Sumber : Google |
Isu hutang dan kerugian yang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus kedengaran sehingga ke hari ini. Bukan sahaja pemimpin pembangkang, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin juga tidak sudah sudah mahu mengulas tentang isu panas itu dalam blog masing masing. 1MDB akan terus menghantui Najib selagi isu ini belum selesai dan tidak ada hitam putih yang tulen mengatakan isu ini telah pun selesai.
Saya cuba mengelak untuk menulis dan mengulas berkenaan 1MDB dalam blog saya kerana saya tidak mahir dalam tatacara kewangan, pengurusan dan ekonomi. Saya tidak mahu pembaca pembaca semua dihidangkan dengan maklumat yang 'separuh masak' berkenaan dengan soal itu. Saya tidak mahu menghadapi sebarang masalah gara gara menyebarkan pandangan yang tidak benar di dalam blog ini.
Walaupun isu ini sudah lama berkumandang, baru hari ini saya punya sedikit keberanian untuk menulis tentangnya. Saya tidak mahu mengulas dan menulis isu ini dalam konteks ekonomi, pengurusan dan kewangan sebaliknya saya mahu mengulas dalam konteks politik sementelahan blog ini pun blog yang selalu menulis tentang isu isu politik.
Sebagai penulis blog, saya melihat isu 1MDB ini boleh menggerhanakan politik Najib pada waktu ini dan pada masa akan datang. Jujur rakyat mahu tahu apa yang sebenarnya telah berlaku dalam syarikat itu sehingga boleh menanggung hutang dan kerugian yang begitu besar. Sebagai Perdana Menteri, Najib wajar memberikan maklumat yang tepat berkenaan soal itu.
Jika Najib gagal memberikan maklumat yang tepat dan gagal pula menjawab sekian banyak lemparan persoalan dan persepsi dari pelbagai sudut berkenaan syarikat itu, rakyat akan terus memasang prasangka buruk kepada Najib. Kebencian rakyat terhadap penyelewengan kerajaan selama ini pasti akan bertambah dengan kehadiran isu ini. Najib tidak boleh lari sebaliknya perlu memberi penjelasan yang wajar berkenaan soal tersebut.
Jika Najib terus berdolak dalik atau cuba menutup kebenaran di sebalik pelbagai persepsi dan persoalan yang timbul, Najib sebenarnya sedang membunuh karier politik beliau sendiri. 1MDB pasti akan menjadi 'pembunuh bersiri' buat Najib. Pemimpin pembangkang dan musuh musuh politik Najib akan berusaha keras menjatuhkan Najib dengan menggunakan isu ini.
Tidak mustahil dengan kehadiran 'pembunuh bersiri' bernama 1MDB ini akan menyebabkan Najib dan Barisan Nasional tewas dalam PRU akan datang. Sebagai pemimpin nombor wahid Barisan Nasional, Najib perlu menangani isu ini dengan sebaik mungkin. Jangan sampai isu ini akan mengkuluhumkan Najib dan bahtera Barisan Nasional pada masa akan datang.
Justeru itu, amatlah molek jika Najib boleh mendedahkan perkara sebenar yang berlaku terhadap kerugian dan hutang yang ditanggung oleh 1MDB. Rakyat mahu tahu dan membuat penilaian adakah benar telah berlaku penyelewengan wang dalam syarikat tersebut sehingga syarikat tersebut menjadi separah itu?
Kesimpulannya, Najib sudah tidak boleh sekadar menutup mata dan memekakkan telinga lagi berkenaan isu itu. Najib perlu sesegera mungkin mengatasi masalah yang melanda syarikat tersebut. Najib juga perlu mendedahkan kepada rakyat berkenaan isu itu dengan telus dan benar supaya rakyat boleh tahu dan bisa membuat penilaian tentang beliau dan kepimpinannya.
Najib perlu menyingkir elemen-elemen pengampu yang tidak tahu buat kerja.
BalasPadamSaya juga musykil dengan kewujudan 1MDB ^^
BalasPadam1mdb ni mmg mcm parasit..
BalasPadamcuma.... isu hudud di kelantan dan GST dah tenggelamkan berita pasai 1mdb ni.. seronoklah najib hehehe..