Sumber : Google |
Pilihanraya
Umum ke-14 baru sahaja tamat. Keadaan di dalam negara masih lagi gamat
(meskipun tidak huru-hara). Kita bersyukur demokrasi di negara kita berjalan
dengan baik dan sempurna. Harap keadaan sebegini akan terus kekal sampai
bila-bila.
Plihanraya
umum kali ini telah mencipta sejarahnya tersendiri. Barisan Nasional telah
gagal membentuk kerajaan setelah 60 tahun mentadbir negara ini. Pakatan Harapan
yang selama ini dilihat tidak mampu meruntuhkan tembok kekuasaan Barisan
Nasional telah berjaya menawan Putrajaya setelah berjuang beberapa lama. Ini
semua gara-gara penangan kuasa undi yang dimiliki oleh rakyat jelata.
Dengan
kemenangan Pakatan Harapan, maka kedudukan mereka telah beranjak menjadi
kerajaan. Dengan kekalahan Barisan Nasional, kedudukan mereka lantas beranjak
menjadi pembangkang.
Melihat
kepada situasi ini, serta merta Hukum Anjakan Makna boleh diaplikasi. Dalam
Hukum Anjakan Makna, setiap perkara di dunia ini akan beranjak sentiasa. Selain
boleh diaplikasi dalam sastera dan bahasa, Hukum Anjakan Makna juga boleh
diaplikasi dalam politik juga.
Seperti
kata Datuk Rahman Shaari, Hukum Anjakan Makna sangat relevan dengan dunia
politik. Kita melihat anjakan telah berlaku dengan sebanyaknya dalam dunia politik.
Kerajaan telah beranjak menjadi pembangkang dan pembangkang pula telah beranjak
menjadi kerajaan. Ini bermaksud telah berlaku pertukaran kedudukan.
Selama
ini perbuatan menghasut rakyat supaya membenci kerajaan dilakukan oleh
pembangkang terdahulu. Pembangkang sekarang sedang mengamalkan perbuatan
menghasut yang mereka benci dahulu. Kerja pembangkang adalah membuat hasutan
manakala kerja kerajaan adalah melawan hasutan. Sekarang kerja membuat hasutan
telah beranjak kepada Barisan Nasional. Dan kerja melawan hasutan pula telah
beranjak kepada Pakatan Harapan.
Jika
kerajaan dahulu tidak suka dengan perbuatan menghasut, kerajaan sekarang pun
pasti tidak suka dengan perbuatan menghasut. Kerja pembangkang sememangnya
menghasut rakyat supaya membenci kerajaan sampai bila-bila. Maka kerajaan
sekarang usahlah marah kerana itulah kerja yang dahulu mereka pernah buat juga.
Dan pembangkang sekarang usahlah marah jika sebarang tindakan undang-undang
kerana menghasut dikenakan ke atas mereka.
Kerajaan
sekarang mengatakan perbuatan menghasut (baca : mengkritik dan mendesak) adalah
sesuatu perbuatan yang sia-sia dan membawa banyak keburukan. Berilah peluang
kepada mereka untuk memperbaiki watan. Itu bukanlah sesuatu yang pelik dalam
Hukum Anjakan Makna. Apabila beranjak tempat dan kedudukan sahaja, pendapat dan
pandangan akan turut beranjak sama. Inilah yang akan berterusan sampai
bila-bila.
Hukum
Anjakan Makna boleh dilihat dalam sikap ahli-ahli politik kita juga. Lim Kit Siang dan Tun Dr. Mahathir dahulu bukanlah mempunyai hubungan yang mesra.
Namun, oleh kerana mahu mendapatkan kuasa atas alasan mahu memperbaiki
kerosakan negara, mereka boleh beranjak untuk berada dalam satu kumpulan yang
sama. Begitu juga dengan sebilangan penyokong UMNO yang teguh berada di
belakang Datuk Seri Najib dahulu. Apa sahaja yang diputuskan oleh Datuk Seri
Najib mereka hanya angguk selalu. Sekarang apabila UMNO mengalami kekalahan,
secara beramai-ramai mereka beranjak meninggalkan Datuk Seri Najib yang dahulu
mereka pernah memberi sokongan.
Ahli
politik memang mempunyai sikap begitu. Bertukar-tukar kedudukan dan pandangan
adalah sikap yang mereka amalkan selalu. Semuanya adalah untuk mempertahankan
kuasa dan mendapatkan kuasa. Kesemua ahli politik telah dibentuk begitu sejak
sekian lama.
Sebab
itulah kita jangan hairan melihat ahli politik yang dahulunya diberi
berlambak-lambak penghinaan tetapi sekarang diberi setinggi-tinggi pujian.
Kawan dan musuh dalam politik bukanlah sesuatu yang berkekalan. Jika pada hari
ini mereka bermusuhan, tidak mustahil pada lima tahun akan datang mereka akan beranjak
untuk berada dalam satu kumpulan (begitulah sebaliknya). Oleh itu, penghinaan
dan pujian berlebihan kepada mana-mana tokoh politik sebaiknya dielakkan. Kelak
kita juga berada dalam kerugian.
Dalam
politik, benci dan suka usahlah dibuat secara keterlaluan. Hal ini kerana, anjakan
pasti berlaku apabila keadaan mengalami perubahan. Itulah indahnya Hukum
Anjakan Makna. Wajarlah kita melihat dunia politik dengan hati dan fikiran terbuka.
Memandangkan
saya percaya kepada Hukum Anjakan Makna, maka saya tidak akan berdiri di
sebelah mana-mana. Saya khuatir jika saya salah tempat berdiri, keadaan
tersebut akan membuatkan diri saya menjadi rugi.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.