Sumber : Google |
Setiap manusia biasa di dunia ini
pasti akan melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang tidak pernah buat silap
tidak kira sama ada dia adalah seorang guru, pelajar, ahli politik, ustaz,
ataupun wartawan. Jika dia adalah seorang manusia biasa, kesilapan atau
kesalahan itu sudah menjadi resam dalam kehidupannya.
Namun begitu, jika kita melakukan
kesilapan, kita sewajarnya mengaku kesilapan kita. Jangan sesekali menegakkan
benang yang basah dengan mempertahankan kesilapan atau kesalahan yang telah
kita lakukan. Sangat merbahaya jika kita mempercayai kesilapan yang kita buat
itu adalah suatu perkara yang betul. Jika perkara itu berlaku, bermakna kita
berada dalam kesesatan yang nyata.
Apabila kita telah membuat salah atau
silap terutama kepada individu lain, kita wajar untuk meminta maaf dan mengaku
salah. Kita mesti berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tidak baik itu
lagi. Kita mesti benar benar menyesal atas kesilapan yang kita lakukan. Sama
ada orang itu mahu memaafkan kita ataupun tidak itu menjadi soal kedua tetapi
apa yang penting kita mesti mengaku salah dan memohon kemaafan kepada orang
yang telah kita buat silap.
Jika kita melakukan kesalahan kepada
individu lain, maka kita perlu meminta maaf kepada individu tersebut. Jika kita
melakukan kesalahan (dosa) kepada Allah, bertaubat dan mohonlah keampunan
kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Menerima Taubat. Jangan sesekali
berasa segan atau malu untuk meminta maaf. Harga diri kita tidak hilang dengan
melakukan perbuatan tersebut sebaliknya kita akan lebih dihormati.
Dalam darihal membuat salah dan silap
ini, pasti akan ada hukuman yang dikenakan kepada orang yang melakukan
kesalahan. Itu adalah lumrah. Hukuman yang kita perlu kenakan kepada orang yang
membuat salah ini haruslah setimpal. Namun begitu, masyarakat moden kita hari
ini gemar menghukum orang yang bersalah dengan hukuman yang tidak setimpal dan
melebihi kesalahan yang telah orang itu lakukan.
Sukar sekali apabila ramai diantara
kita yang berlagak sebagai Tuhan untuk menghukum seseorang itu tanpa ada rasa
belas kasihan. Mereka merasakan mereka terlalu suci dan tidak pernah melakukan
kesilapan. Mereka memandang rendah dan memberi persepsi yang buruk kepada orang
yang melakukan kesilapan. Mereka menghukum orang yang melakukan kesilapan ini
dengan sewenang-wenangnya dan melebihi hukuman yang sepatutnya orang itu
terima.
Lebih melucukan apabila orang yang
lebih sudu dari kuah ini bukanlah orang yang dianiaya tersebut. Orang yang
teraniaya tidaklah sesibuk mana tetapi orang yang tidak ada kena mengena pula
yang sibuk mahu menghukum orang yang bersalah itu secara berlebihan. Ini adalah
sesuatu yang tidak wajar berlaku. Biarkan orang yang terbabit sahaja
menyelesaikan masalah diantara mereka. Kita sebagai orang luar tidak perlu ikut
campur kerana keadaan akan bertambah keruh dengan kehadiran kita. Masalah yang
sepatutnya dapat diselesaikan dalam masa yang singkat menjadi semakin panjang
dengan kehadiran kita.
Sikap kita yang berlebihan atau melampau
itu tidak mendatangkan faedah kepada diri sendiri atau orang lain sebaliknya
tambah mengeruhkan lagi keadaan. Lebih parah kita pula menjadi batu api dan
mengadu domba antara orang yang dianiaya dengan orang yang bersalah. Kisah yang
panjangnya sejengkal menjadi sedepa dengan perbuatan kita.
Sikap tidak baik yang kita tunjukkan
itu akan menyebabkan orang yang bersalah terus berada dalam keadaan tidak
tenteram. Kehadiran kita menjadi perosak kepada diri dan imej orang yang
bersalah walaupun orang yang bersalah itu tidaklah melakukan kesalahan yang
besar. Tetapi, oleh kerana sikap kita yang gemar menambah cerita, masalah
mungkin boleh selesai namun kesan daripada masalah itu akan kekal berpanjangan.
Pokok pangkalnya, kita perlu sedar
diri bahawa kita juga adalah manusia biasa. Jangan sesekali menghukum seseorang
atas kesalahan yang telah dia lakukan dengan hukuman yang mengarut dan dan
tidak setimpal. Cuba kita letakkan diri kita di tempat orang yang bersalah
tersebut? Adakah adil kita dilayan sebegitu? Tepuk dada dan tanya iman kita.
bersikap adil itu penting...xkira dlm apa jua yg kita lakukan di dunia ini
BalasPadamMalangnya apabila berada ditampuk kuasa, berlaku adil adalah perkara terakhir yang akan dilakukan apatah lagi ketika mahu mempertahankan kepentingan diri..
BalasPadam