Ahad, 19 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 11



        
        Pada pukul 9.30 malam itu, Norin sudah sampai di rumah. Apabila dia masuk ke dalam rumah sahaja, dia melihat Fauziah sedang menonton televisyen. Dia memerhatikan Fauziah dan mendapati yang ibunya itu bukan menonton televisyen tetapi tidur! Dia melihat alat kawalan jauh Astro miliknya sudah pecah di lantai menandakan ibunya telah menjatuhkannya tanpa wanita itu sedari memandangkan dia telah terlena.

     “Ibu! Apa ibu buat ni? Ya Allah...pecah remote aku. Ibu! Bangun!” Norin mengejutkan Fauziah dengan suara yang lantang dan kasar. Dia menggoncang tubuh ibunya dengan kuat.

     “Kenapa Norin? Apa yang telah berlaku?” Fauziah bertanya dalam keadaan terpisat pisat kerana baru tersedar daripada tidur. Dia masih berada dalam keadaan terpinga pinga. 


     “Cuba ibu tengok ni, apa yang ibu dah buat. Pecah remote saya ni tahu tak? Ibu ingat remote ni murah? Ibu nak tidur pergi la dalam bilik! Ini ruang tamu, bukan bilik! Nak tengok tv, tengoklah, ini tak, tidur! Lepas tu pegang remote sambil tidur, memang la remote jatuh dah pecah!” Norin mula membebel dengan bahasa yang berbelit belit kerana terlalu marah dengan ulah ibunya.

     “Maafkan ibu Norin. Ibu tertidur sambil pegang remote, ibu tak sedar bila remote ru jatuh. Maafkan ibu sekali lagi.” Fauziah memohon kemaafan daripada Norin dengan penuh rasa bersalah. Dia kecut perut melihat wajah Norin yang seperti singa itu.

     “Senang je kan...dah pecahkan remote orang, minta maaf macam tu je. Banyak cantik!” Sindir Norin dengan pandangan yang tidak puas hati kepada Fauziah.

     “Ibu tahu tak, bila ibu pasang tv ni, elektrik berjalan. Ibu ingat sekarang ni bil elektrik murah? Kalau tak nak tengok atau nak tidur, tutuplah tv ni supaya elektrik tak jalan. Boleh jimat sikit. Ibu ni memang manja kan? Saja nak susahkan hidup anak anak. Suka sangat membazir.”

     “Sampai hati kau cakap macam tu Norin. Aku ni mak kau tau, bukan adik adik kau yang kau boleh marah marah macam tu. Takkan dengan ibu sendiri pun kau nak berkira. Kalau kau tak ada duit nak bayar, ibu boleh bayar bil elektrik kau ni guna duit simpanan ibu. Bukan selalu pun ibu datang rumah kau. Baru dua hari ibu kat sini, kau dah marah marah ibu. Sampai hati kau...”

     “Oh...sampai hati? Saya ni berkira? Habis ibu tu tak berkira?”

     “Bila masa ibu berkira dengan kau?”

     “Huh, buat buat lupa pula orang tua ni. Ibu lupa ke ibu selalu marah saya masa saya remaja dulu kalau saya tengok tv sampai larut malam? Ibu lupa ke ibu selalu membebel kalau saya guna telefon rumah lama lama sebab nak cakap dengan kawan bincang pasal assignment? Ibu lupa ke ibu selalu bising kat saya bila saya mandi lama masa saya kecik dulu? Ibu lupa ke semua tu? ke ibu buat buat lupa atau ibu ni dah nyanyuk?”

     Fauziah terdiam mendengar kata kata Norin. Memang benar apa yang Norin katakan. Dia pernah melakukan itu semua semasa Norin, Hafizah dan Hamad kecil dan remaja dahulu. Sekarang Norin sedang membalas dendam terhadap apa yang pernah dia lakukan kepada Norin dahulu. Adakah ini bermakna karma? Adakah ini bermakna balasan Tuhan kepadanya kerana berlaku ‘kejam’ terhadap anak anak? Dia sendiri tidak pasti dengan soalan yang baru muncul di benaknya waktu itu.

     “Kenapa ibu diam? Betul kan apa yang saya cakap? Kalau saya berkira pun memang patutlah sebab ibu pun berkira juga dengan saya dulu. Nak bagi duit belanja sekolah pun kadang kadang ibu merungut itu ini. Minta beli barang sekolah pun bagi macam macam alasan pastu cakap yang bukan bukan. Suka sepah sepah la, tak reti jaga elok elok la, rosak la, apa la. So, ibu yang ajar saya jadi berkira, saya pun berkira la sekarang ni.” Norin tersenyum sinis memandang ibunya yang duduk terbungkam di sofa itu. Hatinya puas pada waktu itu kerana telah berjaya menyakiti hati Fauziah seterusnya melunas dendam terhadap ibunya sendiri.

     “Ma, mama baru balik?” Tersentak Norin apabila mendengar suara Khairil yang entah muncul dari mana. Dia berpaling memandang anak terunanya yang baru sahaja turun dari tingkat dua rumah agam tersebut. Khairil memakai baju berwarna merah jambu dengan gambar Captain America yang agak besar di bahagian depan dan berseluar pendek berwarna coklat cair paras lutut.

     “Haah, baru balik. Ril dah makan. Papa mana?” Soal Norin sambil mengusap kepala Khairil dengan tangannya. 

     “Papa ada kat bilik bacaan. Maybe tengah buat kerja kot. Ril dan papa belum makan lagi. Kitaorang tunggu mama. Tapi atuk dan nenek dah makan.” Balas Khairil. Dia memandang Fauziah yang sedang duduk itu. Sebuah senyuman manis dihadiahkan kepada Fauziah yang berada dalam keadaan pilu kerana terkesan dengan kata kata Norin tadi. 

     “Alah sweetnya, sekarang Ril pergi panggil papa. Kita makan sama sama. Mama pun dah lapar ni.”

     “Okay ma. Tapi sebelum tu ada perkara yang Ril nak cakap dengan mama.”

     “Mmm...apa dia? Cakaplah.”

     “Boleh tak malam Jumaat dan malam Sabtu setiap minggu Ril nak tidur dekat asrama universiti?”

     “Kenapa pula Ril nak tidur kat asrama universiti? Tak best ke duduk rumah ni?” Norin bertanya dalam keadaan bingung.

     “Bukan macam tu ma. Ril lemah dalam subjek Operation Management tu. Ril tak nak repeat paper tu macam Ril repeat paper accounting dulu. Pastu ada senior Ril yang volunteer nak ajar Ril. Senior tu duduk kat asrama universiti. Kalau mama benarkan, Ril ingat Ril nak study dengan dia pastu tidur kat bilik dia sekali sebab Ril takutlah balik rumah malam malam naik motor sorang sorang. Sebab tu Ril minta kebenaran mama nak tinggal kat asrama universiti setiap  malam Jumaat dan malam Sabtu. Pagi Ahad Ril balik la.” 

     “Oh macam tu...senior Ril tu lelaki ke perempuan? Pastu kenapa dia nak ajar waktu malam. Waktu pagi atau tengah hari tak boleh ke?”

     “Lelaki la ma. Kan Ril nak tidur bilik dia. Takkan Ril nak tidur bilik senior perempuan pula. Waktu siang dia ada hal ma. Dia boleh ajar Ril waktu malam je.” Ril menjawab. Dia berasa lucu apabila ibunya bertanya yang seniornya itu lelaki atau perempuan.

     “Yalah, zaman sekarang ni macam macam Ril. Ril ni bukan boleh percaya sangat. Muka baik je kat rumah tapi kat universiti entah entah jadi playboy! Maklumlah, ada muka yang cute macam papa masa muda muda dulu. Sedar sedar je dah buntingkan anak dara orang. Tapi kalau Ril nak study mama tak kisah. Kalau Ril buat benda bukan bukan, memang mama tak bagi.”

     “Ke situ pula mama ni. Ril ni tahu la nak bezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Tapi betul ma. Ril bukan nak buat apa pun. Just study je.”

     “Okay, mama benarkan tapi ingat ye Ril. Jangan buat benda bukan bukan macam hisap dadah ke, pergi clubbing ke, pergi buntingkan anak dara orang ke... Mama dapat tahu Ril buat benda benda bodoh tu, mama orang pertama yang sembelih Ril. Ingat tu!” Norin memberi amaran dan peringatan kepada anak terunanya dengan wajah yang serius. 

     “Insha Allah ma. Ril takkan buat benda tu semua. Ril akan ingat semua pesan mama. Terima kasih ma sebab benarkan.” Ril tersenyum kelegaan. 

     “Sama sama. Dah la tu. pergi panggil papa makan. Mama dah lapar gila ni.”

     “Okay ma. Nenek nak makan sekali? Nak makan sekali jom la.” Khairil bertanya sambil memandang Fauziah yang masih duduk di sofa itu dengan wajah yang sedih.

     “Tak payah la ajak nenek. Dia dah makan. Makan banyak banyak nanti sakit pula. Susah pula kita nak hantar dia gi hospital nanti. Pergi panggil papa cepat!” Kata Norin sebelum sempat dijawab oleh Fauziah. Khairil dengan penuh rasa kasihan terhadap neneknya pergi mendapatkan Shuib yang berada di bilik bacaan.

     “Ha ibu, ayah mana?” Soal Norin sambil memandang wajah Fauziah dengan perasaan angkuh.

     “Ayah kau kat kolam, dia pergi ambil angin.” Jawab Fauziah lemah.

     “Tu sorang lagi. Ibu pesan kat ayah tolong jangan buat benda bukan bukan ye macam semalam. Membazir air teh je. Ingat teh tu murah agaknya.” Norin memberi jelingan maut kepada Fauziah sebelum bergerak ke ruangan makan. Fauziah yang terhiris hatinya itu lantas memadamkan televisyen yang menyiarkan rancangan yang dia sendiri tidak ketahui. Kemudian dia naik ke tingkat atas untuk ke biliknya dan menangis!

.................................................................................................................
         
          Khairil meniti satu per satu anak tangga ke tingkat dua Blok Tun Perak untuk menuju ke bilik Faiz, senior yang ditemuinya beberapa hari yang lalu untuk mengulangkaji pelajaran bersama sama. Dia sangat berharap, apa yang Faiz akan ajarnya nanti dia akan faham seterusnya dapat memperbaiki markahnya pada ujian kedua dan peperiksaan akhir semester nanti. Dia berazam untuk belajar bersungguh sungguh subjek Operation Management itu supaya dia tidak perlu mengulang semula subjek yang sama pada semester depan. 

          Sampai sahaja di tingkat dua, dia menjadi bilik 204. Di situlah bilik Faiz. Dalam beberapa saat sahaja dia berjalan di tingkat dua itu, dia sudah menjumpai bilik tersebut. Dia mendapati lampu di bilik itu terpasang berdasarkan apa yang dilihatnya pada tingkat kecil di atas pintu masuk ke bilik tersebut. Tanpa melengahkan masa lagi, Khairil lantas mengetuk pintu beberapa kali sambil memberi salam. 

          “Assalamualaikum...” Ucap Khairil.

          “Waalaikumussalam.” Jawab orang yang ada di dalam bilik tersebut. Tidak lama kemudian muncul batang tubuh Faiz di muka pintu bilik tersebut. Faiz hanya memakai seluar jeans pendek paras peha sahaja pada waktu itu dan tidak berbaju. Badannya yang dihiasi dengan otot otot pejal itu kelihatan basah dan berkilat dengan peluh.

          “Oh kau rupanya. Masuklah. Awal kau sampai. Abang baru habis workout.” Kata Faiz sambil meluaskan bukaan pintu biliknya. Senyuman kecil tersungging di bibir seksinya.

          Khairil masuk ke dalam bilik tersebut. Kelihatan ada dua buah katil, sebuah katil single dan sebuah katil dua tingkat. Kelihatan katil single itu sahaja yang digunakan manakala katil dua tingkat itu diletakkan peralatan untuk bersenam seperti dumb bell, bar, dan sebagainya.

          Di bilik itu juga terdapat sebuah meja yang panjang. Meja itu sebenarnya ada tiga buah namun apabila dicantumkan akan menjadi sebuah meja yang panjang. Di atas meja itu terdapat komputer riba, buku, pemanas air, printer, dan alat alat tulis. Walaupun bilik itu agak banyak dipenuhi dengan barang, namun Faiz pandai menyusunnya sehingga kelihatan kemas.

          “Apa yang kau tercengang cengang tu? Terkejut tengok bilik aku? Duduklah. Jangan malu malu.” Kata Faiz yang tergelak kecil melihat telatah Khairil. Khairil seperti rusa yang baru terlepas dari hutan dan masuk ke sebuah kampung yang asing itu melangkah perlahan lahan masuk ke dalam bilik Faiz.

          “Hah? Hehe. Takde apa apa bang.” Jawab Khairil malu malu. Tentu lama dia mengelamun di situ sehingga Abang Faiz perasan.

          Khairil meletakkan dua buah begnya yang berisi baju dan buku itu di atas sebuah kerusi plastik berwarna biru yang berhampiran dengan meja panjang tadi.

          “Abang memang duduk sorang je ke sejak minggu pertama?” Khairil bertanya sambil memandang Faiz yang sedang duduk di katil single dan sedang menatap telefon pintarnya.

          “Bukan sejak minggu pertama Khairil tapi sejak semester tiga lagi.” Faiz menjawab sambil memandang ke wajah Khairil. Dia meletakkan telefon pintar itu di tepi meja panjang yang digunakan sebagai meja untuk belajar, mengulangkaji pelajaran, dan menyiapkan tugasan itu.

          “Sejak semester tiga? Maksudnya dah dekat tiga semester la abang duduk sorang dekat asrama ni?”

          “Haah.”

          “Kenapa abang duduk sorang je? Takde orang nak kawan dengan abang ke?” Khairil menyoal selamba.

          “Siot betul budak ni. Haha. Kau ingat aku ni forever alone ke? Kurang asam betul soalan kau tu. Bukan macam tu. Asrama ni takde orang yang nak duduk. Ramai student yang suka duduk luar konon tak nak terikat dengan peraturan asrama yang macam macam tu. Kawan abang pun ramai yang duduk luar. Abang sorang je duduk sini.” Faiz ketawa kecil mendengar soalan Khairil tadi.

          Mendengar jawapan daripada Faiz itu, baru Khairil perasan yang asrama itu tidak ramai orang. Biasanya dia pasti akan dengar suara hiruk pikuk pelajar bercakap dan bergelak ketawa seperti kebiasaan asrama yang ditemuinya. Ketika dia melangkah naik ke tingkat dua itu pun, tidak banyak baju, seluar, boxer, dan seluar dalam bersidaian di ampaian asrama tersebut. Kasut dan selipar pun tidak ada di luar pintu pintu bilik tertentu ketika dia melalui tingkat dua untuk ke bilik Faiz itu seperti kebiasannya.  

          “Tapi kenapa abang tak duduk luar dengan kawan kawan abang? Abang tak takut ke tidur kat asrama yang tak ramai orang ni?” Tanya Khairil lagi.

          “Tak takutlah. Bukan ada hantu pun. Kalau kau dengar cerita hantu kat asrama ni, semua tu mengarut je. Abang duduk kat asrama ni senang. Kelas dekat, tempat makan dekat, jimat minyak, jimat duit rumah sewa. Segala galanya jimat la. Cuma tu la, kena tahan sikit dengan peraturan asrama yang entah apa apa tu.” Jawab Faiz.

          “Tapi kan bang, kenapa kat Blok Megat Terawis yang Dino duduk tu ramai orang ea tapi blok ni tak ramai orang?”

          “Memanglah. Blok yang Dino duduk tu blok junior. Blok budak budak sem satu. Freshie freshie lagi. Masuk je sem dua, ramai la tu yang keluar.”

          “Oh...macam tu.” Khairil mengangguk faham. Pandangannya dilontarkan ke luar jendela. Dia memerhatikan Blok Datuk Bahaman yang terletak bersebelahan dengan Blok Tun Perak itu. Kelihatan hanya beberapa buah bilik sahaja yang terpasang lampunya. Lain semua bergelap tanda bilik tersebut tidak ada penghuni.

          “Blok sebelah ni pun sama juga ke bang takde student yang nak tinggal?”

          “Semua blok macam tu Khairil. Blok yang Dino duduk tu je yang ramai student. Lain semua banyak yang kosong. Kalau kau nak minta duduk asrama sekarang ni pun boleh. Kau cakap je kat pejabat. Tapi sekarang tak boleh la. Pejabat dah tutup. Hehe.”

          “Tak nak la saya duduk asrama bang. Best lagi duduk rumah saya. Boleh tengok tv, wifi laju, makan sedap sedap. Mmm...”

          “Haha. Suka hati kau la Khairil. Ok la. Kau lepak dulu. Abang nak mandi jap. Badan abang ni rasa melekit. Abang dah habis mandi nanti kita start ea. Kau dah makan belum ni?”

          “Dah bang. Dah pukul sepuluh lebih kot takkan tak makan lagi.”

          “Hmm...okay la kalau macam tu. Duduk sini jap. Jangan gi mana mana pula. Nak pergi kencing ke, kunci pintu tau. Sebelum kita mula ni kau boleh la buka buku, tengok apa soalan yang kau nak tanya nanti. Jangan dah nak start, baru kau nak tercari cari. Aku pelengkung kepala kau time tu nanti. Haaa...” Ujar Faiz dengan nada bergurau. Dia melilitkan tuala berwarna putih ke pinggangnya. Kemudian dia menanggalkan seluar jeans pendek yang dipakainya tadi bersama seluar dalam kemudian dicampaknya kedua dua pakaian itu di atas katil.

          “Okay bang. Beres...” Kata Khairil lalu mengeluarkan bank soalan dan latihan latihan dalam kelas yang Puan Hayati pernah suruh dia siapkan. Faiz pula keluar dari bilik tersebut untuk ke bilik mandi bagi membersihkan diri.       


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.