Jumaat, 14 April 2017

BUKAN HANYA HILANG ADAB MALAH BIADAP!


Image result for kurang ajar
Sumber : Google


Bapa saya pernah berkata : orang Melayu (sudah semestinya Islam) zaman sekarang sudah semakin hilang adab. Sangat berbeza dengan orang Melayu zaman dahulu yang sentiasa menjaga adab. Pada mulanya, saya tidaklah faham akan frasa ‘hilang adab’ yang bapa saya sebutkan itu. Tetapi lama-kelamaan, semakin saya membesar, barulah saya tahu. 

Apabila saya melihat masyarakat kita (baca : Melayu) pada masa kini, sikap ‘hilang adab’ itu tidaklah dapat saya nafi. Ia memang berlaku kepada masyaraka kita pada ketika ini. Ia berlaku bukan sahaja kepada rakyat biasa, malah kepada pemimpin tertinggi negara juga.

Tidak boleh kita lupa apabila melihat gelagat seorang menteri mengeluarkan perkataan lucah kepada seorang ahli parlimen di Dewan Rakyat tidak lama dahulu. Tidak dapat juga kita tutup mata melihat perangai ahli ahli parlimen kita yang bukan sahaja terjerit-jerit ketika berbahas di Dewan Rakyat yang mulia, malah ada juga yang mencarut, memaki hamun, dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya. Inilah bukti nyata ahli ahli parlimen kita yang sepatutnya bertindak secara professional telah kehilangan adab sopan mereka.

Jika ahli ahli parlimen yang mewakili rakyat pun boleh bertindak sebegitu rupa, maka jangan hairan bin terkejut apabila melihat rakyat jelata juga boleh melakukan perkara yang sama. 

Cuba kita renung masyarakat kita pada hari ini. Banyak adab sopan dan budaya santun yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu sudah hilang hari demi hari. Misalnya, apabila lalu dihadapan orang tua, berapa ramai orang muda yang membongkokkan sedikit badan mereka? Berapa ramai orang muda pada hari ini mencium tangan ketika bersalam dengan orang yang lebih tua daripada mereka? Tepuk dada dan tanya iman kita.

Bangsa Melayu terkenal dengan adab sopannya sejak lama dahulu. Namun, hari ini segala adab sopan yang diamalkan dahulu telah hilang ditelan waktu. Orang Melayu dahulu mencipta segala budaya sopan santun itu pasti ada sebab-sebabnya. Ia sebagai lambang untuk orang muda menghormati orang tua. Ia juga sebagai proses untuk mendidik anak bangsa supaya menjaga adab dan sopan santun mereka. Apabila budaya semacam itu sudah tidak diamalkan lagi, maka lahirlah generasi muda Melayu yang biadap seperti yang kita lihat pada hari ini.

Sebab itu jangan hairan apabila membaca berita artis yang beragama Islam berani bercium mulut di khalayak ramai ketika melangsungkan perkahwinan. Dan sebab itu jangan berasa pelik melihat ada orang yang sanggup memakir keretanya dalam tempoh masa yang lama di hadapan pintu pagar rumah kita sehingga menyusahkan kita untuk masuk ke rumah kita sendiri. Inilah tanda-tanda orang Melayu semakin biadap hari demi hari.

Cuba kita renung mengapa kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat di negara kita? Ia bukan kerana masalah cuai atau tidak mematuhi undang-undang semata-mata, tetapi kerana masalah adab dan sopan santun juga. Apabila ada pemandu yang tidak langsung menyantuni pemandu lain di jalan raya, yang suka memandu mengikut sesedap rasa, maka terjadilah banyak kemalangan jalan raya seperti yang acapkali dilaporkan dalam berita. 

Saya kira jika semua (ulang : semua) pemandu tidak cuai, mematuhi undang-undang dan menyantuni pemandu lain di jalan raya, pasti kemalangan jalan raya tidak berlaku dengan sebanyaknya.    

Adab adalah suatu perkara yang sangat penting dalam masyarakat Melayu. Adab dan sopan santun memang tidak lari dari kehidupan orang Melayu. Menjaga adab bukan sahaja membuatkan orang lain rasa dihormati, malah diri dan bangsa kita juga akan disanjung tinggi. Apabila adab-adab yang diwariskan oleh nenek moyang kita dahulu telah hilang, maka jangan sedih apabila melihat bangsa Melayu yang gemilang dahulu sudah tidak lagi dipandang. 

Dalam berbicara tentang adab ini, ulama’ terulung Nusantara, Hamka ada bermadah : kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.  

Orang Melayu ini tidak dapat dipisahkan dengan agama Islam. Islam yang Rasulullah bawa itu telah menyenaraikan akhlak-akhlak yang baik sebagai panduan. Menjaga adab dan bersopan santun adalah tanda tanda kita sebagai orang yang beriman. Maka peliharalah agama Islam ini dengan menunjukkan diri sebagai orang yang mempunyai adab dan kesantunan.

Sebagai orang Melayu dan Islam, jagalah adab kita terutama di hadapan orang. Jangan tunjukkan sikap biadap yang membuatkan kita dibenci orang. Orang yang beradap dan bersopan santun akan dipandang tinggi sentiasa. Jika biadap, bukan sahaja orang tidak suka, dikhuatiri tubuh badan akan turut binasa!

1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.