Ahad, 17 September 2017

KITA HILANG RAMAI INTAN DALAM AGAMA


Image result for pusat tahfiz ittifaqiyah
Sumber : Google


Berita kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah yang berlaku baru-baru ini telah menggemparkan sekian ramai orang dalam negara. Kebakaran yang tragik itu telah mengorbankan  sebanyak 23 nyawa. Ramai yang sedih dan sayu tatkala menerima berita itu. Ramai yang tidak sangka hal sebegitu boleh berlaku. 

Berita itu mendapat perhatian meluas oleh masyarakat kerana kebakaran tersebut telah menyebabkan ramai kanak-kanak yang masih kecil telah terkorban. Ramai orang mahu pihak berkuasa segera mencari punca-punca kebakaran. Ini dilakukan supaya keadilan untuk kanak-kanak yang tidak berdosa itu boleh ditegakkan. 

Setakat ini biarlah pihak berkuasa yang melakukan siasatan. Usahlah kita sebagai anggota masyarakat menyebarkan berita yang bukan-bukan. Perbuatan itu bukan sahaja boleh mengganggu siasatan, malah boleh mengguris hati ahli keluarga mangsa yang sedang mengalami kehilangan. 

Menyalahkan orang lain atas apa yang telah berlaku tidaklah menyelesaikan masalah. Biarlah pihak berkuasa yang menangkap sesiapa sahaja yang sememangnya bersalah. Kita sebagai anggota masyarakat usahlah mengecam dan berkelahi. Tunggulah hasil siasatan yang akan dikeluarkan nanti. 

Kematian kanak-kanak pusat tahfiz dalam kebakaran itu wajar ditangisi oleh kita semua. Kematian mereka merupakan bukan sahaja kehilangan besar buat ahli keluarga mereka, malah kehilangan besar buat agama juga. Islam telah banyak rugi dengan kematian mereka. 

Tidak ramai kanak-kanak di dunia yang mahu menjadi penghafal Al-Quran. Kanak-kanak lain kebanyakkannya suka menjadi doktor, peguam, jurutera, atau ahli perniagaan. Tetapi kanak-kanak yang terkorban itu sanggup dan suka menjadi penghafal Al-Quran. Orang yang menghafal Al-Quran mempunyai kedudukan yang tinggi dalam agama. Banyak manfaat yang Islam boleh dapat daripada diri mereka. Barangkali apabila mereka dewasa, ilmu Al-Quran yang mereka dapat itu boleh mereka sebarkan kepada anak-anak orang lain pula. Lalu ilmu Al-Quran itu akan kekal tersebar di mana-mana. 

Apabila mereka telah tiada, maka kuranglah orang yang berpotensi untuk mengajar Al-Quran dengan sebanyaknya. Sebab itulah umat Islam telah rugi dengan kehilangan mereka.  

Pujangga bermadah : kalau tinggi untung jadi bintang, kalau rendah masih jadi intan. Anak-anak yang terkorban itu belumlah menjadi bintang dalam agama memandangkan usia mereka masih muda. Tambahan pula jasa mereka kepada agama belum terserlah dengan sebanyaknya. Tetapi mereka telah pun menjadi intan dalam agama. Keinginan mereka untuk menjadi penghafal Al-Quran adalah sesuatu yang sangat mulia.

Apa yang telah menimpa ke atas kanak-kanak dan dua orang guru tahfiz itu adalah sesuatu yang amat menyayat hati. Kita berharap agar kejadian semacam itu tidak berulang lagi. Wajar kita berdoa supaya mereka semua dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga. Sesungguhnya mereka adalah intan dalam agama. Al-Fatihah…

Nota : Perkembangan terbaru setakat ini, suspek yang membakar pusat tahfiz tersebut telah ditahan. Sama-samalah kita menunggu hasil siasatan lanjut yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.

1 ulasan:

  1. Semua yang berlaku adalah ketentuanNya.
    Ada hikmah yang perlu kita ambil iktibar.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.