan abah sebagai sasterawan untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu.
Abah kena gunakan kedudukan abah untuk mendamaikan parti pembangkang dan parti
kerajaan. Kenapa mesti gunakan jalan raya untuk selesaikan masalah? Kenapa tak
gunakan saluran perbincangan yang ada?”
“Kenapa kita mesti berunding dengan
kerajaan yang macam tu? Buang masa saja. Mereka tak akan pernah dengar cakap
kita. Mereka bertindak sesuka hati mereka. Tak ada cara lain lagi untuk
menyelesaikan masalah ini melainkan dengan turun dan berhimpun di jalan raya.”
“Abah, abah tahu tak apa yang abah buat
ni salah? Abah bukan mengharmonikan negara tetapi abah makin menghancurkan
negara. Saya tak kata salah nak sokong parti pembangkang, tapi sokongan yang
abah beri ni terlalu membabi buta. Abah sepatutnya mengambil sikap non
partisan dalam hal ini. Abah tak boleh sebelah mana mana pihak.”
“Siapa kata tak boleh? Ini negara
demokrasi. Kita berhak nak sokong siapa yang kita suka. Orang yang mengambil
sikap non partisan adalah orang yang tak ada prinsip!”
“Macam yang saya cakap tadi, tak salah
abah nak sokong parti pembangkang tapi cara abah tu tak betul. Abah hanya nampak
keburukan parti kerajaan tapi abah tak nampak keburukan parti pembangkang.
Parti pembangkang pun banyak juga buat silap contohnya menggunakan Islam untuk
tujuan politik, mengkafir kafirkan orang, membenarkan penggunaan kalimah Allah
kepada yang bukan Islam dan banyak lagi. Ada
juga mahu tegakkan dasar ‘Malaysian Malaysia’ – menyamaratakan semua kaum,
menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Abah kena tegur perkara
macam tu tapi abah tak buat. Abah hanya nampak silap parti kerajaan tapi silap
parti pembangkang abah buat buat tak nampak.”
Sasterawan Rahmat Hamid hanya diam.
Sedikit sebanyak apa yang dikata oleh Husaini itu banyak betulnya.
“Sebab tu saya larang abah untuk sokong
mana mana parti politik. Sebab tu saya ambil sikap non partisan. Tak
sebelah mana mana pihak. Siapa kata orang yang non partisan orang yang
tak ada prinsip? Rasulullah pun non partisan juga. Adakah Rasulullah pun
orang yang tidak berprinsip?” Sambung Husaini apabila bapanya hanya mendiamkan
diri.
“Habis, macam mana kita nak ubah semua
ni? Takkan kita nak biar pemimpin pemimpin macam kerajaan sekarang ni terus
bermaharajalela dalam merompak wang rakyat sesuka hati mereka?” Soal Sasterawan
Rahmat Hamid yang masih tidak berpuas hati.
“Abah kan sasterawan. Kenapa abah tak guna bakat
menulis yang ada pada abah untuk membetulkan semua kesilapan dan kebobrokan
ini? Bukankah pena itu lebih tajam dari mata pedang? Abah tulislah buku ke,
novel ke atau cerpen ke untuk tegur sikap pemerintah kerajaan sekarang. Bukan
itu sahaja, abah juga perlu tegur kesilapan pemimpin pembangkang sama. Jangan berat sebelah. Mereka juga manusia
biasa dan sudah pasti mereka pun buat silap juga. Beri peringatan kepada mereka
agar tak ikut cara yang dibuat oleh pemerintah sekarang.” Jawab Husaini.
Sukar sebenarnya Sasterawan Rahmat Hamid
untuk menolak kebenaran yang terkandung dalam kata kata anaknya itu. Anaknya seorang
mahasiswa. Dari universiti yang terkenal pula. Sudah pasti pemikiran anaknya
sudah terdedah dan terbuka kepada banyak perkara. Namun begitu, sikap ego yang
sudah sedia ada menghiasi sanubarinya sukar untuk dihakis begitu sahaja.
Pada hematnya, tidak ada cara lain lagi
bagi memuaskan hatinya yang sudah sedia sakit bertahun tahun lamanya. Mahu atau
tidak, dia perlu memastikan kerajaan yang ada sekarang tumbang dan menaikkan
pihak pembangkang sebagai kerajaan. Dia sudah berazam dan bersumpah begitu dan
dia tidak akan sesekali melanggar sumpahnya.
Setelah meneguk air teh O di dalam cawan
itu, dia lantas bangun untuk bergerak ke muka pintu.
“Abah nak pergi mana?” Soal Husaini lagi
yang sedang menyuap nasi goreng yang dibuat oleh ibunya pagi tadi ke dalam
mulutnya.
“Nak
pergi berhimpunlah.” Jawab Sasterawan Rahmat Hamid dan terus melangkah tanpa
menoleh ke belakang lagi. Dia tahu jika dia teragak agak, sudah pasti anaknya
akan memujuknya untuk tidak menyertai perhimpunan itu.
Husaini sekadar memandang sahaja
langkah bapanya yang sedang meninggalkan dirinya. Dia sekadar menggeleng
gelengkan kepala. Dia tahu bukan mudah mahu mematahkan semangat abahnya itu. Dendam
kesumatnya terhadap kerajaan atas isu royalti bukunya dan beberapa isu lagi
menyebabkan abahnya tidak mudah untuk berkompromi dengan kerajaan yang
memerintah sekarang.
Abahnya berusaha untuk meruntuhkan
kerajaan yang ada sekarang dan rela ditahan oleh Polis Cawangan Khas kerana menganjur
dan menyertai perhimpunan itu.
Sasterawan Rahmat Hamid dan pemuda itu terus
berlari sedangkan beberapa orang yang ada di situ ada yang sedang bertempur
dengan FRU. Tidak kurang juga ada yang tercedera. Keadaan di tempat itu umpama
sebuah negara yang sedang berperang – padang jarak
padang
terkukur!
Ketika Sasterawan Rahmat Hamid dan
pemuda itu sedang berlari lari anak untuk keluar dari kawasan itu, mereka
ditahan oleh pihak polis.
“Pak Rahmat, kamu ditahan. Sila ikut kami
ke balai.” Ujar polis itu sambil menunjukkan kad kuasanya. Sasterawan Rahmat Hamid dan pemuda itu
telah ditahan dan dibawa ke dalam kereta polis. Namun, itu tidak memadamkan
dendam kesumat dan api kemarahannya kepada kerajaan sekarang malahan
menyemarakkan lagi api kemarahan itu….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.