Kehidupan
manusia di dunia ini tidak lama. Bila-bila masa sahaja kita boleh pergi
dijemput oleh Ilahi. Maka, sebagai manusia, perbanyakkanlah amalan kita supaya
kita boleh selamat di akhirat sana. Jika berkemampuan, taburlah bakti dan budi
kepada keluarga dan masyarakat. Selain itu, hargailah orang yang berada di
sekeliling kita.
Orang
yang berada di sekeliling kita seperti keluarga, jiran dan kawan hendaklah kita
hargai. Mereka ialah orang-orang yang mewarnai hari-hari dalam kehidupan kita.
Tanpa mereka, pastilah kita akan berasa bosan. Tanpa mereka juga, pastilah
tiada siapa yang dapat menolong kita ketika kita berada dalam kesusahan.
Maksud
menghargai yang saya nyatakan di sini ialah sentiasa bercampur dan bergaul
mesra dengan mereka. Selain itu, binalah hubungan yang baik dengan mereka. Usah
menimbulkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan hubungan kita dengan mereka
menjadi keruh.
Bagi
kita yang masih mempunyai ibu bapa, seringlah menziarahi ibu bapa seandainya kita
tinggal berjauhan dengan mereka. Bagi yang tinggal bersama ibu bapa, janganlah
asyik terperap sahaja di dalam bilik dan bermain telefon pintar. Kerap-keraplah
ke ruang tamu untuk berbual mesra bersama ibu bapa sambil menonton televisyen.
Bagi
orang yang mempunyai adik beradik, binalah hubungan yang baik dengan mereka.
Janganlah bersengketa hanya disebabkan oleh hal yang remeh temeh seperti
merebut harta pusaka misalnya. Ramai adik beradik di dunia ini yang bermasam
muka gara-gara tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka yang dibuat
oleh ibu bapa.
Apabila
tiba hari raya, rajin-rajinkan diri untuk pergi menziarahi mereka. Jika ada
rezeki lebih, berilah sedikit kepada mereka. Apabila mereka berada dalam
kesusahan, jika berkemampuan, hulurkan bantuan kepada mereka. Jika terdapat
adik beradik kita yang menyambut hari lahir, meskipun tidak pergi menyambutnya
bersama-sama, sekurang-kurangnya berilah sedikit ucapan meskipun hanya dalam
aplikasi WhatsApp.
Bukan
mudah kita hendak bertemu dengan jiran yang baik menghuni kiri dan kanan rumah
kita. Jika bertemu yang baik itu, hargailah dengan sepenuh hati. Sama seperti
adik beradik tadi, jika ada rezeki lebih, berilah sedikit kepada mereka. Jika
mereka dalam kesusahan, hulurkan bantuan kepada mereka.
Paling
penting dalam hidup berjiran ini ialah saling menghormati antara satu sama
lain. Hak-hak jiran hendaklah sentiasa dijaga oleh sesiapa sahaja. Jika kita
saling menghormati dan saling menjaga hak, pastilah hidup kita dan akan berada
dalam keadaan aman dan harmoni.
Perkara
yang tidak disukai oleh jiran seperti membuat bising pada waktu malam, membuang
sampah di halaman rumah jiran, memakir kereta di hadapan rumah jiran dan
sebagainya janganlah kita lakukan. Jika kita terlanjur melakukannya, segeralah
memohon maaf. Jangan sesekali menunjukkan ego kita pada jiran.
Dalam
dunia ini tidak ramai orang yang mempunyai sahabat. Ramai orang mempunyai kawan
tetapi tidak ramai yang mempunyai sahabat. Jika kita tergolong dalam kalangan
yang mempunyai sahabat, maka bersyukur dan hargailah sahabat kita. Jangan
melakukan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan persahabatan.
Seandainya
kita tidak mempunyai sahabat sebaliknya hanya mempunyai kawan, maka hargailah
kawan kita. Kawan pun antara orang yang boleh membantu kita ketika kita berada
dalam kesusahan. Fungsi kawan meskipun tidak sepenuhnya berupaya menjadi
sahabat, tetapi separuh fungsi sahabat itu akan ada pada kawan.
Seperti
yang telah saya nyatakan di awal artikel ini, manusia itu hidupnya tidak lama.
Maka atas sebab itulah saya meminta kita semua ini untuk menghargai ibu bapa,
adik beradik, jiran dan sahabat kita. Bila-bila masa sahaja mereka semua itu
boleh pergi dijemput oleh Ilahi. Jika mereka dijemput Ilahi di saat kita tidak
menghargai atau tidak banyak meluangkan masa bersama mereka, pastilah kita yang
akan rugi dan menyesal.
Manusia
ini kebanyakannya selalu tidak mempedulikan sesuatu yang berada di depan mata
tetapi mula berasa rindu apabila sesuatu itu sudah pun tiada. Maka, nasihat
saya, janganlah jadi manusia sebegitu. Hargai dan sayangilah orang yang berada
di sekeliling kita. Apabila mereka sudah tiada nanti, maka kita tidaklah berasa
terlalu rugi.
hai jemput dengar lagu saya
BalasPadamhttps://nasuha-itsmyessay.blogspot.com/2020/04/lagu-kedua-cuya-ada-background-music.html