Rabu, 8 Jun 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 3



        

         Hafizah masuk ke dalam bilik tidur lalu menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Dia benar benar keletihan setelah seharian mengajar di sekolah. Minda dan tubuhnya semakin letih melihat kerenah ayah dan ibunya di rumah semasa ketiadaannya. Semalam semasa kedua dua mereka sampai, mereka langsung tidak buat sebarang masalah dan sudah pasti dia dapat melayan mereka berdua dengan baik.

     Mereka dapat berbual mesra seolah olah tidak ada apa apa yang berlaku di antara mereka. Hafizah sebenarnya berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan kedua dua orang tua itu. Dia tahu dia berdosa besar kerana selalu melawan kedua dua mereka dahulu sehingga dia dihalau keluar dari rumah. Bukan sahaja dia, malah Norin dan Hamad pun sama. Mereka yang sememangnya berdendam dengan ayah dan ibunya turut dihalau keluar dari rumah kerana bersikap kurang ajar dengan dua orang tua itu. Oleh sebab itu, selama sepuluh tahun mereka tidak pulang ke kampung sehinggalah Hafreez mengambil keputusan untuk membawa kedua dua mereka tinggal dengannya walaupun pada awalnya mereka tidak mahu. Namun, setelah dipujuk oleh Hafreez memandangkan dia begitu khuatir akan keselamatan dan kesihatan kedua dua mereka, akhirnya mereka bersetuju untuk tinggal bersama Hafreez di Kuala Lumpur. Walaupun kedua dua mereka tinggal di rumah Hafreez, namun dia, Norin, dan Hamad tidak pernah melawat apatah lagi bertanya khabar tentang kedua dua mereka. Semuanya kerana sakit hati dan rasa marah.

     Sejujurnya hampir sepuluh tahun dia tidak bertemu dengan ayah dan ibunya. Semuanya kerana kejadian pada malam itu yang membuatkan mereka sekeluarga bertengkar hebat lalu memutuskan hubungan kekeluagaan sesama mereka. Kejadian sepuluh tahun dahulu kembali berlayar di lautan fikiran Hafizah.


     “Macam mana dengan kerja kau sekarang Hafizah?” Razali bertanya sambil menghirup kopi panas yang dibancuh oleh isteri Hamad – Farah. Farah dan Hamad duduk di lantai berhampiran tingkap bersama sama dengan Shuib, suami Norin. Norin pula duduk bersama Khairil yang pada waktu itu baru berusia sembilan tahun di atas sofa di rumah kampung milik Razali itu. Hafizah pula duduk di sebelah Fauziah juga di atas sofa. Hafreez yang baru berusia 22 tahun dan masih menuntut di UTM Skudai pula duduk disebelah Razali juga di atas sofa.

     “Macam biasalah ayah. Kerja jadi pendidik ni bukan senang. Tapi sebab minat kan, jadi bolehlah saya bertahan.” Hafizah menjawab sambil mengambil karipap beku yang baru sahaja digoreng oleh Norin lalu digigitnya perlahan. Dia menikmati letusan rasa sedap yang mengalir dari karipap beku itu secara perlahan lahan. Sedap betul karipap ni. Mana la si Norin ni beli. Kena minta alamat kedai ni. Esok esok aku mengidam nak makan karipap, boleh beli sendiri pastu goreng kat rumah. Makan pada waktu petang memang sedap! Bisik Hafizah di dalam hati.   

     “Baguslah tu. Kerja elok elok. Jangan buat perangai lama.” Fauziah tersenyum nakal. Kesemua mata tertumpu kepada Fauziah. Perangai lama apa pula yang dimaksudkan oleh Fauziah? Semua ternanti kata kata yang bakal keluar dari mulut Fauziah mengenai ‘perangai lama’ Hafizah itu. Kesemua mereka begitu teruja untuk mendengar kisah ‘perangai lama’ kakak sulung mereka. Hanya Hafizah sahaja yang berdebar debar. Jahanam! Orang tua ni mula la nak buka aib aku pastu nak membahan. Fauziah memandang ibunya dengan rasa tidak puas hati sebagai isyarat supaya tidak meneruskan kata katanya.

     “Kalau korang semua nak tahu, kak long kau ni pernah tipu ibu dengan ayah. Dia kata dia pergi kerja, rupanya pergi tengok wayang. Sebab apa tau, sebab takut kena marah dengan boss dia. Masa tu kerja jadi kerani kat syarikat komputer kat pekan tu. Kelakar betul. Pergi kerja baik je rupanya bukan pergi kerja, pergi melencong tempat lain.” Fauziah bercerita dengan panjang lebar. Hafizah pula menarik muka empat belasnya.

     “Macam mana ibu dengan ayah boleh tahu?” Soal Hafreez.

     “Masa tu ibu dengan ayah baru balik dari pekan. Ingat nak jemput dia sekali. Puas ibu tunggu dia kat tangga pejabat tu tapi dia tak muncul muncul juga. Akhirnya ibu pergi la pejabat dia, tanya kat orang dalam syarikat tu. Orang tu kata dah tiga hari dia tak datang kerja. Ibu dah mula risau pastu ibu  dan ayah balik la ke rumah. Cuba berbincang nak buat laporan polis. Tak lama lepas tu dia balik. Bila dia balik je ibu tanya dia, mana dia pergi. Ibu cakaplah ibu ada datang pejabat dia sebab nak ambil dia balik rumah tapi dia takde. Akhirnya dia mengaku yang dia bukan pergi kerja tapi pergi tengok wayang. Hahaha.” Fauziah ketawa kecil. Begitu juga dengan Razali.

     “Kalau kak long tak nak kerja, kenapa kak long tak berhenti je? Kan senang? Kenapa kena menipu juga?” Soal Norin ingin meminta kepastian. Tumpuan semua orang kini beralih kepada Hafizah pula untuk mendengar jawapannya.

     “Aku memang tak nak kerja situ tapi ibu paksa juga. Ibu cakap kawan dia kata kerja kat situ bagus. Memang la bagus. Kena marah hari hari. Boss aku pula bukan main garang lagi. Baru masuk kerja sehari dah kena marah. Tak nak lah aku kerja. Aku nak berhenti ibu dan ayah tak bagi. Tu yang aku menipu tu.” Hafizah menjawab.

     “Kak long kau ni memang manja. Kena marah sikit dah tak nak kerja. Kerja biasalah kalau kena marah. Baru kerja memang macam tu. Tapi sebab manja sangat, tu yang baru sehari kerja nak berhenti tu. Pastu bila tak bagi berhenti, mulalah ponteng kerja dan tipu mak bapak. Tipu mak bapak memang tak selamatlah hidup. Kejap je dah dapat tangkap menipu. Hehehe.” Razali menyampuk.

     “Mana ada manja. Saya kerja kat sekolah sekarang ni okey je. Pengetua saya tak garang pun macam boss kat tempat kerja saya dulu tu. Ini bukan soal manja, ini soal boss yang garang tak tentu pasal.” Hafizah mempertahankan dirinya. Dia mula berasa sakit hati dan tidak puas hati. Dia tidak suka sejarah hidupnya yang ‘hitam’ itu dibongkarkan kepada ahli keluarga yang lain terutama dari ibu dan ayahnya sendiri.

     “Manja la tu. Kena marah sikit tak nak kerja. Tengok macam ayah. Kena marah selalu tapi kerja je sampai pencen. Kau tu memang manja. Tak nak mengaku pula.” Razali mengejek. Kata kata Razali itu sungguh menyakitkan hati Hafizah namun dia diam sahaja. Dia malas mahu mempertahankan hujah. Namun hakikatnya, itulah sikap ibu dan ayahnya yang dia tidak suka. Selalu benar membuka pekung dan aib anak anak dihadapan orang ramai. 

     “Angah kau pun banyak juga cerita dia. Hehehe.” Sekali lagi Fauziah tersenyum nakal sambil memandang Norin. Norin menjadi tidak keruan. Cerita apa pula tentang dirinya yang hendak ibunya mahu dedahkan. Matilah aku. Bisik hari Norin.

     “Ala ibu ni, tak payah cerita la. Malu la kat orang. Ibu ni dah takde benda lain ke nak cerita.” Norin mula berang dengan sikap ibunya yang suka mendedahkan aib anak anak dihadapan orang. Dia menarik muka empat belas.

     “Ala...apa salahnya. Kita boring boring takde tv ni, kita kenang la sejarah lama. Hehehe.” Fauziah membalas. Ya, pada waktu itu televisyen tidak dapat dibuka kerana hujan turun dengan lebatnya. Kebiasannya, apabila hujan lebat, televisyen memang tidak akan dibuka kerana khuatir disambar petir.

     “Ceritalah mak. Tak sabar nak dengar ni.” Hafreez mengapi-apikan Fauziah. Dia memang suka dengar sejarah hidup kakak dan abang angkatnya. Mendengar kata kata Hafreez itu, mencerlang mata Norin memandang Hafreez. Mahu sahaja disepaknya muka Hafreez pada waktu itu. Anak angkat tak sedar diri. Bapak dan mak dah mampus pun masih tak tahu diuntung lagi. Nasib baik ada orang tua ni. Kalau tak dah lama aku halau kau keluar dari rumah ni. Norin berkata dalam hati. Dia sungguh geram dengan sikap Hafreez yang suka mengapi-apikan ibu mereka. 

     “Dulu angah kau ni gangster kat sekolah. Masa tu petang, ibu dapat panggilan telefon dari pihak sekolah. Mereka kata mereka tangkap angah kau ni ponteng sekolah agama. Berlari ayah kau gi sekolah. Mak pun pening dengan angah kau ni. Ponteng sekolah la, ada pakwe la, menyorok dalam tandas masa perhimpunan pagi la, pukul kawan la, aishh, macam macam la dia buat masa sekolah dulu. Bila kenang balik kelakar pula. Hahaha.” Fauziah bercerita dengan rancaknya.

     “Wow, tak sangka angah gangster masa sekolah dulu. Tengok muka baik je tapi rupa rupanya, boleh tahan juga nakal angah ni. Huhuhu.” Hafreez berseloroh. Semua ketawa pada waktu itu kecuali Hafizah dan Norin yang masih dilanda perasaan tidak puas hati.   

     “Tapi Hamad lagi dahsyat...ponteng sekolah, hisap rokok, gaduh, lawan cikgu, pecahkan pintu makmal...pening kepala ayah dengan perangai Hamad ni. Sebab tu SPM fail. Asyik main je masa sekolah dulu. Ayah hantar sekolah suruh belajar, dia pergi sekolah jadi gangster.” Sinis sekali kata kata Razali sambil tersenyum nakal memandang Hamad.

     “Baguslah tu ibu dengan ayah, buka aib anak anak kat orang luar. Orang luar tak tahu boleh jadi tahu. Bagus...ibu bapa mithali ibu dan ayah ni.” Sindir Hamad dengan muka yang marah campur tidak puas hati.

     “Masalahnya memang betul pun kan kau tu jahat masa sekolah. Semua yang aku sebut tu kau pernah buat kan? Nak marah kenapa? Kau yang ponteng sekolah bukan ayah. Sebab tu kau tak pandai. SPM fail!” Balas Razali.

     “Kita pun tahu perangai Hamad macam mana. Yang sudah tu sudah la. Yang ayah nak ungkit sampai sekarang tu kenapa? Kenapa nak buka cerita buruk Hamad kat orang? Tak boleh ke cerita yang baik sikit?” Norin membela Hamad.

     “Masalahnya Norin, ibu dan ayah kita ni baik macam malaikat. Diaorang mana pernah buat salah. Kita je yang jahat kat mana diaorang. Tapi kalau Hafreez ke...anak anak orang lain ke...semua baik. Kita je tak baik. Sebab tu diaorang jaja cerita buruk kita kat sedara mara. Sebab tu saudara mara selalu pandang serong kat kita.” Hafizah memerli dengan tajam. Keadaan sudah mula jadi tegang secara tiba tiba.

     “Memang korang semua buat perangai macam tu, nak buat macam mana. Ayah dengan ibu cuma cerita je. Yang korang semua nak amik hati tak tentu pasal ni kenapa?” Fauziah membidas.

“Apa faedah yang mak dapat dedahkan kisah buruk kami? Mak tu baik sangat ke sampai nak dedah cerita buruk anak anak kat orang luar?” Hafizah meningkah.

“Siapa orang luar? Siapa orang luar? Cuba kau cakap dengan aku sekarang? Hafreez orang luar? Farah orang luar? Shuib orang luar? Diaorang bukan orang luar. Diaorang ahli keluarga kita juga. Apa salahnya kita nak kongsi cerita.” Kata Razali.

“Eleh, bukan diaorang je yang ibu dengan ayah cerita pasal keburukan kami. Kat kawan kawan mak dengan ayah...dengan saudara kita...semua ibu cerita. Kalau tak macam mana diaorang boleh tahu. Ayah tahu tak benda benda macam tu memalukan kamu semua.” Ujar Norin.

“Masalahnya memang betul kan apa yang kau buat tu? Kalau tak betul ayah tak cerita. Kalau kau tak nak orang cerita buruk kau, janganlah buat benda buruk tu bahalol!” Razali membalas dengan suara yang keras. Keadaan semakin tegang. Farah, Hafreez, dan Shuib mula tidak senang duduk melihat pertelingkahan yang berlaku antara anak beranak itu.

“Kalau betul pun, perlu ke ibu dan ayah bongkar cerita tu semua? Perlu ke? Cuba kalau kami bongkar cerita buruk ibu dan ayah kat semua orang, ibu dan ayah suka ke?” Hamad menambah.

“Kalau korang tak suka dengan cara aku, korang boleh berambus dari rumah aku! Rumah aku, aku punya sukalah nak cerita apa pun. Tak suka boleh berambus sekarang!” Razali menengking.

“Ayah...bawa bersabar ayah...” Hafreez cuba memujuk.

“Kau diam! Kau tak payah masuk campur. Kau budak lagi. Korang apa tunggu lagi? Berambuslah dari rumah aku! Kata tak suka aku cerita buruk korang semua. Kalau korang nak duduk sini, korang kena terima apa je yang aku buat. Tak suka, boleh pergi sekarang!” Razali memandang ketiga tiga anaknya itu dengan marah. Dia benar benar marah pada waktu itu. Sikap diktatornya terserlah.

“Bang, sudahlah tu. Kita gurau gurau je tadi. Apa sampai halau halau ni.” Fauziah mula berasa tidak sedap hati.

“Kami pun malas nak duduk rumah ni. Susah ada ibu ayah yang ada perangai entah apa apa macam ni.”  Kata Hafizah lantas menuju ke dalam bilik. Norin pun mengikuti sama sambil menarik Khairil yang terpinga pinga. Kemudian Hamad pun berlalu sambil menarik tangan isterinya. Hafreez dan Shuib tercengang cengang melihat situasi itu.     

 Tidak semena-mena, cuti Hari Raya Aidiladha yang sepatutnya Hafizah, Norin, dan Hamad habiskan di kampung halaman selama tiga hari itu, mereka habiskannya di rumah masing masing di Kuala Lumpur. Semuanya gara gara sikap ayah dan ibu mereka yang entah mengapa suka benar menyakitkan hati mereka sejak mereka kecil lagi sehinggalah sekarang. Oleh kerana terlalu mengikut kata hati dan rasa marah, mereka pulang ke Kuala Lumpur pada malam itu juga.

Hafizah melepaskan keluhan berat. Pening kepalanya memikirkan keadaan keluarganya sekarang. Dia tidak tahu sampai bila mereka akan jadi begini. Dia yakin punca segala masalah ini adalah dari ibu bapanya yang berperangai menyakitkan hati itu. Jika ibu bapanya seperti ibu bapa yang lain, dia yakin keadaan sebegini tidak akan berlaku.

Hafizah memandang jam yang tergantung di dinding biliknya. Jam sudah menunjukkan pada pukul lapan malam. Dia masih belum mandi lagi. Dia lantas mencapai tuala yang tersidai di tepi katilnya dan segera menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. 

.................................................................................................................

       Hafizah menyuap nasi goreng ayam yang dibelinya tadi ke  dalam mulut dengan menggunakan sudu. Nasi goreng itu memang enak sekali. Ayamnya yang lembut itu digoreng dengan garing. Entah perencah apa yang digunakan oleh tukang masak di kedai itu untuk memasak nak goreng tersebut dia sendiri tidak tahu namun apa yang pasti, nasi goreng itu sangat sedap.

         Dia mengunyah perlahan lahan nasi goreng ayam itu untuk menikmati kesedapannya. Itulah juadah makan malamnya pada malam itu. Dia memang jarang memasak kerana dia malas. Dia hanya akan memasak pada waktu hujung minggu sahaja. Pada hari hari bekerja, biasanya dia tidak memasak. Dia lebih suka beli sahaja juadah makan malam dan makan tengah harinya untuk mengisi perut.

        Di depan Hafizah, Fauziah dan Razali turut menikmati nasi goreng yang sama. Fauziah berasa serba salah. Dia memerhatikan Razali di sebelah kirinya dan Hafizah di sebelah kanannya. Razali memandang Hafizah dengan pandangan yang marah manakala Hafizah pula sekadar buat tidak tahu sahaja pada waktu itu. Dia menikmati nasi goreng ayam itu tanpa mempedulikan kedua dua orang tua itu.   

       Oleh kerana sakit hati sudah tidak dapat ditahan tahan lagi, Razali meletakkan sudu di dalam pinggan. Dia meneguk segelas air kosong secara perlahan lahan kemudian dengan wajah yang serius, dia berdehem beberapa kali untuk mengalih perhatian Hafizah kepadanya.

       “Hafizah, ayah nak tanya kau sesuatu, kau cakap apa dekat ibu kau petang tadi?” Razali bertanya dengan nada yang serius. Fauziah meneguk liur pahitnya. Dia melihat Hafizah mengangkat muka lalu memandang wajah ayahnya. Wajah Razali sama seperti tadi. Serius dan masam!

       “Cakap apa? Takde cakap apa apa pun.” Hafizah menafikan. Dia mengerutkan dahinya dan membuat muka tidak bersalah. Dia memandang ibunya yang memandangnya dengan rasa simpati dan takut. Kemudian pandangannya jatuh ke wajah ayahnya pula. 

       “Cuba kau ingat balik, kau cakap apa kat ibu kau petang tadi?” Razali mengulang soalan yang sama tetapi dengan nada yang lebih serius. Dia cuba mengawal kemarahannya. Jika diikutkan nafsu amarah, mahu sahaja dibaling nasi goreng itu ke muka Hafizah. Namun disabarkan hatinya. Walau bagaimanapun, dia masih tidak dapat menerima perbuatan Hafizah kepada isterinya, Fauziah. Baginya, Hafizah sudah melampau dan biadap. Tidak sepatutnya Hafizah bercakap kasar dengan ibu yang melahirkan dan membesarkannya.  

       “Ayah nak apa sebenarnya? Cuba ayah berterus terang. Tak payah la nak berbasa basi kat sini. Malas la nak layan.” Hafizah mula sakit hati memandang wajah mencuka ayahnya. Dia sudah malas berbicara dan berhadapan dengan orang tua itu. Dia lantas menikmati semula nasi goreng ayam yang dibelinya tadi. Dia memakan nasi goreng itu dengan pantas supaya dia boleh cepat cepat pergi ke ruang tamu meninggalkan kedua dua orang tua itu.  
       Tanpa disangka sangka oleh Hafizah mahupun Fauziah, Razali membaling nasi goreng ayam itu tepat ke muka Hafizah. Terkejut Fauziah melihat tindakan drastik suaminya. Hafizah pula bukan sahaja terkejut malah tergamam. Razali jika sudah naik ‘hantu’, dia akan bertindak mengikut perasaan. Akal warasnya sudah tercampak ke mana.

      Nasi goreng ayam itu berlumuran di muka Hafizah. Sebahagian besarnya bertaburan di lantai.

         “Abang! Apa abang buat ni?! Kenapa pergi baling nasi goreng tu? Awak ni melampau la!” Fauziah memarahi suaminya. Dia sangat tidak menyangka yang suaminya boleh bertindak sebegitu rupa. Dia masih lagi terkejut dengan tindakan Razali itu walaupun dia sudah biasa melihat perbuatan itu apabila suaminya marah. Segera dia bangun untuk membantu Hafizah membersihkan nasi goreng yang tumpah di lantai itu.  

      “Awak jangan masuk campur! Ini antara saya dengan dia! Budak tak mengenang budi! Kecik kecik tak nak mampus, dah besar menyusahkan orang. Tahu macam ni perangai kau bila besar, aku humban kau dalam longkang kau tahu!” Razali berkata dengan nada yang marah sambil berdiri. Sakit hatinya melihat perangai Hafizah. Itulah sikapnya sejak Hafizah masih kecil lagi. Jika dia sudah terlalu marah, dibalingnya apa sahaja yang ada di depan mata.

       “Abang! Kenapa abang cakap macam tu? Dia anak kita la!” Fauziah bercakap dengan nada kuat. Dia menangis kerana tidak sanggup melihat situasi itu. 

      Dan tanpa disangka sangka, Hafizah pula membaling nasi goreng ayam yang dijamahnya tadi ke arah Razali namun sempat ditepis oleh lelaki itu. Fauziah benar benar tergamam dengan tindakan Hafizah. Dia tidak menyangka Hafizah boleh bertindak sejauh itu. Tindakan Hafizah itu tidak lebih daripada membangkitkan lagi kemarahan Razali dan boleh disifatkan sebagai kurang ajar! 

       “Celaka punya budak! Mari sini aku bunuh kau!” Razali mara ke depan untuk membelasah Hafizah namun segera dihalang oleh Fauziah. Dia menarik-narik dan menahan suaminya agar tidak pergi ke arah Hafizah. Dia tahu, jika suaminya sudah mendapatkan Hafizah, memang ‘lunyai’ perempuan itu dikerjakan. 

      “Lari Hafizah! Lari dari sini! Pergi masuk ke dalam bilik! Cepat!” Fauziah mendesak sambil tangannya berusaha untuk menahan Razali dari sampai kepada Hafizah.

       Hafizah hanya tersenyum sinis mendengar desakan ibunya dan sikap baran ayahnya. Dia sudah biasa melihat itu semua sejak dia kecil lagi. Dia benar benar sudah lali. Sedikit pun perasaan takut tidak muncul di sanubarinya melihat api kemarahan Razali yang menjulang-julang itu.

     “Kenapa pula aku yang mesti lari? Ini rumah aku! Aku beli dengan titik peluh aku sendiri! Korang yang sepatutnya berambus dari rumah aku sekarang!” Hafizah berkata dengan angkuh. Dia benar benar sebal dengan ayahnya. Lahar kebenciannya sedang menggelegak panas melihat kedua dua ibu bapanya.

       “Awak tengok perangai budak nak mampus ni! Manusia durjana macam ni yang awak nak pertahankan? Dia ni memang manusia tak mengenang jasa. Anak tak guna!” Razali memarahi Fauziah yang masih menahannya. Untung sahaja ada Fauziah pada waktu itu. Jika tidak, sudah dihempuknya kerusi meja makan itu ke kepala Hafizah.

       “Sudah la tu bang...memang betul apa dia cakap. Ni rumah dia. Kita ni menumpang sahaja.” Fauziah cuba menenangkan Razali. Namun, air matanya tetap merembes keluar. Dia memang sedih melihat pergaduhan anak beranak yang entah bila mahu tamat tu.

       “Sedar pun diri tu. Buat penat je aku bazir duit beli nasi goreng ni untuk korang dua. Daripada aku bagi korang makan, lebih baik aku bagi babi atau anjing makan. Dah tentu aku dapat pahala. Bodoh!” Hafizah mengeluarkan kata kata berbisanya. Dia memang benci kepada kedua dua makhluk yang berada dihadapannya itu. Untung sahaja mereka itu adalah ibu bapanya. Jika tidak, sudah lama dibunuhnya mereka berdua. 

       Fauziah benar benar terkejut tatkala mendengar kata kata Hafizah. Dia tidak menyangka anak yang dikandungnya selama sembilan bulan itu sanggup menghina dirinya dan Razali. Oleh kerana tidak mampu mengawal kemarahan, dia segera menuju ke arah Hafizah dan menampar wajah Hafizah berkali kali. Hafizah yang cuba mengelak terdorong ke belakang hingga jatuh terperosok ke bawah sinki. Apabila melihat bibir Hafizah sudah pecah dan berdarah, barulah dia berhenti.

     Razali pula terkejut dengan tindakan Fauziah. Dia sekadar berdiri dan memerhati sahaja bagaimana Fauziah menampar wajah Hafizah berkali kali. Dia terkaku dan tidak mampu melakukan apa apa. Dia sendiri sangat kecewa dan kesal dengan sikap Hafizah.

       “Kau tak berhak nak cakap kat aku dan ayah kau macam tu. Kami dah besarkan kau, dah sekolahkan kau, dan dah hantar kau masuk universiti, ini balasan kau pada kami? Aku dah lahirkan kau dan dah bagi kau makan, macam ni kau balas jasa kau pada aku? Hah? Dasar anak tak mengenang budi!” Fauziah menjerit kemarahan. Di wajahnya terpancar riak kemarahan yang entah bila mahu reda. Dia benar benar sakit hati dan sedih dengan kata kata Hafizah tadi.

      “Kau ingat aku nak sangat lahir dari perut kau?! Kau ingat best ke dapat mak bapak macam kau ni? Kalau dapat mak bapak macam korang dua ni, aku tak lahir pun takpelah! Bukan ada untung pun! Menyusahkan ada la!” Hafizah membalas. Fauziah lantas menangis tanpa dapat ditahan tahan lagi. Dia benar benar kecewa dan sedih dengan kata kata Hafizah. Dia tidak menyangka yang Hafizah memang seorang manusia yang tidak bersyukur dan  tidak tahu mengenang budi. Hatinya sakit dengan Hafizah. Dia jatuh terjelepok di hadapan Hafizah kerana kakinya sudah tidak mampu lagi untuk berdiri mengenangkan anak sulungnya yang sangat biadab dan tidak tahu bersyukur itu.

     “Sudahlah Fauziah. Jangan dilayan manusia yang tidak tahu diuntung ini. Biarkan dia. Moga moga Allah ampunkan semua dosa kau pada kami.” Kata Razali sambil mendapatkan Fauziah. Dia membantu Fauziah untuk bangun dan memapah isterinya itu ke dalam bilik. Hafizah yang masih berada di bawah sinki sekadar memerhati. Dia meludah ke arah ke dua dua orang tua itu. Sedikit pun rasa takut tidak muncul di hatinya apabila berlaku biadap terhadap mereka berdua.

Setelah termanggu-manggu beberapa ketika di bawah sinki itu, dia bangun perlahan lahan. Dia melihat nasi goreng yang dibelinya tadi bertaburan di atas meja makan dan di atas lantai. Dia tidak punya hati pada waktu itu untuk membersihkan nasi goreng yang tumpah tersebut. Dia lantas menuju ke dalam bilik untuk tidur kerana esok dia perlu bangun pagi untuk ke sekolah.  


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.