Sumber : Google |
Baru-baru ini negara digemparkan dengan pemergian seorang pelajar tahfiz
lelaki berusia 11 tahun bernama Mohamad Thaqif Amin bin Mohd Gadaffi.
Pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor itu disahkan meninggal
dunia setelah kedua-dua belah kakinya dipotong sebelum itu. Kedua-dua
kaki pelajar itu dipotong kerana berlaku jangkitan kuman yang dipercayai
dipukul dengan getah oleh pembantu warden di sekolah tahfiznya. Thaqif
dipercayai akan menjalani pembedahan memotong tangannya yang juga
terkena jangkitan kuman. Namun, kesempatan tiada kerana Allah telah
dahulu menjemputnya. Semoga Allah merahmati roh Thaqif buat
selama-lamanya.
Kes yang menimpa Thaqif itu menjadi gempar kerana dua perkara. Pertama, kes seperti itu sangat jarang (mungkin langsung tiada) berlaku di Malaysia dan kedua, akibat ‘kecuaian’ seorang pembantu warden dalam mengambil tindakan terhadap anak muridnya, maka seorang kanak-kanak seperti Thaqif langsung menemui ajalnya.
Memanglah betul ajal dan maut itu di tangan Allah Taala jua. Tetapi sekiranya pembantu warden itu berpada-pada ketika menghukum pelajarnya, pastilah apa yang menimpa Thaqif itu tidak begitu teruk akibatnya.
Kes guru menghukum pelajar dengan teruk sudah biasa kita dengar sebenarnya. Tetapi apa yang berlaku kepada pelajar-pelajar yang dihukum teruk oleh guru sebelum ini tidaklah sampai menerima nasib seperti yang Thaqif lalui. Kes kaki terpaksa dipotong akibat dipukul guru seperti yang dilalui oleh Thaqif begitu luar biasa sifatnya. Oleh sebab itulah mengapa ramai anggota masyarakat sangat mengambil cakna.
Tiada siapa pun pasti adakah sebab pukulan pembantu warden itu yang menyebabkan kaki Thaqif cedera begitu. Tetapi setakat ini, adalah dipercayai kerana pukulan dengan getah itulah yang menyebabkan kaki Thaqif boleh jadi begitu.
Walau apa pun, Thaqif sudah pergi menemui Penciptanya. Berbanyaklah kita berdoa semoga Allah merahmati rohnya. Apa yang berlaku kepada Thaqif itu biarlah pihak berkuasa yang menyiasatnya. Semoga dalam siasatan itu akan ada keadilan dan kebenaran yang boleh didedah dan dibuka.
Kehilangan Thaqif itu bukan sahaja kehilangan buat ahli keluarganya malah kehilangan buat agama juga. Bukan sahaja ahli keluarganya yang patut sedih, kita yang berkongsi akidah yang sama dengan Thaqif juga patut berasa sedih. Thaqif berpotensi untuk bergelar seorang penghafal Al-Quran. Akibat pemergian Thaqif, Islam sudah kehilangan seorang yang boleh menghafal Al-Quran.
Umat Islam itu ramai bak buih-buih di lautan. Tetapi dalam ramai-ramai itu bukan semuanya bercita-cita mahu menjadi penghafal Al-Quran dan boleh menghafal Al-Quran. Thaqif diberitakan bercita-cita mahu menjadi penghafal Al-Quran dan berpotensi untuk menjadi penghafal A-Quran. Tidak ramai kanak kanak Islam bercita-cita mahu menjadi penghafal Al-Quran. Kanak kanak lain jika ditanya apa cita-cita mereka pastilah mereka menyebut mahu menceburkan diri dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan, guaman atau perguruan. Kanak-kanak yang bercita-cita seperti Thaqif itu ialah kanak-kanak pilihan Tuhan.
Kedudukan seorang penghafal Al-Quran begitu tinggi dalam agama. Bukan mudah untuk mencari seseorang yang boleh menghafal Al-Quran sepenuh masa. Penghafal Al-Quran seperti Thaqif yang meninggal dunia adalah suatu kehilangan yang sangat besar dalam agama. Ini kerana, ayat ayat Al-Quran yang berdakap erat di dada dan di mindanya tidak dapat disebarkan kepada umat Islam lain yang ada di dunia.
Pepatah bermadah : kalau tinggi untung jadi bintang, kalau rendah masih jadi intan. Thaqif belumlah lagi menjadi bintang dalam agama kerana jasanya pada agama belum terserlah memandangkan usianya masih muda. Tetapi dia sudah pun menjadi intan dalam agama. Kehilangan sebutir intan seperti Thaqif membuatkan ramai umat Islam rugi dengan banyaknya. Jika Thaqif panjang usia, pastilah Islam beroleh manfaat atas kelebihannya. Namun, apa yang berlaku kepada Thaqif itu kita percaya pasti ada hikmahnya.
Kita sebagai orang yang berkongsi akidah yang sama dengan Thaqif wajar menadah tangan memohon doa supaya Thaqif mampu beroleh syurga. Dan diharapkan apa yang berlaku kepada Thaqif itu dijadikan pengajaran supaya tidak berlaku lagi di lain masa. Sesungguhnya kita sudah kehilangan seorang intan dalam agama.
Semoga peeristiwa ini akan menjadi pelajaran dan kita ambik ikhtibar dari peristiwa ini.
BalasPadam