Isnin, 13 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 7



 

       Jam sudah menunjukkan pada pukul sembilan malam. Norin masih lagi berada di dalam kereta untuk pulang ke rumah. Kedengaran lagu lagu yang diputarkan oleh penyampai radio Era sebagai penemannya pada waktu itu. Traffik lancar pada waktu itu seperti kelazimannya. Tidak banyak kenderaan yang berada di jalan raya memudahkan perjalanan Norin untuk pulang ke rumah.

     Sebenarnya Norin baru sahaja pulang dari berucap di Dewan Perhimpunan Rakyat Malaysia mengenai hak hak asasi manusia anjuran sebuah NGO yang berpengaruh iaitu CUCI. CUCI adalah sebuah NGO yang memperjuangkan hak hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, kebebasan dalam pilihanraya, kebebasan seksualiti, kebebasan beragama, dan sebagainya. CUCI mendakwa kerajaan Malaysia telah mengekang begitu banyak sekali hak hak asasi manusia yakni satu kezaliman kepada rakyat Malaysia.

     Sekarang ini CUCI sedang memperjuangkan hak asasi manusia iaitu kebebasan seksualiti yang diketuai oleh Norin. CUCI ingin kerajaan Malaysia mengiktiraf  golongan lesbian, gay, biseksual, dan traseksual (LGBT) dengan maksud mereka boleh melangsungkan perkahwinan sesama mereka dan mereka boleh diterima oleh masyarakat seperti mana yang berlaku di negara negara Barat. Maksudnya, hak mereka untuk melakukan hubungan sejenis itu mestilah diiktiraf tanpa diganggu oleh pihak berkuasa dan undang undang negara.


     Sejak menyertai CUCI, nama Norin serta merta menjadi terkenal. Dia mula terkenal sebagai seorang peguam yang handal dan sebagai pejuang hak asasi manusia. Ke mana sahaja dia pergi, dia sentiasa menjadi perhatian dan bualan. Dia sangat suka dengan keadaan itu kerana itu menambahkan lagi pelanggan yang memerlukan perkhidmatannya sebagai seorang peguam.

     Norin membelok ke kanan apabila sampai di simpang rumahnya. Beberapa minit kemudian, dia telah sampai ke rumah. Dia memakirkan keretanya di dalam garaj dan segera masuk ke dalam rumah. Dia agak terkejut apabila melihat Khairil sedang berbual dengan dua orang yang cukup dikenalinya tetapi sudah lama tidak ditemui. Dia segera menuju ke arah mereka.

     “Ibu...ayah...bila ibu dan ayah sampai?” Soal Norin yang masih kebingungan. Di wajahnya jelas ada riak terkejut.

     “Waalaikumussalam.” Sindir Razali. Tumpuan Khairil, Fauziah dan Razali sedang tertumpu kepada Norin yang sedang tercegat di ruang tamu rumah itu.

     “Mana papa Ril?” Norin bertanya kepada Khairil tanpa mengendahkan kedua dua orang tua itu.

     “Papa kat kolam renang ma.” Jawab Khairil. Mendengar sahaja jawapan Khairil itu, Norin segera menuju ke kolam renang yang terletak di luar rumah. Norin mencari kelibat suaminya, Shuib. Dia melihat Shuib sedang tekun menyiapkan kerjanya di salah sebuah meja tembaga yang terletak berhampiran dengan kolam renang itu.
     “Abang, kenapa tak bagitahu saya yang dua orang tua itu ada kat rumah ni? Bila masa diaorang sampai ke sini?” Tanpa salam dan tanpa mukadimah, Norin menyerang Shuib dengan soalan yang bertalu talu.

     “Aik, bila masa awak sampai? Tiba tiba muncul kat sini tanya itu ini tu dah kenapa?” Soal Shuib yang masih bingung dengan kemunculan Norin secara tiba tiba itu.

     “Saya tanya abang dulu kan, bila masa pula dua orang tua datang ke rumah ni? Jawab la soalan saya tu....” Norin menghentakkan kakinya kerana kegeraman. Dia geram kerana dua sebab. Pertama kerana Shuib tidak segera menjawab soalannya dan kedua, kerana Fauziah dan Razali ada di rumahnya.

     “Petang tadi...kenapa?” Balas Shuib dan mula menyambung semula kerjanya tanpa menghiraukan kehadiran Norin yang berdiri berhampiran dengannya sambil menjinjing sebuah beg tangan berjenama mewah.

     “Kenapa abang tak bagitahu saya? Kenapa diaorang datang rumah kita? Bukan sekarang dia patut berada kat rumah kak long ke? Kenapa kak long hantar diaorang ke sini?” Norin bertanya bertalu talu.

     “Awak ni rileks sikit boleh tak? Yang nak terburu buru ni kenapa? Ada hantu kejar awak ke?” Shuib sendiri menjadi bingung dengan sikap Norin yang terburu buru pada malam ini. Kebisaannya tidak begitu.

     “Janganlah loyar buruk abang. Saya tanya elok elok ni. Jawablah soalan saya tadi.” Norin benar benar tidak dapat menahan sabarnya pada waktu itu. Dia benar benar tidak boleh terima kehadiran kedua dua orang tua itu di rumahnya.

     “Macam mana abang nak bagitahu. Saya telefon awak tak angkat. Saya mesej awak tak balas. Haa...cuba awak fikir?” Kata Shuib sambil memandang ke arah Norin, isterinya yang sangat cantik tetapi agak tegas orangnya itu.

     “Henfon saya mati. Bateri dah habis. Tak sempat nak cas pun. Hari ni sibuk sangat.” Balas Norin.

     “Ibu dan ayah awak datang sini sebab kak long Hafizah yang hantar. Dia ada kursus selama seminggu esok. Dia tak dapat nak jaga ibu dan ayah buat masa ni.” Ujar Shuib.

     “Habis tu, kenapa kak long tak hantar ke rumah Hafreez? Kenapa kena hantar kat rumah kita?” Norin bertanya lagi.

     “Hafreez takde kat KL sekarang ni. Hafreez kat Sabah...outstation. dia bawa sekali Haliza dengan Hazim. Sebab tu la kak long hantar dia ke rumah kita.” Shuib menjawab.

     “Kalau Hafreez takde, hantar la pergi rumah Hamad. Kenapa rumah kita juga yang dia nak hantar? Kenapa kita yang mesti jaga dua orang tua tu?”

     “Takpelah, apa salahnya kak long nak hantar diaorang ke sini. Diaorang pun ibu dan ayah awak juga. Yang awak tanya macam macam soalan ni kenapa? Awak tak suka ke ibu dan ayah awak datang rumah kita?”

     “Memang saya tak suka! Saya benci diaorang berdua. Diaorang dua tu menyusahkan, awak tahu tak? Huh!” Norin menyilangkan tangannya untuk memeluk tubuh. Dia mengalihkan pandangannya ke dasar kolam. Air kolam itu kelihatan tenang pada waktu malam.

     “Tak baik awak cakap macam tu Norin. Diaorang tu ibu dan ayah awak tau. Yang awak nak benci sangat dengan diaorang ni kenapa?”

     “Abang tak tahu apa apa memang la abang boleh cakap. Abang tak membesar dengan diaorang. Kalau la abang membesar dengan diaorang, abang akan tahu kenapa saya benci sangat dengan diaorang.” Jawab Norin dengan lantang sebelum melangkah meninggalkan Shuib. Shuib sekadar memandang sahaja Norin meninggalkan dirinya di kolam renang itu sambil menggelengkan kepala. Dia benar benar kesal dengan sikap Norin.

          Norin melangkah masuk ke dalam rumah untuk menuju ke biliknya. Ketika melalui ruang tamu, dia melihat Khairil sedang berbual bual dengan Fauziah dan Razali. Hati Norin menjadi panas tiba tiba melihat kemesraan anaknya dengan kedua dua orang tua itu.

     “Khairil Ishak bin Shuib!” Norin memanggil anaknya. “Esok Ril ada kuliah kan? Kenapa tak tidur lagi?”

     “Ala...ma...kejap lagi Ril tidurlah. Ril tak puas lagi borak dengan atuk dan nenek.” Khairil menjawab.

     “Esok dah takde ke nak borak borak? Esok boleh borak kan? Pergi masuk tidur sekarang! Dari sibuk borak borak kosong tu, baca buku lagi bagus.” Jerkah Norin.

     “Biasa mama tak kisah pun Ril tidur lambat. Kenapa malam ni mama tak bagi pula? Lagipun baru pukul sepuluh malam. Ril biasa tidur pukul dua belas.” Ujar Khairil yang tidak berpuas hati dengan tindakan Norin yang menghalang dirinya berbual dengan atuk dan neneknya.

     “Jangan banyak cakap boleh tak? Ikut je la apa mama cakap. Kenapa degil sangat ni?”  Khairil mula menarik muka empat belasnya. Dia bersalam dengan Fauziah dan Razali sebelum berjalan lambat lambat meninggalkan ruang tamu untuk menuju ke biliknya yang terletak di tingkat tiga rumah agam tersebut. Dia rasa tersinggung dengan sikap ibunya pada malam itu.

     “Biarlah dia nak berborak dengan ayah lama sikit. Kami lama tak jumpa dia. Lagipun dia dah besar. Tidur pukul berapa pun takde masalah rasanya. Janganlah kongkong hidup dia macam tu. Nanti dia memberontak.” Razali bercakap dengan nada yang lembut. Sememangnya dia memang tidak patut masuk campur dalam pengurusan rumahtangga Norin namun dia kasihan melihat Khairil yang acapkali dikongkong hidupnya.

     “Amboi...pandainya ayah bagi nasihat. Dulu ayah kongkong hidup saya dengan kak long tu boleh pula. Pernah ke ayah fikir kami memberontak ke tidak.” Sinis sahaja kata kata balasan yang terbit dari mulut Norin.

     “Bila masa pula ayah kongkong kau? Kau jangan nak tuduh ayah bukan bukan.” Razali sudah naik berang dengan kata kata Norin. Norin hanya tersenyum sinis mendengar kata kata Razali sebentar tadi. 

     “Tsk, ayah...ayah... makin ayah tua, makin ayah lupa. Takpelah, biar saya ingatkan ayah balik. Ayah ingat tak, setiap kali kita nak keluar rumah, ayah dan ibu pasti akan tentukan kami kena pakai baju apa, seluar apa, kasut apa, semua ayah dan ibu tentukan. Bila kami nak pakai baju kegemaran kami, ayah kata tak sesuailah, buruklah, memalukanlah...itu bukan kongkong namanya?”

     “Tapi apa yang ayah buat tu memang betul pun. Pakaian yang kau pilih tu memang tak sesuai. Ada pergi rumah orang kahwin pakai selipar je. Pergi rumah saudara mara pakai baju buruk buruk. Sebab tu la ayah dan mak larang pakai baju tu.”

     “Tak sesuai dan buruk tu hanya pada mata ayah. Pada mata orang lain okey je. Ayah je yang over, itu tak boleh, ini tak boleh. Saya nak masuk universiti ni tak boleh, nak masuk universiti tu tak boleh. Semua universiti yang saya pilih ayah kata tak bagus. Universiti yang ayah pilih je bagus. Sepanjang saya membesar di bawah ayah, jarang saya boleh tentukan apa yang saya suka dan apa yang saya nak. Itu kongkong la namanya. Kalau ayah boleh kongkong saya, jadi ayah tak berhak nak cakap apa apa kalau saya kongkong Khairil sebab orang yang ajar saya suka mengongkong ni adalah ayah!” Kata Norin. Kemudian dia meninggalkan kedua dua orang tua itu di ruang tamu rumah tersebut. Fauziah sekadar menggelengkan kepala melihat ulah Norin. Razali pula kesal dengan sikap anak kedua mereka itu.

     “Saya tak sangka Fauziah. Saya kerja sungguh sungguh nak bagi mereka makan, nak besarkan mereka, tapi ini balasan mereka pada saya bila mereka dan besar dan bekerjaya.” Razali berkata. Ada nada sedih dalam suara Razali pada waktu itu.

     “Sabarlah bang. Mereka dah salah faham dengan apa yang kita cuba buat. Saya pun tak tahu nak cakap apa.” Kata Fauziah dengan sedih dan Razali hanya mampu melepaskan keluhan berat.

............................................................................................................

     Hafizah sedang tekun menanda kertas kertas peperiksaan para pelajarnya pada malam itu dihadapan televisyen. Sambil menanda kertas, sambil itu juga matanya memandang peti televisyen yang sedang menyiarkan rancangan Meletop yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Neelofa. Tetamu rancangan itu adalah Akim and The Majistret dan dua orang anggota kumpulan Caliph Buskers yang masing masing mendapat tempat pertama dalam Anugerah Juara Lagu ke 30 yang berlangsung baru baru ini.

     Sedang dia khusyuk menanda kertas, telefon pintarnya berbunyi. Segera dia melihat di skrin telefon untuk mengetahui gerangan yang menghubunginya pada malam itu. Tertera nama Norin di skrin itu. Segera dia menekan butang JAWAB bagi menyahut panggilan Norin melalui telefon pintar itu.

     “Hello, long, aku nak tanya, kenapa kau hantar dua orang tua tu kat rumah aku?” Tanpa mukadimah, Norin terus menghamburkan soalan kepada Hafizah sebaik sahaja panggilan telefonnya disambut.

     “Kan aku ada kursus esok. Kalau aku tak hantar dua orang tua tu kat rumah kau, aku nak hantar diaorang kat mana lagi? Tepi longkang?” Hafizah menyindir.

     “Kau ni kan nama je masuk universiti. Kau hantar la diaorang gi rumah Hamad. Yang kau hantar diaorang gi rumah aku tu kenapa? Menyusahkan orang betul la kau ni.” Balas Norin kegeraman.

     “Kau tahu kan Hamad tu susah. Dia nak makan dengan bini dia pun kempas kempis, aku nak hantar diaorang gi rumah Hamad? Cuba kau fikir pakai otak kau tu sikit. Jangan cakap main sedap mulut je.”

     “Aku peduli apa dia susah. Yang susah dia bukan aku!” Ujar Norin dengan suara yang lantang. Oleh kerana malas mahu berdebat dengan Norin kerana tahu yang dia tidak akan menang, segera Hafizah memutuskan panggilan Norin itu. Dia malas mahu mendengar Norin membebel mengenai kedua dua orang tua itu.

     Hafizah meletakkan telefon pintar berjenama Asusnya di atas meja. Dia menyandarkan badannya ke sofa empuk yang teletak di ruang tamu rumah itu. Dia memejamkan mata untuk merehatkan mindanya sebentar. Panggilan Norin itu benar benar telah menganggung fikirannya. Dia tahu Norin marah kerana dia menghantar kedua dua orang tua itu ke rumah Norin. Seperti mana dirinya, Norin juga tidak dapat menerima kehadiran kedua dua mereka. Norin juga menyimpan dendam terhadap mereka berdua. Oleh sebab itulah, Norin agak berang apabila dia meminta Norin menjaga kedua dua orang tua itu buat sementara waktu.

     Dia teringat ketika dia masih remaja. Dia dan Norin seperti hamba di rumah itu. Hamad juga senasib dengannya cuma budak itu selalu tidak kena memandangkan dia banyak merayau ke sekeliling kampung. Namun, banyak merayau pun tidak boleh juga. Hamad juga sering dimarahi dan kadang kala dimaki dengan kata kata yang tidak sepatutnya diucapkan oleh ibu bapa kepada anak anak seperti perkataan ‘bodoh’ dan ‘bangang’. Hafreezlah yang paling beruntung sekali memandangkan dia adalah anak angkat kesayangan Razali dan Fauziah. Hafreez sering kali terlepas daripada melakukan kerja kerja rumah, jarang dimarahi oleh mereka, dan jauh sekali dihamburkan dengan kata kata makian.  

     Di rumah itu, dia yang paling banyak buat kerja. Membasuh pinggan, menjemur pakaian, melipat pakaian, menanak nasi, menyapu sampah di halaman, dan banyak lagi dilakukan olehnya. Norin pula ditugaskan untuk membasuh baju dan menyapu rumah.

     Dia tidak kisah akan semua itu kerana dia ingin membantu ibu bapanya memandangkan kedua dua mereka bekerja. Tetapi apa yang dia tidak tahan adalah dia akan dimarahi dengan teruk jika dia melakukan kesilapan. Dia teringat lagi ketika dia membuat kuih karipap dengan kuantiti tepung yang banyak sehingga kulit karipap itu menjadi tebal dan rasanya tidak sedap, Razali memarahinya sehingga jiran jirannya dapat mendengar memandangkan suara Razali sangat kuat apabila marah. Dia amat malu dengan keadaan itu.  Tidak cukup dengan itu, Fauziah pula mencanangkan ke seluruh pelusuk kampung dan saudara mara bahawa dia tidak pandai membuat karipap. Semua orang menjadikan kelemahannya itu sebagai bahan ketawa.

     Bukan hanya dia, Norin pun mengalami nasib yang sama. Pernah satu ketika Norin telah menghitamkan baju kerja Razali ketika sedang menggosok. Norin dipukul dengan rotan sehingga berbirat birat badannya. Dia juga pernah mengalami nasib yang sama kerana lupa untuk membasuh pinggan di dalam sinki dan membuang sampah yang telah penuh ke dalam tong sampah. Itu hanyalah cebisan kecil ‘kekejaman’ Razali dan Fauziah terhadapnya dan Norin. Mereka tidak boleh bersuara untuk mempertahankan diri kerana dianggap sebagai kurang ajar. Jika mereka berani bersuara, kain baju mereka akan dihumban ke luar rumah dan mereka akan dihalau dari rumah.

     Baginya, apa yang telah dilakukan oleh Razali dan Fauziah itu sepanjang mereka membesar adalah tidak wajar sama sekali. Mereka seperti anak tiri di dalam rumah itu. Mereka dilayan tidak seperti anak anak orang lain. Lama kelamaan, perasaan dendam terhadap ibu bapa sendiri muncul dengan sendirinya dan sedikit demi sedikit dia menjadi pemberontak dalam keluarga tanpa dia sedar yang dia telah pun menjadi anak derhaka.

     Kerana ibu bapanyalah, dia menjadi orang yang penakut. Takut untuk menghadapi cabaran memandangkan setiap kali ditimpa kesusahan, dia tidak disokong sebaliknya dimarahi, dihina, ataupun ditertawakan. Kerana ibu bapanyalah dia dan Norin sering dibuli  di sekolah kerana kesan psikologi yang dialami atas cara didikan ibu bapa mereka.

     Oleh sebab itu, sehingga kini dia masih tidak dapat memaafkan mereka berdua. Begitu juga dengan Norin dan Hamad. Walaupun dia tahu bahawa tindakannya itu boleh menjerumuskan dirinya ke lembah neraka, namun dia masih tidak mahu berubah. Hatinya keras untuk memaafkan ibu bapanya sendiri. Sifat ego sentiasa menguasai dirinya dan dia tidak tahu sampai bila keadaan itu akan berlaku.   

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.