Jumaat, 13 Mac 2015

KE MANA HARON DIN AKAN BAWA PAS?

Sumber : Google

Tahniah saya ucapkan kepada Datok Haron Din kerana telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang baru bagi menggantikan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang telah meninggal dunia. Segala teka teki yang melanda jawatan penting dalam parti Islam itu kini  sudah terjawab dengan pelantikan Haron Din itu. 

Sebelum ini ada beberapa nama yang disebut untuk menyandang jawatan tersebut. Antaranya adalah Presiden PAS sendiri - Datuk Seri Haji Hadi Awang. Namun, apabila melihat Haron Din lebih hampir dengan jawatan itu sementelahan beliau adalah Timbalan Mursyidul Am PAS semasa Allahyarham Nik Aziz menjadi Mursyidul Am-nya, maka beliau telah dilantik oleh Majlis Syura Ulamak PAS bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Pelantikan Haron sememangnya wajar kerana beliau memang seorang ulamak yang berkaliber dan terkemuka. Ketinggian ilmunya sehingga mempunyai anak murid yang ramai wajar menjadi sandaran untuk beliau menduduki jawatan tersebut. Begitu juga dalam bidang rawatan Islam. Nama Haron Din dan rawatan Islam (Darussyifa') memang tidak dapat dipisahkan.

Saya sangat bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana semua orang tahu akan kelebihan Haron Din bagi mengisi jawatan tersebut. Lainlah jika Mat Sabu yang dilantik bagi menyandang jawatan Mursyidul Am PAS itu. Sudah tentu tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap PAS akan menjadi lain. Oleh itu, saya melihat masyarakat Islam dapat menerima pelantikan Haron Din itu sama seperti mereka dapat menerima pelantikan Allahyarham Nik Aziz dahulu.

Sebelum ini kita melihat Haron Din lebih banyak mendiamkan diri daripada bersuara dalam sesuatu isu yang melanda PAS. Suara Haron hanya kedengaran dalam isu isu yang selektif dan tidak menyeluruh. Diharapkan agar Haron boleh bersuara dengan lebih lagi apabila beliau telah berada di dalam kedudukan yang cukup ampuh dalam parti Islam itu.    

Saya melihat ada pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh Haron selepas ini terutama melibatkan pertembungan antara golongan ulamak dan golongan Liberal dalam PAS. Haron Din perlu menggunakan kedudukan dan ilmunya untuk menyatukan PAS yang sedang retak menanti belah itu. 

Haron Din juga perlu memastikan agar PAS mengekalkan perjuangan Islamnya tanpa berbelah bahagi lagi. Haron Din perlu segera 'menghalau' mana mana pihak yang dilihat cuba untuk merosakkan PAS dari dalam atau cuba untuk meliberalkan PAS seperti yang kita lihat sekarang. Haron tidak boleh lagi mendiamkan diri atau berpeluk tubuh sahaja selepas ini. Kata kata yang keluar dari mulut beliau amat penting bagi memastikan survival politik PAS akan terus bertahan dan selamat. 

Saya tidak mahu mengulas tentang niat Haron untuk bekerjasama dengan UMNO. Pada saya, terpulanglah kepada Haron jalan mana yang hendak beliau pilih - bergabung atau tidak dengan UMNO. Pada saya kedua duanya baik asalkan pilihan Haron itu mestilah membawa seribu kebaikkan kepada Islam. 

Kehadiran Haron sebagai Mursyidul Am juga sangat penting dalam konteks tahaluf siyasi PAS dalam Pakatan Rakyat. Kita mahu melihat apakah Haron akan terus bersetuju untuk terus berada dalam Pakatan atau mengambil langkah berani untuk keluar dari pakatan yang tidak berapa sepakat itu. Masing masing mempunyai keburukan dan kebaikkannya yang tersendiri. Haron sebagai ulamak yang muktabar pasti boleh memikirkan hal ini dengan baik. 

Walau apa pun pilihan Haron, pastikan pilihan tersebut membawa kemenangan kepada Islam dan PAS pada masa yang sama. Haron perlu meletakkan kepentingan Islam dalam apa jua tindakkannya. Jika Haron salah langkah, barangkali Islam dan PAS akan terancam amat tinggi sekali. Sebab itulah penting untuk Haron memilih yang terbaik untuk Islam dan juga PAS.  

Kesimpulannya, Haron perlu menggunakan kedudukannya sebagai Mursyidul Am PAS itu dengan sebaik mungkin agar Islam akan terus bertahan di bumi Malaysia ini. Haron juga perlu menggunakan kedudukannya itu untuk menyelamatkan PAS dari diganggu gugat oleh anasir anasir yang boleh merosakkan parti Islam itu. 



1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.