Sumber : Google |
Badrul Hisham Shaharin atau lebih
mesra dipanggil Che’gu Bard adalah Ketua PKR Cabang Rembau yang telah digantung
keahliannya oleh Lembaga Disiplin PKR kerana terlalu lantang bersuara dan
membuat kenyataan media mendakwa proses pemilihan PKR adalah kotor dan tidak
telus.
Che’gu Bard mendakwa secara terbuka
melalui laman portal Free Malaysia Today “Petugas JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti)
menjadi agen kepada Azmin Ali” pada 12 Mei 2014 yang lalu.
Walaupun perkara ini sudah pun
menjadi satu sejarah, namun pendedahan Che’gu Bard ini wajarlah direnungi.
Jelas PKR yang selama ini berkokok ke sana ke mari memperjuangkan keadilan dan
ketelusan dalam sistem pilihanraya di Malaysia ternyata tidak mengamalkannya di
dalam parti mereka sendiri sehingga menimbulkan rasa curiga dalam kalangan ahli
parti.
Dengan pendedahan tersebut, wajarkah
kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada PKR dan Pakatan Rakyat untuk
memerintah negara ini? PKR menuduh Barisan Nasional tidak telus dalam
pilihanraya, bagaimana pula dengan PKR yang tidak telus dalam pemilihan parti
mereka sendiri? Mereka juga turut sama mengamalkan politik kongkalikong. Mengata
dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
Walaupun saya tidak bersetuju dengan
fahaman dan beberapa pendapat Che’gu Bard, namun saya tetap tabik kepada
beliau. Beliau berani untuk mendedahkan kebobrokkan dalam partinya sendiri
walaupun dikenakan tindakan disiplin. Bukan satu perkara yang mudah sebenarnya
untuk seorang penyokong tegar sesebuah parti politik sanggup mendedahkan
keaiban parti sendiri secara terbuka dan umum.
Sepatutnya sikap sebeginilah yang
patut dicontohi oleh semua penyokong parti politik yang ada di Malaysia pada
hari ini tidak kira UMNO, PAS, PKR, dan DAP. Sebagai pendukung dan penyokong
kepada demokrasi yang tulen, setiap penyokong parti politik tidak boleh taksub
kepada pemimpin atau parti. Setiap penyokong parti politik mesti berani untuk
menyatakan kebenaran sekiranya mereka mahukan keadilan, kesejagatan, dan
kesesakmaan dalam dunia politik.
Penyokong parti politik tidak boleh
jadi pak angguk, pak turut, yesman, kaki ampu, kaki kipas kaki bodek dan
bermacam kaki lagi. Sekiranya sikap sebegitu tebal dalam diri mereka, nescaya
demokrasi itu telah mereka nodai. Mereka juga telah memperkosa kebenaran dan
melacurkan keadilan!
Kita perlu contohi Che’gu Bard yang
tidak taksub kepada parti atau pemimpin tertentu dan berani untuk menyatakan
kebenaran. Apa yang salah di sisi agama dan undang undang perlu dinyatakan
secara terbuka dan penuh keberanian. Kita tidak boleh menceritakan apa yang
baik sahaja tentang parti kita tetapi kita membisu tentang keburukan parti kita
kemudian bercakap pula tentang keburukan parti orang lain.
Tetapi itulah sikap kebanyakkan
penyokong parti politik pada hari ini. Mereka terlalu taksub pada parti dan
pemimpin mereka sendiri akibatnya masyarakat menjadi berpecah belah kerana
kebenaran dan keadilan tidak mampu lagi ditabalkan seperti biasa. Kesongsangan
dalam berpolitik telah berlaku sejak sekian lama dalam politik Malaysia kerana
ramainya manusia manusia yang taksub pada parti dan pemimpin ini.
Kesimpulannya, sebagai seorang
penulis blog saya mengajak kepada para pembaca semua yang menjadi penyokong kepada
parti politik tertentu agar tidak menjadi taksub kepada pemimpin dan parti.
Anda mesti berani menyatakan kebenaran tanpa rasa takut dan gentar. Apa yang
betul kita sokong dan apa yang salah kita mesti menentang. Budaya taksub kepada
parti dan pemimpin ini hanya akan merosakkan agama, bangsa dan negara.
yang ada jawatan sanggup ke..ramai yang angguk dan kipas je
BalasPadamBetul tu, banyak kaki kipas ^^
PadamApabila berpolitik dengan semangat taksub melampau, huru-hara la jawapannya. Dalam politik kebenarannya pahit, kotor dan menjijikkan. Apatah lagi kalau sepanjang masa menanam kebencian dan menabur fitnah semata-mata mahu menang..
BalasPadamramai yg xberani bersuara kerana takut kehilangan pangkat atau harta....hingga sanggup membiarkan perkara yg x sepatutnya berlaku...
BalasPadam