Norin turun ke ruang makan rumah agam itu untuk menikmati sarapan pagi yang
telah disediakan oleh pembantu rumahnya setelah bersiap untuk ke pejabat.
Suaminya, Shuib, masih lagi berada di bilik untuk bersiap siap. Khairil yang
mahu ke kuliah pula sedang menunggu ibu bapa dan datuk neneknya untuk menikmati
sarapan bersama sama di ruang makan itu.
Razali dan Fauziah yang sudah
bangun sejak pagi lagi sedang menikmati sarapan. Sarapan yang disediakan oleh
pembantu rumah Norin pada pagi itu adalah nasi goreng dan sambal ikan.
Memandangkan mereka terlalu lapar, maka Razali dan Fauziah makan terlebih
dahulu.
“Kenapa Ril tak makan?” Soal
Razali sambil memandang ke arah Khairil yang leka menelek telefon pintarnya.
“Ril tunggu mama dan papa dulu.
Undang undang dalam rumah ni kita kena tunggu semua ada dulu baru boleh makan.”
Khairil menjawab.
“Pelik betul undang undang dalam
rumah ni. Kalau dah lapar sangat takkan nak tunggu juga. Ril kalau lapar, Ril
makan je la. Tak payah takut. Kalau mama Ril marah, biar atuk yang jawab.” Kata Razali.
“Betul ke tuk? Tapi Ril takut
la.” Khairil masih ragu ragu dengan saranan datuknya.
“Tak payah takut Ril. Kalau mama
Ril marah Ril, nenek marah mama Ril balik.” Fauziah berseloroh. Semua di meja
makan ketawa mendengar gurauan Fauziah itu. Ril yang memang lapar sejak tadi
lantas mencedok nasi goreng yang masih panas itu dan diletakkan ke dalam
pinggannya. Kemudian dia mengambil sambal ikan untuk dimakan bersama nasi
goreng.
Sedang semua menikmati sarapan
pagi itu, Norin muncul di ruang makan rumah agam itu. Semua mata tertumpu
padanya. Khairil mula meneguk liur pahitnya. Jangan aku kena marah sudahlah.
Bisik hati kecilnya.
“Sedap Ril sarapan dulu tak
tunggu mama dan papa.” Lembut sahaja suara Norin menegur anak terunanya namun
nada suara itu bernada sinis.
“Biarlah dia makan. Dia lapar tu
tunggu kau dengan Shuib lama sangat. Lagipun ibu yang suruh dia makan dulu. Dia
kan nak pergi kelas lepas ni.” Fauziah cuba membela cucunya.
“Amboi bu, datang rumak orang
buat macam rumah sendiri je. Tak tahu malu ke?” Tajam sungguh kata kata Norin
menikam hati Fauziah dan Razali. Razali seperti mahu menampar mulut Norin pada
waktu itu namun segera ditegah oleh Fauziah. Dia tidak mahu peristiwa yang
berlaku di rumah Hafizah berulang pula di rumah Norin.
“Mama, maafkan Ril ma. Ril lapar
sangat. Mama janganlah marah nenek. Dia tak salah. Ril yang nak makan dulu.
Maafkan Ril mama.” Ujar Khairil cuba untuk mententeramkan keadaan yang boleh
berlaku ketegangan pada bila bila masa sahaja itu.
“Mama tak marah Ril nak makan,
cuma kalau boleh kita tunggu semua orang ada dulu. Sebab kalau kita makan dulu
lauk cepat habis. Orang yang makan kemudian akan dapat lauk sedikit atau
mungkin tak dapat lauk langsung. Cuba kalau Ril datang lambat, pastu mama dan
papa dah makan dulu, lauk pula tinggal sikit, Ril dapat lauk sikit je la kan?
Sebab tu mama kata tunggu semua orang ada dulu, baru makan kecuali kalau ada
perkara perkara tertentu yang tak dapat dielakkan.” Norin menasihati anak
terunanya dengan panjang lebar sambil mengusap kepala Khairil tanda dia sayang
dengan anaknya itu. Khairil pula sekadar menganguk faham mendengar nasihat
mamanya.
Walaupun Norin agak tegas dengan
Khairil, namun dia tetap manjakan Khairil. Apa sahaja yang anak muda itu minta,
dia akan tunaikan dengan sebaik mungkin. Segala keperluan Khairil disediakan
dengan secukupnya dan Khairil sendiri tahu bahawa ibunya amat
menyayanginya.
“Oh, ibu dan ayah dah makan dulu
dah? Ingatkan tak turun lagi.” Ujar Shuib yang entah bila muncul di ruang makan
itu.
“Kami lapar sangat. Jadi kami
makan la dulu.” Balas Razali.
“Mak Jah masak apa ni?
Mmmm...sedapnya. Bak sikit nasi goreng tu.” Pinta Shuib kepada Norin. Norin
menghulurkan mangkuk besar yang beri nasi goreng itu kepada Shuib.
“Hari ni Ril balik pukul berapa
dari universiti?” Soal Fauziah sambil memandang ke arah Khairil yang sedang
menyuapkan nasi goreng ke dalam mulutnya dengan menggunakan sudu.
“Pukul empat nenek. Kenapa?”
“Takdelah. Lambatnya Ril balik.
Bosan la nenek duduk rumah ni berdua dengan atuk.”
“Ala...tv kan ada. Nenek
tengoklah tv. Macam macam channel ada kat tv tu. Nenek pilih je nak
tengok yang mana.”
“Betul juga tu. Tahu tahu je Ril
yang nenek suka tengok tv. Hehe.”
“Kau pula Shuib, Norin, balik
pukul berapa?” Soal Razali sambil memandang wajah anaknya dan wajah menantunya.
“Saya tak tahu lagi ayah. Tapi
biasanya sebelum pukul tujuh saya dah sampai rumah dah.” Jawab Shuib.
“Saya balik malam.” Ringkas
sahaja jawapan Norin.
“Asyik balik malam je kau ni
Norin. Cubalah balik awal sikit. Tengok si Khairil ni. Luang masa dengan dia
lebih sikit. Ni tak, asyik kerja, kerja, kerja. Sampai anak pun terabai.” Tegur
Razali.
“Bila masa pula saya abai si
Khairil ni ayah? Ayah ada nampak ke si Khairil ni mati tak makan dalam rumah
ni?” Bidas Norin sedikit kasar. Razali cuba bersabar sebaik mungkin mendengar
kata kata Norin itu. Jika diikut panas barannya, sudah lama dibalingnya pinggan
dihadapannya itu ke muka Norin. Namun, mengenangkan Shuib ada di situ, dia
perlu bersabar dengan keadaan itu.
“Bukan
macam tu maksud ayah. Ayah nak kau tengok tengok si Khairil ni kat rumah.
Luangkan masa dengar masalah dia, jangan asyik kerja je dua puluh empat jam.
Duit boleh dicari, anak takde galang gantinya.” Razali memberi nasihat.
“Saya sibuk sangat ayah. Kalau
tak sibuk, saya luangkan la masa saya dengan Khairil. Ayah ni tak payah la nak
sibuk ajar saya itu ini. Saya dah kahwin la. Tahu la macam mana saya nak urus
anak saya.” Ujar Norin yang malas mahu melayan bebelan ayahnya. Fauziah dan
Shuib sekadar menggelengkan kepala melihat layanan Norin kepada Razali.
“Tu la masalah kau. Orang bagi
nasihat, tak nak dengar. Berlagak. Kau sibuk buat apa je? Memperjuangkan LGBT
yang dilaknat Allah tu? Astaghfirullahalazim. Sia sia aku hantar kau pergi
sekolah agama, dah besar ni jadinya kau Norin.” Balas Razali.
“Ayah, yang ayah nak cari gaduh
dengan saya pagi pagi ni kenapa? Ayah nak duduk sini ayah duduk. Tak payah nak
sibuk dengan kerja saya atau anak saya. Kalau ayah tak suka dengan cara saya, ayah
boleh duduk kat rumah orang lain!” Norin membentak marah.
“Norin! Kenapa kurang ajar sangat
dengan ayah ni? Kau jangan melampau ye. Ibu sepak mulut kau tu kang. Dah kaya
makin berlagak pula kau ni.” Tengking Fauziah.
“Norin, respect your father
please.” Tegur Shuib.
“Abang nak saya respect
orang tua ni? Abang tanya diaorang, ada diaorang respect saya sebagai
anak dulu? Kalau diaorang pun tak respect saya sebagai anak, untuk apa
saya nak respect diaorang sebagai mak bapak!” Balas Norin dengan suara
yang tinggi. Kemudian dia mengambil beg tangannya lalu meninggalkan ruang makan
rumah agam itu tanpa sempat menghabiskan sarapan paginya. Dia segera menuju ke
kereta dan menghidupkannya. Setelah memanaskan enjin kereta beberapa lama, dia
meluncur pergi ke pejabat.
“Saya nak minta maaf bagi pihak
Norin kepada ibu dan ayah. Saya tak sangka dia boleh jadi macam tu. Takpelah,
nanti saya cakap dengan dia.” Ujar Shuib setelah mendengar kereta mewah Norin
meninggalkan perkarangan rumah tersebut.
“Takpelah Shuib. Ibu dan ayah
faham. Kau tak payah la risau.” Balas Fauziah dengan nada sebak. Dia segera
bangkit dari tempat duduknya dan menuju ke sinki. Selera makannya mati setelah
melihat kebiadapan Norin terhadap mereka berdua.
............................................................................................................
Khairil melepaskan keluhan berat
setelah menerima kertas ujian pertengahan semesternya daripada pensyarah – Puan
Norhayati ataupun lebih mesra dipanggil Madam Yati. Markah yang tertera di
sudut kanan belah atas kertas itu adalah 36% bermakna Khairil telah gagal dalam
ujian tersebut. Markah untuk lulus di universitinya adalah 50%.
Khairil mula risau akan subjek
Operation Management itu. Entah mengapa dia merasakan subjek tersebut sangat
susah. Dia risau akan carry marks-nya yang rendah jika dia tidak
bersungguh sungguh untuk mencapai markah lulus dalam subjek itu. Jika beginilah
markah ujian dan markah kuiznya, sudah pasti carry marks-nya akan
rendah. Jika carry marks-nya rendah, maka potensi untuk dia mengulang
subjek itu pada semester akan datang amat tinggi.
Bukan dia tidak berusaha
bersungguh sungguh untuk mendapatkan markah yang tinggi bagi subjek itu tetapi
dia tidak mampu. Subjek mengira adalah subjek yang paling dia lemah untuk
kuasai ditambah pula dengan pensyarahnya yang mengajar terlalu laju di dalam
kelas. Jadi, dia bukan sahaja lemah dalam subjek tersebut tetapi juga tidak
faham apa yang pensyarahnya ajar. Dua faktor inilah yang menyumbang pada
kegagalannya dalam ujian kedua itu.
Setelah tamat sahaja kelas Madam
Yati itu, Khairil lantas menuju ke taman universiti itu untuk menenangkan
fikiran dan melepaskan tekanan. Di taman itu terdapat sebuah air terjun buatan
manusia yang sangat besar dan Khairil sering ke situ untuk menenangkan
fikirannya. Di situ jugalah tempat Khairil selalu menghabiskan masa dan selalu
mencari idea untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
“Hoi,
kau menung apa tu?!” Terpancung lamunan Khairil apabila disergah oleh sahabat
baiknya, Dino.
“Terkejut aku.... kau ni boleh
tak bagi salam dulu? Main sergah sergah je. Sekali aku lesing kang baru padan
dengan muka kau.” Marah Khairil.
“Amboi....marah...kenapa marah
marah ni Ril? Period ea? Hahahaha.” Dino berseloroh.
“Banyak la kau punya period.”
Khairil tersenyum mendengar gurauan kawannya. Dia tidak jadi untuk marah.
“Kau mesti ada masalah ni kan?
Kalau tak, takkan muka kau ketat macam tu. Ceritalah kat aku. Mana tahu aku
boleh tolong.” Ujar Dino.
“Hmmm...memang aku ada masalah
pun. Aku risaulah dengan subjek Operation Management tu. Aku asyik gagal je.
Dua kuiz yang aku buat, dua dua gagal. Hari ni aku dapat markah ujian yang
pertama pula. Gagal juga ujian tu. Aku risau la aku repeat subject ni
sem depan. Adoiii...” Khairil meramas rambutnya menggunakan kedua dua belah
tangan sambil tunduk memandang tanah.
“Ala...chill la...kau ada
satu ujian lagi kan? Fight la untuk ujian tu. pastu kita ada final exam
kan? Fight la untuk final exam tu juga. Confirm takkan repeat
punya. Percayalah cakap aku.” Dino memberi kata kata semangat.
“Macam mana aku nak fight
kalau aku tak faham apa yang pensyarah aku ajar. Dah la subjek tu susah. Aku
benci la subjek mengira. Kau okeylah sebab kau pandai.” Kata Khairil dengan
wajah tertekan.
“Rileks la Ril. Aku rasa aku tahu
macam mana nak tolong kau.”
“Macam mana?”
“Aku akan kenalkan kau dengan
seseorang yang boleh tolong kau. Dia memang baik gila. Dia memang selalu
mengajar budak budak lemah mengira ni. Siapa yang dia ajar, confirm
boleh lulus punya.”
“Acah acah je kau ni. Kau kalau
nak gebang pun agak agak la.”
“Aduh...kau ni sengal la. Aku
cakap betul tau. Dia memang terbaik. Tiap tiap sem dia dapat dekan kau tahu.
Aku rasa kau patut jumpa dia. Minta dia tolong ajar. Dia kalau ajar memang
boleh faham.”
“Siapa dia tu? Kalau bagus
sangat, baguslah tu. Aku nak suruh dia ajar supaya aku boleh lulus pun dah okey
dah.”
“Nama dia Faiz. Dia senior kita.
Esok aku bawa kau jumpa dia. Sekarang kita masuk kelas dulu. Kang lambat kang. Nanti
mengamuk Madam Marliza tu. Dia tu dah la garang nak mati.”
“Hahaha. Okey jom.” Khairil dan
Dino meninggalkan kawasan taman yang memang tidak banyak dikunjungi oleh
pelajar di universiti itu untuk menuju ke kelas.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.