Sumber : Google |
Berita
kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah yang berlaku baru-baru ini telah menggemparkan
sekian ramai orang dalam negara. Kebakaran yang tragik itu telah mengorbankan sebanyak 23 nyawa. Ramai yang sedih dan sayu
tatkala menerima berita itu. Ramai yang tidak sangka hal sebegitu boleh
berlaku.
Berita
itu mendapat perhatian meluas oleh masyarakat kerana kebakaran tersebut telah
menyebabkan ramai kanak-kanak yang masih kecil telah terkorban. Ramai orang
mahu pihak berkuasa segera mencari punca-punca kebakaran. Ini dilakukan supaya
keadilan untuk kanak-kanak yang tidak berdosa itu boleh ditegakkan.
Setakat
ini biarlah pihak berkuasa yang melakukan siasatan. Usahlah kita sebagai
anggota masyarakat menyebarkan berita yang bukan-bukan. Perbuatan itu bukan
sahaja boleh mengganggu siasatan, malah boleh mengguris hati ahli keluarga
mangsa yang sedang mengalami kehilangan.
Menyalahkan
orang lain atas apa yang telah berlaku tidaklah menyelesaikan masalah. Biarlah
pihak berkuasa yang menangkap sesiapa sahaja yang sememangnya bersalah. Kita
sebagai anggota masyarakat usahlah mengecam dan berkelahi. Tunggulah hasil
siasatan yang akan dikeluarkan nanti.
Kematian
kanak-kanak pusat tahfiz dalam kebakaran itu wajar ditangisi oleh kita semua.
Kematian mereka merupakan bukan sahaja kehilangan besar buat ahli keluarga
mereka, malah kehilangan besar buat agama juga. Islam telah banyak rugi dengan
kematian mereka.
Tidak
ramai kanak-kanak di dunia yang mahu menjadi penghafal Al-Quran. Kanak-kanak
lain kebanyakkannya suka menjadi doktor, peguam, jurutera, atau ahli
perniagaan. Tetapi kanak-kanak yang terkorban itu sanggup dan suka menjadi
penghafal Al-Quran. Orang yang menghafal Al-Quran mempunyai kedudukan yang
tinggi dalam agama. Banyak manfaat yang Islam boleh dapat daripada diri mereka.
Barangkali apabila mereka dewasa, ilmu Al-Quran yang mereka dapat itu boleh
mereka sebarkan kepada anak-anak orang lain pula. Lalu ilmu Al-Quran itu akan
kekal tersebar di mana-mana.
Apabila
mereka telah tiada, maka kuranglah orang yang berpotensi untuk mengajar
Al-Quran dengan sebanyaknya. Sebab itulah umat Islam telah rugi dengan
kehilangan mereka.
Pujangga
bermadah : kalau tinggi untung jadi bintang, kalau rendah masih jadi intan.
Anak-anak yang terkorban itu belumlah menjadi bintang dalam agama memandangkan
usia mereka masih muda. Tambahan pula jasa mereka kepada agama belum terserlah
dengan sebanyaknya. Tetapi mereka telah pun menjadi intan dalam agama.
Keinginan mereka untuk menjadi penghafal Al-Quran adalah sesuatu yang sangat mulia.
Apa
yang telah menimpa ke atas kanak-kanak dan dua orang guru tahfiz itu adalah
sesuatu yang amat menyayat hati. Kita berharap agar kejadian semacam itu tidak
berulang lagi. Wajar kita berdoa supaya mereka semua dimasukkan oleh Allah ke
dalam syurga. Sesungguhnya mereka adalah intan dalam agama. Al-Fatihah…
Nota
: Perkembangan terbaru setakat ini, suspek yang membakar pusat tahfiz tersebut
telah ditahan. Sama-samalah kita menunggu hasil siasatan lanjut yang sedang
dilakukan oleh pihak berkuasa.
Semua yang berlaku adalah ketentuanNya.
BalasPadamAda hikmah yang perlu kita ambil iktibar.