|
Sumber : Google |
Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu
dalam Perkara 3 (1) telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan hendaklah ditulis dalam apa apa tulisan sebagaimana yang
diperuntukkan dengan undang undang Parlimen. Ini bermaksud, bahasa Melayu
mempunyai kedudukan yang tinggi di Malaysia berbanding dengan bahasa bahasa
yang lain.
Walaupun bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa dalam
Perlembagaan Persekutuan, tetapi oleh kerana beberapa kekangan yang berlaku
menyebabkan bahasa Melayu seperti hidup segan mati tak mahu di negara ini.
Banyak pihak seolah olah tidak mengambil cakna akan kepentingan bahasa Melayu
sebagai satu bahasa yang penting dan mesti dipertahankan supaya kekal
terpelihara sampai bila bila.
Antara masalah yang dihadapi untuk memartabatkan bahasa Melayu
adalah pengaruh bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Banyak perkataan dalam
bahasa Inggeris cuba dimelayukan seperti perkataan transformasi, reformasi,
transaksi, finalis dan sebagainya. Pelik bin aneh apabila orang Melayu sendiri
lebih suka menggunakan perkataan perkataan dalam bahasa Inggeris yang
dimelayukan ini berbanding dengan menggunakan perkataan perkataan yang terdapat
dalam bahasa Melayu itu sendiri. Mengapa kita tidak guna sahaja perkataan
perubahan, pembaharuan, urusniaga, peserta akhir dan sebagainya untuk
menggantikan perkataan dalam bahasa Inggeris tersebut? Inilah masalah kita
orang Melayu. Terlalu mengagungkan bahasa Inggeris sehingga bahasa Melayu
dianaktirikan.
Pengaruh bahasa rojak juga antara penyebab mengapa bahasa Melayu
semakin hilang ‘seri’ di tanah tercinta ini. Ramai orang Melayu terutama
golongan artis, ahli ahli politik dan orang orang Melayu yang mendapat pendidikan
Barat gemar menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan mereka seharian. Bukan
sahaja mereka, pelajar pelajar Melayu yang menuntut di IPT yang tidak
mempelajari bidang bahasa Melayu turut mengalami fenomena yang sama. Mereka
gemar mencantumkan ayat di dalam bahasa Melayu dan ayat di dalam bahasa
Inggeris melalui pertuturan mereka seharian. Perkataan perkataan seperti ‘actually’ ,
‘so’ , ‘even’ dan sebagainya
menjadi ‘santapan’ mereka seharian dalam pertuturan. Sikap mereka inilah
sedikit sebanyak telah membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda
mereka.
Sejujurnya kebanyakkan orang Melayu telah mengalami krisis jati
diri yang teruk. Ramai orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak
menyedari atau sengaja tidak menyedari akan kepentingan bahasa Melayu di negara
ini. Kerajaan yang dipegang oleh orang Melayu pun dilihat gagal untuk
memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Mereka sepatutnya mewajibkan pihak
swasta dan jabatan jabatan kerajaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam
segala urusan baik secara rasmi ataupun scara tidak rasmi. Sebagai contoh,
dalam temuduga kerja sama ada di syarikat swasta atau di jabatan kerajaan
hendaklah dibuat di dalam bahasa Melayu. Jika mereka ingkar dengan cara
menggunakan bahasa Inggeris juga, tindakan tegas wajarlah diambil. Ini bukan
soal kekejaman sebaliknya soal prinsip dan jati diri yang wajar
dipertahankan.